Showing posts with label siasat. Show all posts
Showing posts with label siasat. Show all posts

Monday, February 15, 2010

SHAH ALAM, 15 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berpendapat kelemahan dalam sistem pendidikan dan sistem sosial antara faktor besar menyumbang kepada peningkatan jenayah buang bayi di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kedua-dua sistem tersebut agar masalah ini dapat dibendung secepat mungkin.

"Saya berpendapat ia disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sistem sosial Malaysia.

"Saya menyeru kepada kementerian kebajikan agar mengambil langkah proaktif mengkaji secara berkesan bagi menangani masalah ini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gejala pembuangan bayi yang semakain berleluasa berlaku dalam negara.

Sehubungan itu, beliau juga memaklumkan bahawa Selangor sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kementerian dalam usaha menangani permasalahan yang semakin berleluasa itu.

Minggu lalu sahaja empat kes buang bayi dilaporkan berlaku.

Terbaru membabitkan seorang bayi lelaki yang dibuang dan dibakar dalam sebuah tong sampah di sebuah lorong Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai.

Bayi malang seberat kira-kira dua kilogram ditemui dua petugas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dengan keadaan separuh badannya hangus dan kaki bercerai dari badan.

Thursday, December 3, 2009

NUSAJAYA: Dua kontraktor lelaki yang terbabit dalam beberapa projek di Iskandar Malaysia ditembak mati di Jalan Tebing Runtuh, Kota Iskandar, di sini petang tadi.

Mangsa yang masing-masing berusia 39 dan 43 tahun, mati di tempat kejadian akibat kecederaan tembakan di bahagian kepala dan badan.

Tuesday, December 1, 2009

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) telah membangkitkan kualiti minyak tersebut yang diperkatakan banyak pihak sehingga terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin.

"Ada stesen minyak yang bukan Pteronas telah meletakkan notis bahaya terhadap minyak RON95 dan menyenaraikan jenis kenderaan yang boleh menggunakan minyak ini," katanya mendedahkan kepada Dewan Rakyat.

Manakala Hamim Samuri (BN-Ledang) menyatakan sekiranya minyak kuning (RON95) lebih efisien, maka adalah lebih baik hanya satu jenis minyak sahaja digunakan dan dicadangkan supaya minyak lain seperti RON97 ditarik balik.

Bagaimanapun, tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menjawab solan tersebut.

Katanya sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Kata Tan negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95.

"Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Wednesday, November 25, 2009

SEPANG: Selain menagih dadah, segelintir pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dikesan menjadi pengedar bahan itu secara kecil-kecilan di sekitar kampus, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin.

Beliau berkata, dakwaan itu mungkin dianggap keterlaluan dan tidak masuk akal, namun AADK mempunyai bukti kukuh untuk menyokong dakwaan terbabit.

“Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi kajian kami dengan beberapa jabatan lain membuktikan ada pelajar IPT yang terbabit dengan penagihan dadah.

“Lebih menyedihkan mereka juga dikesan menjadi ejen kepada pengedar dadah di IPT,” katanya pada majlis Anugerah Kepulihan Sepanjang Hayat dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) di Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

Sunday, November 22, 2009

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal yang membawa 75 tan bahan letupan dari Malaysia ke republik itu.

Siasatan juga sedang dijalankan mengenai kemungkinan terdapat kaitan penghantaran bahan letupan itu dengan keganasan di Indonesia.

Pegawai kastam, Nasar Salim berkata, bahan ammonia nitrat ditemui di atas sebuah kapal yang ditahan di Laut China Selatan.

"Walaupun ammonia nitrat yang dirampas itu juga boleh digunakan sebagai baja, tetapi 95 peratus import bahan tersebut digunakan untuk menghasilkan bom," katanya.

Menurutnya, polis kini sedang menyiasat 17 krew kapal selain cuba mengesan pemilik kapal berkenaan.

Indonesia menghadapi beberapa siri serangan pengganas sejak tahun kebelakangan ini yang menyebabkan lebih 250 orang terbunuh.

Pengeboman di dua hotel mewah di Jakarta pada Julai lalu menyebabkan tujuh orang maut dan lebih 50 lagi cedera.
KOTA BHARU - Krisis kepimpinan Pas Negeri Kelantan dilihat semakin memuncak dengan tindakan terbaru Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang mendakwa dirinya dijadikan mangsa konspirasi, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Menurutnya, beliau sememangnya menjangkakan bahawa pergolakan akan berlaku memandangkan Husam sebelum ini telah dikaitkan dengan pelbagai dakwaan berhubung dengan perjalanan politiknya.

“Saya akui terdapat pelbagai spekulasi yang dikaitkan dengan Husam, ada yang kata beliau kini sakit dan mengambil cuti, tetapi tidak kurang juga yang mengatakan beliau meletakkan jawatan.

“Tetapi apa yang jelas, saya sifatkan krisis yang melanda Pas Kelantan cukup parah, berlakunya cantas mencantas antara satu sama lain, dulu perkara ini berlaku dalam UMNO sahaja tetapi ia telah merebak kepada Pas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ULASAN MUQOLLID: Firman Allah "Wahai golongan yang beriman!Sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq dengan membawa sesatu berita,maka hendaklah kamu siasat supaya kamu tidak menimpakan satu kesan (tidak baik) terhadap sesatu kaum dengan sebab kejahilan (sesuatu yang kamu tidak tahu keadaan sebenarnya)".
JOHOR BAHRU 22 Nov. — Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di badan, kepala dan punggung di rumahnya di Taman Kota Masai, semalam.

Mayat Diana Saudi, 24, ditemui oleh jirannya pada kira-kira pukul 2 petang, kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Roslan Zainudin.

"Jiran wanita itu memberitahu polis bahawa mangsa dan teman lelakinya bergaduh pada malam sebelum mayat wanita itu ditemui,” katanya. - Bernama

Saturday, November 21, 2009

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke kebunnya lari lintang pukang selepas terlihat mayat seorang lelaki yang masih berasap di kawasan belukar, di Jalan Paip Off Jalan Timur Tambahan, kira-kira 500 meter dari Universiti Industri Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, dekat sini, kelmarin.

Lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan ke kebunnya untuk meninjau tanamannya yang ditenggelami air akibat banjir sebelum melihat organ menyerupai manusia sedang terbakar.

Dia kemudian terus bergegas meninggalkan kawasan itu sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata polis yang menerima panggilan daripada mangsa kira-kira jam 6.45 petang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.

Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.

Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.

Thursday, November 19, 2009

SHAH ALAM – Seorang wanita membuat satu laporan polis mendakwa dia dicabul duta asing dari sebuah negara Timur Tengah ketika mengunjungi pejabat kedutaan berkenaan di Jalan U-Thant.

Mangsa yang berumur dalam lingkungan 20-an itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Selasa lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang juga ejen jualan mendakwa dia turut diraba selain pipinya dicium suspek ketika mengunjungi pejabat kedutaan tersebut.

“Pada mulanya suspek suspek mencium pipi mangsa dan apabila mangsa cuba mengelak, suspek bertindak menolak mangsa sebelum mencium mulutnya.

“Suspek kemudiannya memeluk mangsa dan mengambil kesempatan meraba tubuhnya sebelum melepaskan wanita terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa turut memberitahu suspek menghubunginya beberapa kali selepas kejadian tersebut dipercayai bagi memohon maaf.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul.
TUMPAT - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah, 64, berkata, sudah sampai masa baginya membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan mentafsirkan Al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

“Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am tapi Mudalilul Am (Penyesat Umum). Beliau orang yang sesat, itu hakikatnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pondoknya di sini, semalam.

ULASAN MUQOLLID:Adakah layak seorang pengasas sebuah institusi pondok yang juga merangkap ahli majlis tertinggi persatuan pondok kelantan bercakap seperti seorang jahil? (“Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am tapi Mudalilul Am (Penyesat Umum). Beliau orang yang sesat, itu hakikatnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pondoknya di sini, semalam.)beginikah cara seorang yang mungkin dianggap seorang guru pondok mengeluarkan kenyataan?ini bukan lagi satu 'teguran' tetapi menuduh dengan satu perkataan yang amat keji iaitu 'sesat'.seorang menteri yang juga pendakwah yang amat ikhlas menyampaikan ilmu tidak sepatutnya dituduh sebegini rupa.
saya tertanya-tanya apakah maksud 'sesat' yang dinyatakan oleh en.abdullah saamah terhadap tok guru nik aziz?adakah 'sesat' itu bermaksud 'kufur'?jika begitu maksudnya en.saamah perlu perhatikan kembali sebuah hadis nabi s.a.w 'sesiapa yang mengatakan kafir kepada seorang muslim,maka kalimah kafir akan pergi kepadanya samada betul perkataannya itu atau kalimah itu akan kembali kepada si pengata'.(atau sebagaimana yang ia sabdakan.Wallahua'lam.

Wednesday, November 18, 2009

PADANG TERAP - Penduduk Desa Keda Bendang Tok Teri, di sini bingung apabila bil elektrik mereka, rata-rata menunjukkan peningkatan luar biasa sejak dua bulan lalu.

Penduduk, Zaini Bakar, 50, terkejut melihat bil elektriknya mencecah RM400 sedangkan sebelum ini, bilnya hanya sekitar RM30.
KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden amuk di Guar Sanji di sini, Sabtu lalu, yang berakhir dengan seorang pemuda, Mohamad Taufik Noorzan, 21, ditembak mati oleh anggota pasukan itu.

Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu akan melakukan siasatan penuh berhubung insiden berkenaan berikutan tindakan yang diambil polis ketika kejadian, dipertikaikan.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pasukan khas yang dipantau sepenuhnya Bukit Aman itu sudah memulakan siasatan kelmarin.

"Tumpuan utama siasatan akan diberikan kepada kronologi kes, terutama berhubung kewajaran tembakan yang dilepaskan polis ketika kejadian.

"Siasatan sedang berjalan dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat sebelum dikemukakan kepada Bukit Aman untuk perhatian dan tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Mohamad Taufik yang juga peniaga char koey teow yang mengamuk berhampiran pusat khidmat wakil rakyat Guar Sanji terkena satu das tembakan di dada ketika dikatakan cuba menyerang seorang anggota polis dengan pisau pemotong sayur.

Polis sebelum itu, dilapor melepaskan tembakan amaran ke udara namun lelaki yang dipujuk selama lebih satu jam itu terus bertindak agresif menyebabkan satu das tembakan lagi dilepaskan.

Bagaimanapun, tindakan polis yang melepaskan tembakan ke arah dada yang mengorbankan suspek dipertikaikan dan dianggap tidak wajar, sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis meminta ia disiasat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika diminta mengulas isu berkenaan juga mahu siasatan penuh dilakukan ke atas kes itu bagi mengelak daripada menimbulkan tanggapan buruk kepada imej PDRM.

Sementara itu, Jamshah berkata, pihaknya sedia disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pasukan khas berkenaan untuk memastikan proses siasatan berjalan lancar.
BUTTERWORTH: Orang ramai perlu memastikan telefon bimbit mereka mempunyai perakuan keselamatan daripada Sirim serta maklumat mengenai kadar penembusan spesifik radiasi (SAR) demi keselamatan diri.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rizal Abdul Malek, berkata ini kerana telefon bimbit murah di pasaran mungkin tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

"Kita tidak menggalakkan orang ramai menggunakan telefon bimbit sedemikian kerana ia mungkin mendedahkan penggunanya kepada penembusan radiasi yang melebihi kadar sepatutnya atau bahaya lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Radiasi Gelombang Radio anjuran SKMM di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan telefon bimbit berjenama mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan maklumat tahap SAR pada tempat meletak baterinya.

"Seelok-eloknya carilah telefon bimbit yang mempunyai tahap pengaliran tenaga atau radiasi kurang daripada 2 Watt per kilogram (2W/kg)," katanya.

Rizal berkata, telefon bimbit murah atau "under water" yang dibawa masuk dari luar negara tanpa mendapat kebenaran SKMM dan pengesahan Sirim mungkin mengundang bahaya kepada pengguna.

Katanya, adalah menjadi satu kesalahan menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia 1998 bagi penjualan kelengkapan komunikasi tanpa kebenaran SKMM serta perakuan Sirim.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta membuat aduan kepada SKMM jika mendapati telefon yang dibeli tidak mempunyai ciri keselamatan dan perakuan berkenaan," katanya.

Telefon bimbit mengeluarkan radiasi frekuensi radio (RF) yang menggantikan fungsi kabel semasa ia membawa suara dan mesej ke stesen pangkalan telefon berhampiran.

Namun, tahap radiasinya sangat lemah jika dibandingkan dengan radiasi yang dikeluarkan semasa proses sinaran-x. - Bernama

Tuesday, November 17, 2009

SUNGAI PETANI - Gara-gara dituduh mencuri enjin perahu sangkut, seorang nelayan yang baru pulang dari menjala udang, parah dibelasah oleh lebih 30 penduduk kampung di Kuala Sungai Dedap, Kota Kuala Muda dekat sini, empat hari lalu.

Akibatnya, nelayan berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Sungai Mas dekat sini, mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

Nasibnya bertambah malang apabila turut ditahan polis selepas penduduk membuat laporan polis.

Saturday, November 14, 2009

PENASIHAT Agama kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Alim Panglima Mat Jahya Husin, berkata istilah Wahabi adalah salah dan tidak boleh dinisbahkan kepada Muhammad Abdul Wahab kerana beliau mengikut mazhab Hambali.

Beliau yang juga bekas Mufti Perlis berkata, perkara itu dijelaskan ulama Arab Saudi, Dr Syeikh Sulaiman as-Saloomi pada Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang dianjurkan Kerajaan Perlis pada Mac 2006 bagi memperbetulkan persepsi salah mengenai istilah berkenaan.

"Maknanya istilah Wahabi itu tidak wujud di Arab Saudi kerana Muhammad Abdul Wahab yang bertanggungjawab menghapuskan khurafat dan mengembalikan masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

"Oleh itu, Muhammad Abdul Wahab jadi Wahabi itu datang dari mana dan Perlis tidak sepatutnya dikaitkan dengan Wahabi kerana Perlis berpandukan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab yang empat," katanya.

Beliau menjawab soalan seorang peserta seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop Amalan dan Batasan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang mahukan penjelasan mengenai Wahabi yang sinonim dengan Perlis.

Sebelum itu, ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Keunikan Ahli Sunnah Wal Jamaah: Amalan di Negeri Perlis, Jahya berkata, tidak ada yang mengelirukan mengenai amalan di Perlis kerana dasar fatwa negeri itu berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Cuma katanya, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) tidak terikat dengan mana-mana mazhab tertentu dan pendapat mereka yang nyata dari kitab Allah atau Rasul-Nya atau jamaah sahabat Rasulullah, majlis sedia menerima serta beramal dengannya.

"Perlis tidak ada masalah dengan penetapan itu dan jika ada yang tidak setuju, kerajaan negeri mengambil sikap keterbukaan. Baca basmalah secara perlahan dalam solat tarjihnya itu yang ditetapkan MAIPs tetapi jika ada baca nyaring tidak salah," katanya.

Katanya, begitu juga dalam amalan lain di Perlis berbanding negeri lain seperti tiada wirid secara jemaah, tidak mengaminkan doa imam, tiada bacaan qunut dalam solat Subuh, tidak menetapkan solat tarawih 20 rakaat, sekali azan pada solat Jumaat dan tidak membaca talkin.

Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman pula berkata, perubahan dalam undang-undang dan peruntukan undang-undang secara ringkas berpandu kepada mazhab Syafie.

Bagaimanapun katanya, dalam banyak hal perundangan Islam di negara ini turut mengikut pandangan lain selepas mengambil, mengkaji dan mengeluarkan hukum dengan mengambil kira kepentingan dan kebajikan umum.

"Oleh itu, saya rasa di Malaysia kita berpandukan kepada al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas dan selari itu kita juga melihat dan menggunakan kaedah istihsan (memperbaiki). Dalam peruntukan undang-undang juga, ijtihad dan talfiq turut digunakan secara meluas.

"Walaupun bermazhab penggunaan dan sumber pengambilan hukum begitu terbuka. Jika tidak, perundangan tidak berkembang seperti kita dapati hari ini," katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq dalam Peruntukan Statut Moden di Malaysia.

Antara contoh penggunaan ijtihad dan talfiq dalam perundangan ialah kuasa mahkamah membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlaku dhirar (penganiayaan) terhadap isteri seperti dipukul mengikut peruntukan mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang 2003.

Pembubaran melalui fasakh atas alasan dhirar berdasarkan pandangan dan pendapat mazhab Maliki sedangkan mazhab Syafie, pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan.

Sheikh Ghazali berkata, perkembangan dalam perundangan di negara ini boleh diterima serta tidak diperdebatkan adalah hikmah apabila keputusan dibuat secara jemaah antara alim ulama, mufti, ketua hakim, pakat perundangan dan ahli akademik dalam bidang berkenaan.

"Ulama adalah pihak bertanggungjawab memastikan Islam itu didukung dan berusaha menjernihkan serta menyelesaikan masalah berlaku dalam kehidupan umat Islam. Oleh itu, kekuatan masyarakat terletak kepada kewibawaan dan peranan dimainkan ulama," katanya.

Thursday, November 12, 2009

SEREMBAN - Sebuah klinik di Jalan Yam Tuan di sini yang membekalkan ubat batuk jenis codine kepada penagih dadah diserbu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dalam satu serbuan semalam.

Ekoran serbuan tersebut, seramai 31 orang penagih ditahan ketika berada di dalam dan di luar klinik tersebut.

Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid berkata, bertindak atas maklumat diterima, klinik tersebut diserbu pada pukul 10 malam.

Katanya, hasil siasatan ke atas suspek mendapati mereka membeli ubat batuk jenis codine di klinik terbabit.

"Ubat batuk tersebut boleh membuatkan penggunanya berasa khayal selepas mengambil dalam kuantiti berlebihan.

"Klinik tersebut menjualnya pada harga RM12 sebotol (60 milimeter) dan dipercayai telah melakukan perbuatan subahat dengan penagih sejak empat bulan lalu," katanya di sini semalam.

Wednesday, November 11, 2009

TEMERLOH 11 Nov. — Saksi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Norza Zakaria memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia terdorong memberi keterangan palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana trauma akibat didera semasa soal siasat.

Mohd Taupik Hussain mendakwa semasa disoal siasat oleh tiga pegawai SPRM Pahang pada 22 Jan. lepas, dia telah didera secara fizikal dan mental.

Katanya dia dibawa ke pejabat SPRM Kuantan pada 22 Jan. dan pada kira-kira 5 petang telah dibawa ke sebuah bilik dan diarahkan menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam, melakukan ketuk ketampi serta tekan-tubi, berguling-guling di atas lantai selain kepalanya diketuk dengan kasutnya oleh pegawai terbabit.

"Proses penderaan berkenaan berlarutan sehingga pukul 11 malam sebelum saya diarahkan untuk menandatangani satu surat Orang Kena Tahan pada pukul 11.14 malam,” dakwanya.

Mohd Taupik berkata demikian semasa menjawab soalan peguam yang mewakili Norza, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi di hadapan Hakim Azuar Che Yusof hari ini. - Bernama