Showing posts with label macam-macam. Show all posts
Showing posts with label macam-macam. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

KLANG 8 Dis. - Demi mengubati penyakitnya, seorang guru sanggup menyerahkan thali (rantai perkahwinan) kepada seorang warga emas yang dipercayai boleh menyembuhkannya melalui satu upacara sembahyang.

Guru tersebut bagaimanapun tidak bernasib baik apabila lelaki terbabit menghilangkan diri bersama rantai tersebut dan wang upah sebanyak RM551.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tertuduh, K.R. Thangayah, 52, hari ini menerima balasannya apabila dia dihukum penjara setahun akibat perbuatannya itu.

Majistret Liew Horng Bin memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan pada 13 Mei lalu dan tertuduh tidak dikenakan hukuman sebat atas faktor umur.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan menipu K. Suntari, 39, sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kerugian RM8,000.

Thangayah didakwa memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan seutas rantai emas bagi melakukan satu upacara sembahyang untuk mengubati penyakit pada September tahun lalu di TBG 1060, Jalan Tepi Sungai di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Menurut fakta kes, mangsa diminta untuk mengambil semula rantai tersebut selepas dua minggu tetapi apabila dihubungi, tertuduh memberitahu barang kemas itu berada di sebuah kubur bagi tujuan jampi dan meminta supaya diberi tempoh 14 hari lagi.

Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya telah menghilangkan diri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elya Ezrin Mohd. Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Thangayah ketika mengemukakan rayuan memohon agar dikenakan hukuman ringan memandangkan dia sakit setelah diserang angin ahmar.

Wednesday, November 25, 2009

PRESTON (Lancaster): Seorang budak berusia empat tahun dibuang sekolah kerana didakwa menyerang guru.

Tindakan itu diambil terhadap McKenzie Dunkley kerana sikapnya didakwa terlalu buruk dan anti-sosial.

Sebelum itu, McKenzie dihantar pulang empat kali dalam dua bulan pertama belajar di sekolah itu dan dibuang terus selepas menyerang dua guru.

Kakitangan di Sekolah Rendah Sacred Heart di Preston, Lancaster berkata, McKenzie tidak pernah menumpukan perhatian di dalam kelas, tidak menurut kata dan sering mengganggu pelajar lain.

Saturday, November 21, 2009

Philip Morris anggap ganti rugi melampau

LOS ANGELES: Mahkamah di Florida mengarahkan syarikat rokok, Philip Morris USA membayar ganti rugi AS$300 juta (RM1 bilion) kepada seorang bekas perokok yang kini terpaksa bergerak dengan kerusi roda kerana paru-parunya rosak.

Juri di Mahkamah Daerah Broward kelmarin menilaikan perbelanjaan perubatan lampau dan masa depan ditanggung Cindy Naugle, sebanyak AS$56.6 juta (RM198 juta) perlu dibayar syarikat rokok itu.

Selain itu, Philip Morris juga diarah membayar ganti rugi punitif AS$244 juta (RM854 juta).

Keputusan yang dibuat itu merupakan ganti rugi paling besar pernah diarahkan mahkamah dalam kes membabitkan bekas perokok menyaman syarikat rokok.

Philip Morris akan membuat rayuan terhadap keputusan itu berikutan mereka berpendapat hakim "membuat beberapa kesilapan," kata jurucakapnya, Murray Garnick dalam satu kenyataan.

"Kami percaya ganti rugi punitif yang dikenakan terlalu tinggi dan melanggar perlembagaan dan undang-undang negeri," kata Garnick.

Naugle, 61, mula merokok pada 1968 ketika berusia 20 tahun kerana berpendapat ia membuat beliau kelihatan lebih matang sebelum menghentikan tabiat buruk itu pada 1993.

Naugle memberitahu juri bahawa beliau tidak mungkin menghisap rokok jika syarikat tembakau mendedahkan apa yang mereka ketahui iaitu rokok mengandungi nikotin, sejenis dadah yang menyebabkan ketagihan.

Kes Naugle itu adalah di antara 8,000 kes difailkan terhadap syarikat rokok selepas Mahkamah Agung Florida pada 2006 memutuskan perokok boleh menyaman syarikat rokok. - Reuters
LUCKNOW: Sekumpulan suami di India yang tidak tahan dengan 'leteran' isteri masing-masing, mendesak kerajaan mewujudkan sebuah pertubuhan bagi melindungi dan mengatasi masalah mereka.

Kumpulan lelaki berkenaan mengenakan pakaian tradisional yang dipakai oleh pengantin, berarak di bandar Lucknow di utara India, bagi mendesak penubuhan sebuah suruhanjaya kebangsaan bagi lelaki.

Presiden Jawatankuasa Kebajikan Seluruh India bagi Suami, Indu Pandey, berkata statistik menunjukkan ada unsur penyalahgunaan salah satu seksyen di dalam Kanun Keseksaan yang bertujuan melindungi wanita daripada suami mereka.

“Desakan agar undang-undang ini dipinda dikemukakan beberapa kali. Justeru, kami menentang undang-undang ini,” kata Pandey. - Reuters

Thursday, November 19, 2009


LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam.

Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius.

Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan.

Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.

Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.

Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.

Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.

"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.

"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya." - Agensi
KUALA LUMPUR – Menyedari tembelangnya pecah dan sedang diburu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta orang ramai yang pernah terpedaya dengan tipu muslihat- nya, seorang lelaki yang mengaku dirinya ustaz menghilangkan diri sehingga kini.

Bekas pembantu ‘ustaz’ terbabit yang enggan dikenali berkata, sebelum kegiatan penipuannya diketahui ramai, ‘ustaz’ terbabit giat mengadakan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di sekitar Lembah Klang.

Katanya, setiap kali memberikan ceramah atau kuliah agama, ‘ustaz’ itu pasti memberitahu jemaah surau dan masjid bahawa dia menguruskan sebuah sekolah tahfiz serta memerlukan sumbangan bagi membiayai sekolah berkenaan.

“Kutipan yang diperoleh agak lumayan dan selama tiga bulan saya ikut dia, dia bagi ceramah manakala saya akan tunggu di luar dengan tabung untuk mengutip sumbangan bagi sekolah tahfiz yang sebenarnya tidak wujud,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan lalu, selain menerima banyak wang zakat, mereka turut memperoleh wang dengan menjual buah kurma dan jus kurma yang kononnya telah dijampi ‘ustaz’ terbabit dengan ayat-ayat yang boleh menghalau jin dan syaitan.

“Di penghujung ceramah dia akan cakap dia ada bawa produk di belakang, buah kurma dan jus kurma, katanya tak perlu takut kalau makan kurma itu cuma pantangnya selepas makan jangan memandu.

“Kalau makan kena berehat dahulu kerana takut nanti kepala rasa berat, mengantuk tetapi kalau nak elak semua itu kena minum jus kurma yang dijualnya.
SWANSEA: Seorang lelaki berdepan dengan tuduhan membunuh isterinya, memberitahu mahkamah di sini kelmarin, dia mencekik pasangannya ketika berjalan dalam tidur.

Bapa kepada dua anak, Brian Thomas, 59, dan isterinya Christine, 57, sedang tidur di dalam sebuah van yang diletakkan di tempat letak kereta ketika mereka sedang makan angin Julai tahun lalu.

Thomas berkata, dia bermimpi penceroboh memasuki van mereka dan bergelut dengan penceroboh itu lalu mencekiknya.

"Saya bermimpi bergelut dengan mat rempit yang mengganggu kami di tempat letak kereta lain. Saya sangkakan budak-budak itu menceroboh van kami tetapi selepas sedar saya terperanjat melihat isteri saya yang menjadi mangsa.

"Saya bermimpi dan selepas sedar, saya terperanjat dengan apa yang saya lakukan,' katanya di mahkamah Swansea.

Selepas polis tiba, Thomas memberitahu mereka: "Saya membunuh orang yang saya sayangi."

Thomas memberitahu polis sebelum kejadian itu beberapa 'mat rempit' mengganggu ketika pasangan itu meletakkan kereta di tepi laut di of Aberporth, barat daya Wales.

Pegawai pendakwa, Paul Thomas QC, berkata: "Tertuduh yakin seorang daripada mat rempit itu menceroboh dan bergelut dengannya.

"Mungkin benar dia bermimpi kerana tidak ada penceroboh dalam van itu dan orang yang dicekik ialah isterinya sendiri."

Beliau berkata pihak pendakwa tidak mahu mensabitkan kesalahan membunuh ke atas Thomas kerana daripada keterangan perubatan dia mengalami masalah berjalan dalam tidur yang kronik.

"Ini kes luar biasa. Tertuduh mengaku membunuh isteri dan pihak pendakwa tidak mahu keputusan sabit kesalahan dijatuhkan atas tuduhan membunuh atau membunuh tanpa niat." katanya � Agensi
CANBERRA: Seorang lelaki warga tua yang memandu kenderaannya untuk membeli akhbar tidak menyangka beliau terpaksa membuat perjalanan lebih 600 kilometer selepas tersesat jalan dan memasuki persimpangan salah di sebuah lebuh raya di Australia, kata polis.

Selepas memandu terus menerus selama sembilan jam dari pekan Yass di New South Wales ke Geelong di Victoria, Eric Steward, 81, yang tidak mengetahui kedudukannya, mengambil keputusan memberhentikan kereta untuk bertanya arah jalan kepada seorang anggota polis di sebuah stesen minyak.

“Saya memasuki persimpangan salah dan mengambil keputusan terus memandu. Saya tidak sangka akan pergi sejauh ini,” kata Stewart yang dipertemukan semula dengan keluarganya menerusi bantuan polis semalam. - Reuters

Wednesday, November 18, 2009

MUMBAI: Seorang wanita India mendapat kelulusan mahkamah untuk bercerai atas alasan suaminya enggan membenarkan beliau menonton rancangan drama bersiri televisyen kegemarannya.

Pendirian suaminya itu menyebabkan pasangan di Pube, tenggara Mumbai, bergaduh hampir setiap hari sehingga si isteri memfailkan saman terhadap suami, lapor akhbar.

Rancangan drama bersiri mempunyai ramai pengikut di India, terutama suri rumah atau wanita yangbekerja sebagai pembantu rumah.

Hakim sebuah mahkamah keluarga berkata, lelaki terbabit sering mencetuskan pergaduhan dengan isterinya sejak lebih empat tahun lalu hanya disebabkan si isteri gemar menonton satu siri drama Hindi melalui televisyen.

“Responden (suami) tidak membenarkan isteri menonton program kegemaran beliau melalui televisyen,” lapor Daily News and Analysis.

Perintah perceraian berkenaan diberikan Ogos lalu, tetapi perkara itu hanya diketahui apabila bekas suami mengemukakan rayuan supaya mahkamah turut memberikan hak penjagaan anak pasangan itu berusia enam tahun kepada isteri. - AFP

Peguam suami mempertikaikan di mahkamah bahawa dakwaan wanita itu mendapat layanan buruk adalah tidak benar, lapor akhbar terbabit.
WUPPERTAL (Jerman): Sekumpulan pencuri yang melarikan sebuah van sarkas di bandar ini terpaksa lari lintang-pukang apabila menyedari seekor singa sedang tidur di bahagian belakang kenderaan itu.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, berikutan terlalu terkejut selepas melihat singa itu, van yang dipandu salah seorang pencuri terbabit terbabas lalu melanggar tiang papan tanda jalan. Mereka, bagaimanapun, sempat keluar dan lari dari situ.

Singa sarkas itu yang diberi nama 'Caesar', tidak cedera. Polis menunda van berkenaan sebelum pemilik sarkas menuntut semula haiwan itu. � Agensi

Tuesday, November 17, 2009


DODOMA - Seekor buaya di Tanzania mati diserang sejumlah badak air semasa ia merayap di atas kepala haiwan itu untuk menyeberangi sebatang sungai, lapor sebuah akhbar semalam.

Detik-detik itu sempat dirakamkan oleh jurugambar warga Republik Czech, Vaclav Silha, 45, di Sungai Nil di Taman Negara Serengeti, 485 kilometer dari Dodoma, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku apabila kumpulan badak air berasa terancam kerana melihat kehadiran buaya tersebut.

Kira-kira 50 ekor badak air berada di sungai itu dan gambar tersebut akan disiarkan menerusi majalah BBC Wildlife Magazine.

- Agensi
TAIPEI: Seorang ibu Taiwan menyimpan mayat anak kecil perempuannya selama empat hari menggunakan kiub ais sebelum mengunjungi laman web Yahoo untuk bertanyakan bagaimana untuk membuang mayat.

Mangsa, Lee Yan-yen berusia empat tahun tinggal bersama ibunya dan saudara lain di Taipei dan didakwa sering dipukul oleh sepupu ibunya sehingga maut, lapor Apple Daily.

Sebelum masuk tidur malam Khamis lalu, mangsa mengadu sakit kepala. Ibunya, Lee Yu-chan berusia 21 tahun, tidak lama selepas itu mendapati budak perempuan berkenaan sudah mati.

Ibu yang tidak berkahwin itu didakwa tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan meletakkan kiub ais pada mayat selain menyejukkannya dengan kipas elektrik bagi mengelak mayat reput, lapor akhbar.

Pagi Ahad lalu, wanita terbabit memasuki laman Yahoo versi Taiwan dengan menghantar soalan berbunyi: “Bagaimana mengendalikan mayat kanak-kanak berusia empat tahun? Penting, tolonglah!”

Seorang pengguna internet yang bekerja dalam bidang pengebumian melihat kiriman itu dan menggesa Lee menghubungi polis.

Selepas pihak berkuasa tiba, mereka menahan Lee dan juga dua sepupunya termasuk wanita yang didakwa memukul anak perempuan terbabit pada malam kematiannya. - AFP
TAIPEI: Seorang lelaki Taiwan berusia 55 tahun memperdaya 20 wanita untuk melakukan hubungan seks dengan menyamar sebagai lelaki muda yang kacak dan pada masa yang sama berlakon sebagai bapa pemuda itu.

Hsu Shian-ming ditahan atas dakwaan menyiarkan gambar model lelaki muda di internet dan mendakwa beliau adalah lelaki terbabit sehingga menarik perhatian ramai wanita yang ingin menjalin hubungan dengannya, lapor China Post.

Hsu menggunakan telefon untuk memberitahu mangsanya bahawa beliau mempunyai bapa yang sakit dan memerlukan hubungan seks berterusan untuknya terus hidup.

Wanita terbabit kemudian bertemu dengan ‘bapa’ berkenaan yang juga adalah Hsu yang menunggu mereka di beberapa hotel.

Seorang mangsa, mencurigai perkara itu selepas beberapa cubaan untuk bertemu dengan pemuda kacak itu gagal dan menemui kebenaran dengan bantuan penyiasat persendirian, kata polis. - AFP

Saturday, November 14, 2009

PASIR PUTEH - Tindakan seorang ibu kepada lima anak menyembunyikan beberapa biji pil kuda di dalam colinya bagi mengaburi mata pihak berkuasa menemui kegagalan apabila polis berjaya mengesannya dalam serbuan di rumahnya petang kelmarin.
LONDON: Pihak atasan polis dikritik berikutan langkah mereka menyediakan kepada anggota pasukan itu buku panduan setebal 93 halaman mengenai bagaimana untuk menunggang basikal secara selamat.

Doktrin Latihan Berbasikal Polis berkenaan yang memberikan panduan seperti cara membrek dan mengelak halangan seperti batu dan bonggol, disifatkan sebagai satu pembaziran.

“Ini satu pembaziran masa anggota polis dan juga wang pembayar cukai. Pegawai polis sepatutnya sudah tahu cara terbaik menunggang basikal,” kata Mark Wallace dari persekutuan pembayar cukai yang mengkritik perkara itu. - Agensi

Thursday, November 12, 2009


BEIJING - Seorang suami berumur 66 tahun, Ma Lin melakukan tindakan drastik apabila mengetuk sebatang paku sepanjang 20.3 sentimeter di kepalanya apabila isterinya mengkritik perbuatannya yang kaki botol, lapor sebuah akhbar semalam.

Anggota-anggota paramedik di Kolej Perubatan Shantou, China berjaya menarik keluar paku itu yang tertanam 2.54 sentimeter dari otaknya baru-baru ini.

Menurut Lin: "Saya menganggap kehidupan sudah tidak bernilai lagi menyebabkan saya berusaha untuk menamatkannya. Saya terjaga (daripada mabuk) dengan berasa amat sakit." - Agensi
KATHMANDU: Seorang menteri kerajaan Nepal mengaku menampar muka seorang kakitangan awam kanan kerana dia menghantar sebuah kereta buruk menjemputnya ketika satu lawatan rasmi, kata laporan semalam.

Timbalan Menteri Pertanian, Karima Begam berkata beliau menarik leher baju pekerja

kerajaan tempatan itu dan memukulnya berulang kali di



muka selepas gagal menghantar kenderaan yang dimintanya.

“Ya, saya memukul CDO (ketua pegawai daerah),” kata Begam kepada akhbar harian Republica. “Saya menamparnya lima kali.”

Begam melakukan kunjungan rasmi ke selatan negara itu untuk menghadiri satu mesyuarat pembuat dasar wanita ketika insiden itu berlaku.

Beliau jelas berang akibat pegawai pentadbiran, Parsa Durga Prasad Bhandari tidak menghantar kenderaan terbaik untuk mengambilnya, sebaliknya menghantar sebuah kereta model lama. - AFP
LONDON: Sebuah laman web yang hanya membenarkan mereka yang cantik menyertainya, menyifatkan penduduk Britain sebagai paling hodoh di dunia.

Hanya seorang daripada lapan lelaki Britain dan tiga daripada 20 wanita negara itu memohon untuk menyertai BeautifulPeople.com diterima, lapor Daily Telegraph.

Ahli laman web itu akan menilai sejauh mana mereka terpikat kepada ahli baru, selepas gambar dan profil peribadi dihantar kepada laman web itu.



Lelaki Sweden membuktikan mereka paling menawan apabila 65 peratus diterima manakala wanita Norway disifatkan paling cantik dengan 76 peratus menjadi ahli. Sejak laman web itu membuka keahlian kepada rakyat Britain, 295,000 orang memohon tetapi hanya 35,000 diterima. - Agensi

Wednesday, November 11, 2009

KANGAR - Dua daripada empat pelajar yang ponteng perhimpunan pagi di sekolah mereka di sini semalam nekad terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut menyebabkan seorang daripada mereka patah kaki kiri dan hidung berdarah.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka yang terjun tidak cedera malah dapat melarikan diri sebelum pelajar itu ditahan oleh guru.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 8 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis di sini.

Empat pelajar dari tingkatan empat itu dipercayai sengaja melepak di dalam kelas mereka kerana enggan hadir ke perhimpunan.

Bagaimanapun, dua daripada empat pelajar yang melepak itu dikatakan terkejut apabila ternampak kehadiran seorang guru yang membuat pemeriksaan secara mengejut di dalam kelas itu.

"Melihat kelibat guru itu, dua daripada mereka berlari ke beranda sekolah dan terus terjun ke padang rumput sekolah itu," kata satu sumber di sekolah itu.

Bagaimanapun, dua lagi pelajar itu tidak buat apa-apa.

Ekoran tindakan dua pelajar itu, seorang pelajar yang badannya agak gempal cedera teruk dengan kaki kiri patah dan hidung berdarah akibat terjatuh dari ketinggian 12 meter.
“Setelah 24 tahun melibatkan diri dalam dunia hiburan tanah air, inilah pertama kali saya melakukan kesilapan besar. Rasa bersalah dalam diri saya terlalu tebal hinggakan saya rasa macam nak hantukkan kepala saya ke dinding!” luah hati Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris atau lebih mesra dengan sapaan Kak Ani.

Begitulah luahan perasaan penyanyi popular itu apabila gagal menghadirkan diri untuk persembahan pembukaan peringkat akhir Gadis Melayu 2 (GM2) yang berlangsung Khamis lalu.