Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Thursday, December 17, 2009

GEORGETOWN - Seorang suri rumah yang sedang menunggu kepulangan suami dan anak mengalami kecederaan parah pada bahagian sambungan tulang belakang apabila disamun dua lelaki ketika melangkah keluar dari kereta dalam kejadian di Jalan Service, Midland di sini, kira-kira jam 7.40 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa berada dalam keadaan berseorangan ketika diragut dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika menunggu anaknya dan suami di jalan itu.

Menurutnya, mangsa kini terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini, akibat kecederaan itu dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Semasa mangsa keluar dari keretanya, tiba-tiba datang sebuah motosikal dan salah seorang suspek menarik beg tangan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya menarik semula beg tangannya lalu melarikan diri tetapi dikejar suspek yang kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum melarikan begnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Wan Abdullah berkata, beliau turut difahamkan pengadu yang juga suami mangsa yang mendapat panggilan berhubung insiden itu terus bergegas ke tempat kejadian dan sejurus sampai mendapati isterinya dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Menurutnya, suami mangsa yang juga seorang peniaga seterusnya membawa isterinya ke hospital swasta berdekatan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Polis meminta orang awam yang menyaksikan insiden tersebut tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berikutan tiada saksi bebas yang nampak kejadian yang berlaku.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun yang mengakibatkan kecederaan parah,” katanya.

Wednesday, December 9, 2009

# Penagih dadah yang semakin bertambah dengan lima penagih baru dikesan setiap hari menjadi punca kes ragut sehingga meragut nyawa, sukar dibendung.

# Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, 70% kes ragut di Malaysia dilakukan oleh penagih dadah.

# Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyatakan selagi ada penagih dadah, selagi itu akan ada jenayah ragut.

# Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zainal Abidin Kamarudin semalam memerintahkan seorang tertuduh kes ragut membaca dengan suara kuat laporan

muka depan Utusan Malaysia mengenai kematian seorang mangsa ragut, Abdul Rahman M

Thursday, December 3, 2009

KUANTAN - Seorang wanita yang mengendong bayi berusia kurang daripada setahun menggeletar sehingga terkencing apabila ditahan di sebuah pasar raya terkenal di sini malam kelmarin selepas didapati mencuri baju dan pakaian kanak-kanak.

Ibu berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan sebayanya dengan barangan curi bernilai RM176.

Menurut pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Inspektor Nur Zulaikha Isha, kedua-dua wanita itu pada mulanya dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan pakaian wanita pasar raya tersebut pada pukul 8.25 malam.

"Wanita itu dipercayai telah memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg tangan tanpa menyedari tindak-tanduk mereka telah diperhatikan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.

Bagaimanapun, ketika kedua-dua suspek cuba beredar meninggalkan pasar raya itu, mereka terus ditahan.

"Hasil pemeriksaan, beberapa helai baju wanita dan kanak-kanak bernilai RM176 ditemui dalam beg tangan suspek," jelasnya.

Kedua-dua wanita itu yang berasal dari bandar ini kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,'' ujarnya.

Wednesday, November 25, 2009

KUALA LUMPUR: Anak kenamaan dan pengawal peribadi VIP antara kelompok penagih daripada golongan atasan yang pernah ditahan polis selepas dikesan menggunakan dadah sintetik atau ‘dadah orang kaya’ di beberapa pusat hiburan terkemuka sekitar ibu kota.

Difahamkan, dadah sintetik yang boleh mencecah RM50 bagi setiap gram itu menjadi pilihan golongan terbabit kerana ia dianggap kategori dadah mewah dan mempunyai cita rasa tinggi berbanding dadah murahan seperti ganja, kokain atau heroin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang (gambar), berkata pembabitan kelompok golongan terbabit dengan dadah jenis sintetik banyak dipengaruhi faktor kewangan.

“Berbanding dadah ‘fesyen’ lama seperti heroin dan ganja, dadah sintetik terutama Ecstasy berkali ganda lebih mahal dan mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh itu, hanya golongan yang ada wang dan bekerjaya mampu membelinya.

Wednesday, November 18, 2009

KUALA LUMPUR 17 Nov. -- Pergaduhan yang tercetus hanya 10 minit. Namun akibatnya seorang pemotong ayam warga Indonesia perlu menghabiskan 13 tahun di dalam penjara setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian kenalannya.

Syahrul Efendi, 30, dari Sumatera Utara yang mencari rezeki di Pasar Chow Kit, bertindak menikam dada Adi Syahputra, 31, buruh pasar yang sama pada pukul 9 malam, 3 Disember 2006 di tepi rumah No. 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Segalanya dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati Adi yang kehilangan telefon bimbitnya.

Mangsa yang berketurunan Madura mengetuk kepala Syahrul menggunakan sebiji gelas sehingga luka dan menerima lima jahitan.

Setelah pergaduhan dileraikan, Syahrul yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa ketika melalui sebuah lorong.

Mangsa yang cedera di dada akibat tikaman meninggal dunia pada pukul 1 pagi, keesokan harinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tuesday, November 17, 2009

JOHOR BAHRU - Seramai 10 lelaki dan seorang wanita kumpulan samun dan ragut ditahan dalam serbuan di Taman Mawar dan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kumpulan terbabit telah terlibat dalam 30 kes samun jalanan di kawasan Seri Alam dan sekitar bandar raya ini selain empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lalu bagi kes dadah, samun dan curi.

“Kesemua mereka yang terlibat ini berumur antara 16 hingga 37 tahun dan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 November ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen di sini, semalam.

Antara barangan dirampas dua komputer riba; tiga beg tangan; tiga parang; sembilan plastik dadah disyaki syabu; lima kereta; motosikal jenis Honda; tunai RM3,172 dan mata wang asing dari Singapura serta Amerika; 11 telefon bimbit; tiga kamera; rantai leher; dua buku simpanan bank milik orang lain dan kad ATM serta empat pendaftaran kereta palsu.

“Kita suspek seorang lelaki menyalahgunakan tugasnya sebagai seorang penarik kereta dengan menjual kereta terbabit kepada kumpulan ini dan kesemua kenderaan yang ditarik itu tidak diserahkan kepada pihak bank yang bertanggungjawab,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397KK, Seksyen 39A(2) dan 12(2) ADB 1952.

“Kami juga menangkap 10 lelaki India berumur 20 hingga 35 tahun sekitar Skudai dan Tampoi kerana terlibat pergaduhan sehingga melepaskan tembakan di sebuah hotel di Taman Bukit Mewah," katanya.

Semua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 307 KK (cuba membunuh) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 197h1).
SHAH ALAM 16 Nov. - Polis menahan seorang wanita Iran dan teman lelakinya yang menyeludup masuk empat kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1 juta ke negara ini selepas menyerbu di bilik penginapan suspek di sebuah hotel di Petaling Jaya, pagi semalam.

Ketika diserbu pada pukul 8 pagi, wanita terbabit yang berusia 33 tahun baru sahaja mendaftar masuk di hotel itu setelah tiba dari Dubai pada pukul 6 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Supritendan Abd. Razak Md. Zin memberitahu, dadah itu ditemui dalam dua beg milik wanita itu di bilik tersebut.

''Dalam bilik itu juga, polis menemui wang tunai RM5,000, AS$2,000 (RM6,600) dan sejumlah mata wang Iran.

''Ketika diserbu, teman lelakinya berusia 43 tahun yang juga warga Iran turut berada di bilik hotel itu. Lelaki terbabit telah tiga tahun berada di Malaysia dan bekerja sebagai pengurus produk di sebuah syarikat swasta di ibu negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abd. Razak memberitahu, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Seorang suri rumah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan cuba membunuh anaknya yang berusia dua bulan dengan mencampakkan bayi perempuan itu ke dalam perigi berhampiran rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam dekat sini, minggu lalu.

Maznah Raimuddin @ Mustaffa (gambar), 26, dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 10 pagi, 10 November lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang memakai baju lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan bertudung warna merah yang kelihatan tidak sihat dan murung, hanya tunduk ketika kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Che Mohamad kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan menetapkan 27 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam kejadian pada 10 November lalu, bayi perempuan itu berjaya diselamatkan oleh datuknya, Raja Ibrahim Raja Ali, 64, yang bertindak nekad dengan terjun ke dalam perigi untuk menyelamatkan cucunya itu.

Siasatan awal polis sebelum ini mendapati wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai menghadapi tekanan perasaan dan meroyan selepas melahirkan anak ketiganya itu. - BERNAMA
GEORGETOWN: Seorang warga Bangladesh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun lima bulan kerana kesalahan mencabul kehormatan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Tertuduh, Bassumiah, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di bilik setor, Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama pada jam 3 petang, 25 Mac lalu.

Bassumiah didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.
KLANG: Seorang konstabel polis yang menghadapi pertuduhan menyamar, merompak, menceroboh dan memeras ugut, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memeras ugut pasangan kekasih sebanyak RM500, November tahun lalu.

Wan Nazaruddin Wan Mohamad, 25, mengaku tidak bersalah memeras RM500 kononnya untuk menutup kes seorang wanita yang dipercayai bersekedudukan dengan teman lelakinya tanpa nikah, di rumah No: TF 3, Jalan Kapar di sini, pada 5 Nov tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua rakannya, Lans Koperal Freedy F Dez Koimon, 27, dan Konstabel Rozaini Suheman, 26, yang telah dituduh pada 7 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Majistret Afifah Mamat membenarkan Wan Nazaruddin dibebaskan dengan jaminan RM3,500 serta seorang penjamin dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat supaya tertuduh dibicarakan bersama dua rakannya itu.

Pada Jun lalu, Wan Nazaruddin yang pernah bertugas mengiringi tahanan di Mahkamah Klang dan Shah Alam mengaku tidak bersalah menyamar sebagai pegawai kanan polis, menceroboh dan memeras ugut seorang lelaki.

Sebelum itu, pada 2 Februari lalu, tertuduh yang kini digantung tugas didakwa merompak seorang ahli perniagaan dengan berpura-pura memegang jawatan sebagai inspektor. - Bernama

Saturday, November 14, 2009

KUALA TERENGGANU - Lebih 2,000 samseng jalanan dianggotai sekurang-kurangnya 300 pelajar di negeri ini diletakkan dalam senarai dikehendaki polis kerana terbabit kes curi motosikal dan lumba haram.

Kumpulan yang ahlinya terkenal mencuri motosikal dan mengasingkan komponen motosikal curi menggelar diri mereka sebagai Apache, Seven to One, Dracula, Owl Town Club dan Benetton.
KUANTAN - Sepasang suami isteri dan seorang peniaga kedai makan antara 10 individu yang disyaki pengedar dadah ditahan hasil operasi besar-besaran pasukan polis Jabatan Siasatan jenayah Narkotik Pahang, 10 hingga 11 November lalu.

Dalam operasi selama dua hari di seluruh Pahang itu, sejumlah 364 gram heroin dan 512 biji pil kuda seberat 54.gram dengan nilai keseluruhan RM55,000 turut dirampas daripada pengedar dadah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, hasil operasi itu juga, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan wang tunai RM3,900 dirampas daripada suspek yang ditahan.

Menurutnya, hasil :inti�pan pihaknya, sepasang suami isteri bersama dua lelaki dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditahan di Kilometer 22, Jalan Jerangau-Jabor dekat sini kira-kira jam 3.15 petang, 11 November lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Nissan Sunny yang dinaiki suspek, polis menjumpai 150 paket dadah disyaki heroin seberat 285 gram bernilai kira-kira RM28,500 disorok dalam kenderaan terbabit.

“Dalam cubaan mereka melepaskan diri daripada ditahan polis, berlaku satu pergelutan menyebabkan salah seorang suspek tercedera di bahagian kepala,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas suspek mendapati salah seorang daripada lelaki itu baru dibebaskan daripada perintah sekatan.

“Susulan itu, polis bertindak menyerbu kediaman suspek di Jalan Bukit Ubi di sini dan menjumpai 9 peket plastik mengandungi dadah heroin seberat 16 gram bernilai kira-kira RM1,600,” katanya.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, seorang wanita mengusahakan kedai makan masakan panas berusia 38 tahun ditahan bersama 512 biji pil kuda hasil satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Kuala Tembeling, Kampung Besul dekat Jerantut, kelmarin.

“Polis percaya peniaga wanita terbabit menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda di kawasan itu dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makannya.

“Berikutan penahanan wanita itu, polis merampas pil kuda yang disorok dalam lampin pakai buang bayi bagi mengelak dikesan polis,” katanya.

Toon Khuan berkata, selain pil kuda bernilai kira-kira RM20,400 itu, polis turut merampas wang tunai RM3,900 dipercayai hasil jualan dadah daripada wanita berkenaan.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun bersama 14 paket plastik disyaki heroin seberat 23 gram bernilai kira-kira RM2,300 hasil serbuan ke atas kawasan ladang kelapa sawit, Felda Keratong 4, Bandar Tun Razak, kelmarin.

Bertindak atas maklumat, pihaknya juga berjaya menahan seorang buruh berusia 33 tahun bersama 16 peket heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM4,000 hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Kekwa, Jengka 5 dekat Maran.

“Kita percayai semua pengedar terbabit memperolehi bekalan dadah daripada pembekal dari negeri jiran sebelum diedarkan kepada golongan penagih sekitar kawasan Felda.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Toon Khuan berkata, pelajar perempuan berusia 11 tahun yang ditahan bersama tiga lelaki dan seorang wanita itu dibebaskan selepas diambil keterangan.
KANGAR: Seorang lelaki bersenjata pisau yang mengamuk berhampiran pusat khidmat wakil rakyat Guar Sanji, dekat sini, hari ini mati ditembak selepas dikatakan menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa, berkata dalam kejadian pada jam 8 pagi itu, Mohamad Taufik Noorzan, 21, mengamuk dan mengancam untuk membunuh rakannya yang tinggal berhampiran pusat khidmat wakil rakyat itu.

Polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara namun lelaki itu yang dalam keadaan tidak terkawal emosinya terus menyerang anggota polis menyebabkan satu lagi tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan terkena badan lelaki itu, katanya.

Thursday, November 12, 2009

PADANG BESAR - Budak lelaki berusia 11 tahun cedera dibelasah selepas bertindak melarikan motosikal jenis Honda C70 milik seorang jemaah masjid, di sini, malam kelmarin.

Budak terbabit yang juga murid Tahun Lima sebuah sekolah rendah aliran pendidikan khas cedera di hidung dan muka selepas dikatakan ditumbuk, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Dia ditahan ketika sedang cuba menghidupkan motosikal yang dicurinya di kawasan berhampiran Tasik Melati, di sini, iaitu kira-kira 150 meter dari lokasi kenderaan itu dilarikan.

Berdasarkan maklumat, budak lelaki itu dikatakan melarikan motosikal milik seorang jemaah masjid, ketika orang ramai sedang menunaikan solat Isyak.

Wednesday, November 11, 2009

DAMANSARA – Tindakan seorang pencuri cuba menipu dua pengawal keselamatan tidak berhasil apabila dia ditahan selepas memecah masuk sebuah apartmen di tingkat 10, Blok F Flora Damansara.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun itu ditahan apabila pengawal keselamatan curiga setelah terserempak dengan suspek keluar melalui pintu belakang dan menyusup melalui pintu jeriji.

Lebih mengejutkan apabila suspek mengaku bekerja dengan sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan yang sedang ditugaskan membaik pulih unit rumah itu

Tuesday, November 10, 2009

PASIR PUTEH - Seorang nenek dari Kampung Jelor Hilir dekat sini masih berada dalam keadaan terkejut selepas dia yang tinggal sendirian di rumahnya dijadikan sasaran penyamun pagi kelmarin.

Bidah Abdulah, 57, berkata, dia diterkam seorang lelaki yang berada dalam rumahnya ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 4.45 pagi.

Bidah berkata, dia keluar dari bilik dengan membawa lampu suluh dan sempat melihat lelaki yang memakai topi keledar itu bersembunyi di belakang peti sejuk di bahagian dapur.

“Dia terus menerkam yang menyebabkan makcik jatuh tertiarap dan dia duduk belakang makcik sambil mencekik leher, muka makcik ditumbuknya berulang kali bila makcik cuba melawan.

“Dalam kesakitan, makcik hanya mampu mengucap dua kalimah syahadat berulang kali apabila dia mengacukan parang, ketika itu makcik hanya ingatkan mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, lelaki yang turut membawa rantai besi dan pencungkil isi kelapa itu menyentap dua gelang tangannya bernilai lebih RM10,000 sebelum melarikan diri melalui pintu dapur.

Bidah cuba bangun dan beberapa kali terjatuh sebelum dapat memberitahu jiran yang juga saudaranya mengenai kejadian tersebut.

Lelaki terbabit kemudiannya gagal menghidupkan motosikalnya selepas kuncinya dikatakan tertinggal dalam rumah ketika bergelut dengan Bidah.

Anak perempuan Bidah yang tinggal kira-kira 250 meter berlari ke arah rumah selepas menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya.

Bidah berkata, anak perempuannya yang berusia 41 tahun itu sempat memukul lelaki terbabit dengan sebatang buluh sebelum penyamun itu meninggalkan motosikalnya.

“Makcik dengar cerita, dia melarikan diri dengan mencuri motosikal penduduk tidak jauh dari sini dan makcik bernasib baik kerana kedua-dua gelang emas yang diragut tercicir berhampiran motosikal-nya,” katanya.

Menantu Bidah, Nordin Mohd Nor, 59, berkata, dia melaporkan kepada polis selepas menerima panggilan telefon daripada Bidah kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, mengesahkan kejadian tersebut dan polis sudah mengenal pasti suspek.

Menurutnya, polis sedang memburu lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun itu untuk disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata.
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Impian seorang wanita untuk mendapatkan baki wang hasil menjual rumahnya di Seremban Jaya, Negeri Sembilan, berkecai apabila peguam yang dilantik untuk membantu urusan itu melarikan wang tersebut.

Mangsa, V. Santhey, 40, yang merupakan seorang peminjam wang berlesen mendakwa dia diperkenalkan oleh bapa saudara kepada peguam itu bagi mendapatkan perkhidmatannya.

Berasaskan hubungan baik dalam perniagaan dengan bapa saudara suspek, dia kemudian bersetuju melantik firma guaman peguam terbabit sebagai saksi kepada proses jual beli tersebut.

Katanya, apabila baki wang tersebut diluluskan oleh sebuah bank tempatan, Santhey pergi ke pejabat bank terbabit untuk mengambil cek berkenaan.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati cek itu dinamakan atas nama firma guaman terbabit. Mangsa kemudiannya mengarahkan pihak bank untuk mengubah kepada namanya.

''Apabila selesai proses tukar nama dan melihat sendiri cek itu ditulis atas nama saya, saya berasa percaya dan puas hati.

''Pihak bank turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar cek tersebut ke firma guaman suspek dan mengarahkan saya merujuk kepada firma tersebut,'' katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Jalan Ampang di sini hari ini.

Tambah Santhey, suspek ada memberitahu mangsa supaya tidak bimbang dan cek itu akan dimasukkan ke akaunnya dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, katanya, janji hanya tinggal janji apabila peguam berkenaan menghilang sejak 2007 tanpa memasukkan wang baki jualan rumah berjumlah RM100,700.

Difahamkan, bank tempatan itu telah mengakui kesilapan pihaknya dalam proses tunai cek yang dilakukan oleh suspek yang turut dipercayai melakukan aktiviti penipuan hingga jutaan ringgit.

Menurut Santhey, dia kemudiannya mengadu perkara itu kepada Majlis Peguam yang telah membatalkan lesen guaman suspek pada Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan meminta penjelasan daripada pihak bank ekoran kejadian itu.

Jelasnya, sepanjang tahun ini, sebanyak tiga kes melibatkan penipuan di kalangan peguam dilaporkan kepada pihaknya.
PULAU PINANG 10 Nov. — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menemui kertas mentera mempunyai kalimah Allah dan cebisan al-Quran di empat tokong Cina yang disyaki menjalankan amalan pemujaan dan nombor ramalan.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAIPP, Azmah Abdullah berkata, operasi dari 9 pagi hingga 3 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam.

"Kami menjalankan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan bagi memastikan tiada orang Islam yang terlibat dengan unsur-unsur pemujaan dan amalan syirik yang bertentangan dengan akidah.

"Dalam operasi ini kami telah temui kertas doa mentera dengan tulisan jawi dan mempunyai kalimah Allah, juga terdapat cebisan al-Quran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Sunday, November 8, 2009

SHAH ALAM: Seorang jutawan batu permata hanya mampu menepuk dahi apabila sekumpulan penjenayah bertindak nekad merempuh teksi dinaiki sebelum merompak beg berisi ratusan butir batu permata bernilai hampir RM2 juta.

Kejadian terbabit dikesan didalangi oleh Geng Colombia yang terlebih dahulu mengekori lelaki warga Hong Kong itu yang dalam perjalanan untuk mengambil penerbangan pulang ke negara asal.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, 29 Oktober lalu apabila mangsa yang juga seorang ahli perniagaan batu permata dan berlian dari Hong Kong dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mangsa berada di negara ini untuk menjalankan urusan perniagaan, terutama dengan peniaga tempatan yang membuat tempahan.





Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada batu permata berkenaan yang dibeli manakala baki dibawa pulang oleh mangsa ke negara asal.

Difahamkan mangsa yang berusia 40-an ketika itu menaiki teksi sambil membawa beg berisi penuh batu permata yang dianggarkan bernilai AS$500,000 (RM1.7 juta).

Sebaik melepasi tol Sepang, teksi yang dinaiki mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan model Kia Citra dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali. Suspek kemudian menyerbu ke arah teksi terbabit sebelum merampas beg berisi batu berlian berkenaan sebelum melarikan diri.

Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis sebelum pulang ke Hong Kong.

Menurut sumber, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu dalang kes rompakan berkumpulan berkenaan.

“Hasil risikan dan siasatan dilakukan, polis Selangor berjaya memberkas enam suspek utama berusia 24 hingga 45 tahun . Siasatan mendapati suspek, termasuk beberapa wanita berkenaan berasal dari Colombia, Amerika Selatan.

“Polis mengesyaki, kumpulan penjenayah terbabit memang mengatur rancangan untuk merompak ahli perniagaan batu permata berkenaan sebelum mengekori teksi itu yang ingin dirompak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, polis masih mengesan saki baki kumpulan penjenayah Amerika Latin berkenaan.

“Agak sukar untuk memaksa suspek membuka mulut berikutan masalah bahasa ketika berkomunikasi. Namun, polis akan memanggil semula ahli perniagaan Hong Kong yang menjadi mangsa itu datang semula ke Malaysia untuk melakukan pengecaman.

“Kejayaan menumpaskan geng Timur Latin ini adalah hasil tindakan pantas pasukan polis khas menghidu gerak geri penjenayah yang sebelum ini gemar melakukan kes curi, pecah rumah dan samun di sekitar Selangor sebelum ini,” katanya,.

Geng penjenayah berasal dari Colombia, Amerika Selatan pernah menggemparkan negara apabila terbabit dalam kejadian memperdayakan tiga pengawal keselamatan sebelum melarikan wang tunai RM1 juta di KLCC pada 22 April 2004.

Berikutan itu, polis melancarkan operasi dan menahan 15 warga Colombia, termasuk empat wanita yang dikesan menggunakan taktik menaburkan wang ke lantai untuk memperdaya mangsa sebelum melarikan wang.

Malah, sehingga kini berpuluh ahli sindiket pecah rumah membabitkan warga asing dari Amerika Selatan dari Colombia dan Mexico diberkas polis selepas dikesan aktif melakukan jenayah pecah rumah, termasuk di Putrajaya.
SHAH ALAM - Polis sedang giat memburu suspek yang menceroboh termasuk melakukan rompakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pas DUN Paya Jaras, Sungai Buloh dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat kerana polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti suspek yang terlibat.

Menurutnya, polis bagaimanapun sudah melakukan pemeriksaan di pejabat yang diceroboh terbabit bagi memperoleh maklumat untuk siasatan lanjut.

“Kita (polis) menemui beberapa sampel cap jari dalam pejabat berkenaan dan sudah dihantar untuk diuji bagi memastikan sama ada ia milik suspek atau sebaliknya.

“Setakat ini, polis juga masih belum dimaklumkan sama ada terdapat dokumen penting milik pejabat yang dilaporkan hilang selepas kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu bermo:tifkan rompakan semata-mata, sekali gus menolak kemungkinan mempunyai perkaitan politik.

:Kelmarin, Pusat Khidmat Masyarakat Pas DUN Paya Jaras, Sungai Buloh dipecah masuk selain sejumlah wang tunai, termasuk sebuah unit pemprosesan pusat (CPU), monitor (LCD) dan mesin projektor dilaporkan hilang.

:Dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 5 pagi itu, suspek dikatakan masuk ke dalam pejabat selepas memotong mangga kunci serta mengumpil pintu di situ.

:Suspek dikatakan bertindak menggeledah semua laci pejabat termasuk memecah masuk dua lagi bilik yang dikunci.

Bagaimanapun, sebuah monitor LCD dan aksesori komputer yang dipercayai dilonggok oleh suspek di atas meja, tidak sempat dilarikan.

Kejadian yang hampir serupa turut dilaporkan berlaku pada 20 September lalu di sebuah Pusat Khidmat ADUN di Seksyen 6, Kota Damansara.