SHAH ALAM 16 Nov. - Polis menahan seorang wanita Iran dan teman lelakinya yang menyeludup masuk empat kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1 juta ke negara ini selepas menyerbu di bilik penginapan suspek di sebuah hotel di Petaling Jaya, pagi semalam.
Ketika diserbu pada pukul 8 pagi, wanita terbabit yang berusia 33 tahun baru sahaja mendaftar masuk di hotel itu setelah tiba dari Dubai pada pukul 6 pagi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Supritendan Abd. Razak Md. Zin memberitahu, dadah itu ditemui dalam dua beg milik wanita itu di bilik tersebut.
''Dalam bilik itu juga, polis menemui wang tunai RM5,000, AS$2,000 (RM6,600) dan sejumlah mata wang Iran.
''Ketika diserbu, teman lelakinya berusia 43 tahun yang juga warga Iran turut berada di bilik hotel itu. Lelaki terbabit telah tiga tahun berada di Malaysia dan bekerja sebagai pengurus produk di sebuah syarikat swasta di ibu negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abd. Razak memberitahu, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment