JOHOR BAHRU - Seramai 10 lelaki dan seorang wanita kumpulan samun dan ragut ditahan dalam serbuan di Taman Mawar dan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kumpulan terbabit telah terlibat dalam 30 kes samun jalanan di kawasan Seri Alam dan sekitar bandar raya ini selain empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lalu bagi kes dadah, samun dan curi.
“Kesemua mereka yang terlibat ini berumur antara 16 hingga 37 tahun dan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 November ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen di sini, semalam.
Antara barangan dirampas dua komputer riba; tiga beg tangan; tiga parang; sembilan plastik dadah disyaki syabu; lima kereta; motosikal jenis Honda; tunai RM3,172 dan mata wang asing dari Singapura serta Amerika; 11 telefon bimbit; tiga kamera; rantai leher; dua buku simpanan bank milik orang lain dan kad ATM serta empat pendaftaran kereta palsu.
“Kita suspek seorang lelaki menyalahgunakan tugasnya sebagai seorang penarik kereta dengan menjual kereta terbabit kepada kumpulan ini dan kesemua kenderaan yang ditarik itu tidak diserahkan kepada pihak bank yang bertanggungjawab,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397KK, Seksyen 39A(2) dan 12(2) ADB 1952.
“Kami juga menangkap 10 lelaki India berumur 20 hingga 35 tahun sekitar Skudai dan Tampoi kerana terlibat pergaduhan sehingga melepaskan tembakan di sebuah hotel di Taman Bukit Mewah," katanya.
Semua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 307 KK (cuba membunuh) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 197h1).
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment