Thursday, December 17, 2009


GEORGETOWN - Seorang suri rumah yang sedang menunggu kepulangan suami dan anak mengalami kecederaan parah pada bahagian sambungan tulang belakang apabila disamun dua lelaki ketika melangkah keluar dari kereta dalam kejadian di Jalan Service, Midland di sini, kira-kira jam 7.40 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa berada dalam keadaan berseorangan ketika diragut dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika menunggu anaknya dan suami di jalan itu.

Menurutnya, mangsa kini terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini, akibat kecederaan itu dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Semasa mangsa keluar dari keretanya, tiba-tiba datang sebuah motosikal dan salah seorang suspek menarik beg tangan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya menarik semula beg tangannya lalu melarikan diri tetapi dikejar suspek yang kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum melarikan begnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Wan Abdullah berkata, beliau turut difahamkan pengadu yang juga suami mangsa yang mendapat panggilan berhubung insiden itu terus bergegas ke tempat kejadian dan sejurus sampai mendapati isterinya dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Menurutnya, suami mangsa yang juga seorang peniaga seterusnya membawa isterinya ke hospital swasta berdekatan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Polis meminta orang awam yang menyaksikan insiden tersebut tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berikutan tiada saksi bebas yang nampak kejadian yang berlaku.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun yang mengakibatkan kecederaan parah,” katanya.

No comments:

Post a Comment