Tuesday, November 10, 2009


PASIR PUTEH - Seorang nenek dari Kampung Jelor Hilir dekat sini masih berada dalam keadaan terkejut selepas dia yang tinggal sendirian di rumahnya dijadikan sasaran penyamun pagi kelmarin.

Bidah Abdulah, 57, berkata, dia diterkam seorang lelaki yang berada dalam rumahnya ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 4.45 pagi.

Bidah berkata, dia keluar dari bilik dengan membawa lampu suluh dan sempat melihat lelaki yang memakai topi keledar itu bersembunyi di belakang peti sejuk di bahagian dapur.

“Dia terus menerkam yang menyebabkan makcik jatuh tertiarap dan dia duduk belakang makcik sambil mencekik leher, muka makcik ditumbuknya berulang kali bila makcik cuba melawan.

“Dalam kesakitan, makcik hanya mampu mengucap dua kalimah syahadat berulang kali apabila dia mengacukan parang, ketika itu makcik hanya ingatkan mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, lelaki yang turut membawa rantai besi dan pencungkil isi kelapa itu menyentap dua gelang tangannya bernilai lebih RM10,000 sebelum melarikan diri melalui pintu dapur.

Bidah cuba bangun dan beberapa kali terjatuh sebelum dapat memberitahu jiran yang juga saudaranya mengenai kejadian tersebut.

Lelaki terbabit kemudiannya gagal menghidupkan motosikalnya selepas kuncinya dikatakan tertinggal dalam rumah ketika bergelut dengan Bidah.

Anak perempuan Bidah yang tinggal kira-kira 250 meter berlari ke arah rumah selepas menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya.

Bidah berkata, anak perempuannya yang berusia 41 tahun itu sempat memukul lelaki terbabit dengan sebatang buluh sebelum penyamun itu meninggalkan motosikalnya.

“Makcik dengar cerita, dia melarikan diri dengan mencuri motosikal penduduk tidak jauh dari sini dan makcik bernasib baik kerana kedua-dua gelang emas yang diragut tercicir berhampiran motosikal-nya,” katanya.

Menantu Bidah, Nordin Mohd Nor, 59, berkata, dia melaporkan kepada polis selepas menerima panggilan telefon daripada Bidah kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, mengesahkan kejadian tersebut dan polis sudah mengenal pasti suspek.

Menurutnya, polis sedang memburu lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun itu untuk disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata.

No comments:

Post a Comment