Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts

Thursday, December 17, 2009

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan kepada seluruh rakyat dinegara ini didakwa berpunca dari kehabisan sumber pendapatan negara akibat berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pagi tadi mendakwa GST tersebut lebih sesuai digelar 'Gagau Semua Tempat'.

"Kerajaan kehabisan wang disebabkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, jadi fikir macam mana nak cari duit lalu perkenalkan GST, Gagau Semua Tempat," katanya di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berpendapat GST sepatutnya dikenakan dulu kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini mendapat perlepasan cukai.

"Kerajaan masih beri perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudahpun berjaya sampai boleh tawar perkhidmatan di luar negara dan disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia sedangkan GST ini nak dikenakan pada rakyat."

Jelasnya, perlepasan cukai itu menyebabkan beberapa syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan perkhidmatan dan keuntungan hasil tidak membayar cukai.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah rasuah dan ketirisan yang merupakan punca perbelanjaan negara kian membengkak.

Beliau turut mendesak kerajaan agar mencegah masalah penyeludupan demi memastikan kerajaan mendapat hasil cukai yang sewajarnya.

Katanya, kerajaan dianggarkan kehilangan RM12.92 juta tahun ini disebabkan gagal membendung penyeludupan rokok dan pengenaan duti kastam.

Tambahnya lagi, dengan menangani beberapa masalah tersebut bukan sahaja membuatkan kerajaan tidak perlu gagau semua tempat, malah menyelamatkan rakyat dari terus terbeban.

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah buat pertama kalinya membacakan rang undang-undang mengenai GST.

Ianya bagaimanapun mendapat tentangan dan bantahan hebat oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.
SHAH ALAM – Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang sihir bagi mencegah amalan negatif itu terus menular dalam kalangan masyarakat seperti pasangan suami isteri dan penjenayah.

Perkara itu dinyatakan tokoh-tokoh agama dan pengamal undang-undang dalam satu majlis perbincangan ilmiah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis’ anjuran Jabatan Mufti Selangor, semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, kertas perbincangan termasuk cadangan mengenakan hukuman terhadap pengamal sihir itu akan dirujuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan seterusnya kepada Mesyuarat Muzakarah Faktwa Kebangsaan.

“Hasil perbincangan muzakarah ini akan dirujuk ke peringkat tertinggi dan dipersembahkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Setelah diperkenankan dan diluluskan, akan dibawa ke peringkat negeri untuk diwartakan dan dilaksanakan penguatkuasaannya,” katanya dalam sidang media pada majlis muzakarah itu, bertempat di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Mohd Tamyes berkata, cada- ngan peruntukan undang-undang ini adalah pelaksanaan secara umum membabitkan rakyat bukan Islam yang didapati sabit kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman.

“Pelaksanaannya sama juga seperti kes jenayah membabitkan dadah iaitu suspek yang disabitkan bersalah akan menerima hukuman tanpa mengira agama.

“Sekiranya cadangan peruntukan ini dipersetujui, ia akan dimasukkan di dalam satu Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

Menurutnya, muzakarah itu bertujuan mencari kaedah terbaik agar kes berkaitan sihir dapat diadili mengikut enakmen perundangan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus terpengaruh.

Sementara itu, penceramah bebas yang juga salah seorang panel majlis tersebut, Datuk Dr Harun Din berkata, peruntukan perundangan berkaitan kes sihir perlu diwujudkan agar pengamal sihir tidak terus berleluasa dan merosakkan akidah masyarakat.

“Peruntukan perundangan mengenai sihir perlu diwujudkan sebelum perkara ini menjadi serius,” katanya.

Wednesday, December 9, 2009

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Johari Abdul berkata program BTN kini tidak relevan jika ia terus digunakan untuk memberi doktrin kepada perserta membenci individu tertentu khususnya pimpinan pembangkang.

Apatah lagi, program tersebut katanya dijayakan menggunakan wang rakyat dengan hasrat memberikan pendidikan dan latihan terbaik dan bukannya mempengaruhi peserta membenci mana-mana pihak.

Jika mahu diteruskan, sukatan BTN katanya perlu dikaji semula supaya ia tidak disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

“Tetapi jangan gunakan wang cukai rakyat untuk tujuan itu (doktrin kritik pembangkang).

“Kalau Umno ada jabatan latihan, gunakan wang sendiri, OK tiada masalah. Tetapi jangan menggunakan wang rakyat... hendak kritik pembangkang OK, selagi ia tertakluk dalam undang-undang negara.

“Tetapi yang salah ialah apabila BTN diperuntukkan RM64 juta bagi tahun 2010 (wang rakyat)," kata beliau pada forum bertajuk 'Adakah Biro Tata Negara Relevan Untuk Perpaduan Negara' di sini malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan sukatan BTN akan dikaji semula ekoran kritikan pelbagai pihak.

Malah Nazri juga mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis apabila mempertahankan BTN.

Malah beberapa pemimpin Umno mempertahankan operasi BTN.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mengakui bahawa beliau pernah menjadi mangsa kecaman dalam kursus BTN selepas keluar Umno akhir 1980-an.

Johari yang kini merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani berkata, beliau menyedari tentang penggunaan BTN untuk tujuan politik semasa kepimpinan Dr Mahathir.

“BN menggunakan BTN dengan sepenuhnya untuk melakukan serangan peribadi. Ia menjadi ketara selepas 1998 (apabila Anwar dipecat) digunakan untuk memfitnah Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim seolah-olah mereka tidak patut berada di Malaysia,” katanya.

Johari yang mengetuai BTN selama empat tahun sebelum meninggalkannya pada 1990 berkata, beliau akhirnya “bertaubat” dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu, tetapi saya sudah bertaubat sekarang,” katanya.

Kata Johari, pada awalnya beliau sedar akan kekurangan-kekurangan yang wujud tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan “pengaruh” Dr Mahathir ketika itu.

Johari memberitahu ketika ditubuhkan pada 1970-an BTN hanya merupakan satu unit di Kementerian Belia dan Sukan, yang dibentuk untuk mengawal gerakan Islam yang menentang kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya Universiti Malaya.

Ketika itu ia diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pegawai kerajaan.

“Dan apabila Abdullah menjadi ahli politik sepenuh masa, badan itu secara rasmi menjadi BTN dan tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan di kalangan pelajar Melayu dengan memasukkan idea-idea ketuanan Melayu,” kata Johari.

Bagaimanapun apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, BTN digunakan sepenuhnya untuk tujuan politik Umno-BN.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

“Salah satu kursus yang diberikan kepada peserta Melayu ialah mempertahankan kerajaan Umno-BN dalam apa jua cara sekali. Jika kerajaan Umno-BN jatuh, orang Melayu disemai fikiran bahawa mereka akan menjadi hamba di negara sendiri,” katanya.

“Dan keadaan menjadi semakin buruk apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan BTN digunakan dengan sepenuhnya untuk mengecam pemimpin-pemimpin pembangkang,” kata beliau lagi
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Beberapa hospital awam di Malaysia dikatakan berbahaya untuk menempatkan pesakit.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa demikian setalah melihat beberapa tragedi di beberapa hospital awam.

Katanya, pada tahun 2008 menyaksikan tiga blok Hospital Queen Elizabert, Kota Kinabalu dikenal pasti dalam keadaan berbahaya oleh jurunilai bangunan.

Pada Jun 2007 menyaksikan beberapa keping siling bangunan Hospital Daerah Pekan, Pahang runtuh.

April tahun yang sama turut menyaksikan Hospital Sultan Ismail, Johor yang bernilai RM550 juta terpaksa ditutup selama 17 bulan disebabkan
masalah pembiakan kulat.

Hospital Ampang, Kuala Lumpur turut mengalami masalah pembiakan kulat yang berbahaya kepada pesakit, seperti di Hospital Sultan Ismail.

Mac tahun yang sama menyaksikan Hospital Sultanah Bahiyyah, Kedah yang bernilai RM550 juta terpaksa dibuka empat tahun lewat dari masa yang dijadualkan kerana masalah kerja-kerja pembinaan yang terbengkalai.

Februari 2007 pula menyaksikan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah yang bernilai RM550 juta mengalami pelbagai masalah prasarana fizikal seperti siling runtuh, paip yang bermasalah dan ketirisan di bahagian cafetaria.

Dipercayai beberapa masalah prasarana di hospital-hospital awam terbabit disebabkan sikap kerajaan melantik kontraktor-kontraktor
bermasalah atas dasar kronisme.

Pun begitu, tidak kedengaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa kes berkaitan hospital awam terbabit.

Pengurusan tidak cekap perbendaharaan negara sekaligus tidak menggambarkan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Dr. Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) mempersoal tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang membenarkan stesen-stesen televisyen menyiarkan rancangan seram serta mempunyai unsur tahyul dan kurafat.

Hayati sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi berkata, sejak akhir-akhir ini stesen-stesen televisyen sama ada milik kerajaan atau swasta didapati seringkali menyiarkan cerita hantu dan seram untuk menarik jumlah penonton.

"Apakah ini sebenarnya yang hendak didedahkan oleh pihak Kementerian? Menyiarkan cerita-cerita yang berunsurkan tahyul dan kurafat," soalnya.

Beliau juga ingin tahu jumlah kes melibatkan stesen penyiar swasta dikenakan denda sehinga RM100 ribu di bawah Seksyen 242 akibat tidak menyiarkan Pesanan Khidmat Awam yang mengandungi nilai-nilai murni, kekeluargaan, Kebudayaan dan Kemasyarakatan di stesen-stesen kelolaan mereka.

Sebelum itu, Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan apakah perancangan pihak Kementerian dalam memainkan peranan untuk menguatkan lagi penyerapan nlai-nilai murni di kalangan masyarakat melalui media elektronik.

Timbalan Menteri, Heng Seai Kie (BN-Senator) dalam jawapannya memberitahu, penerapan nilai-nilai murni dilaksanakan melalui rancangan-rancangan secara khusus seperti Berita,Bicarawara, Rancangan Agama dan Majalah selain siaran iklan, rancangan hiburan dan drama-drama yang ditayangkan.

Sebagai contoh katanya, RTM memastikan semua siarannya, termasuklah rancangan sitkom komedi mmpunyai mesej tersendiri bertujuan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan penonton.

Usaha ini dilaksanakan oleh RTM melalui siaran agu-lagu patriotik pada waktu perdana.
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) meminta pihak yang memperjuangkan hak kebersamaan gender khasnya di kalangan Islam supaya tidak melanggar syariat Islam.

Nasharudin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, meskipun statistik indeks jurang gender yang dilaporkan Mantan Menteri berkenaan, datuk Dr. Ng Yen Yen pada tahun lepas menunjukkan pengurangan namun ianya tidak bermaksud pihak yang terlibat memperjuangkan isu berkenaan boleh bertindak secara melampaui batas.

Pada tahun 1980, indeks berkenaan mencatat 0.340 peratus dan turun kepada 0.240 peratus pada 2009.

Beliau juga ingin tahu jumlah kes diskriminasi terhadap wanita yang telah dilaporkan kepada pihak kementerian dan tindakan yang diambil kepada pihak yang melakukan diskriminasi gender.

"Saya difahamkan wanita tidak dibenarkan menjadi juruterbang dalam sistem penerbangan Malaysia.Sedangkan baru-baru ini di LIMA diketengahkan pilot-pilot wanita dan dalam laporan akhbar kita lihat ramai wanita yang sampai kepada peringkat yang tinggi," katanya.

Sebelum itu, Nasharudin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan peruntukan undang-undang yang akan dikaji untuk mengelakkan wanita daripada didiskriminasikan.

Timbalan Menteri Chew Mei Fun (BN-Senator) dalam jawapannya memberitahu kerajaan sedang dalam tindakan untuk mengkaji undang-undang-undang Akta Kerja 1955, Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
TEMERLOH – Pas Pahang menerusi satu seminar yang dianjurkan telah mengemukakan enam resolusi penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negeri, jika diberi peluang mentadbir Pahang.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, enam resolusi itu ialah Pas komited kepada usaha membasmi ketidakcekapan, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan dasar serta pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri.

Menurutnya, Pas akan meningkatkan hasil perhutanan dan galian melalui pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telus, amanah dan bersistematik.

“Jika Pas memerintah, kita akan membasmi kegiatan pembalakan haram, meningkatkan hasil negeri dan menjamin aktiviti pemuliharaan hutan dilakukan secara berterusan,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Pahang, selepas selesai seminar bertajuk ‘Masa Depan Ekonomi Negeri Pahang Dalam Gagasan Pakatan Rakyat di Kuantan’, kelmarin.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas juga akan meningkatkan kecekapan sistem pengutipan cukai hasil negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telus, amanah, bersistematik dan pendekatan yang fleksibel serta kreatif.

Beliau berkata, selain itu, usaha jangka panjang seperti mengekal dan meningkat komitmen dalam memajukan industri asas tani dan kegiatan ekonomi hilirannya bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri supaya sentiasa berdaya saing turut dilaksanakan.

Menurutnya, Pas akan memperkukuh peranan pemantauan pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan kerajaan melalui pengukuhan penyertaan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembuat keputusan dan pelaksanaan dasar ekonomi negeri.

Tuan Ibrahim berkata, Pas menginsafi dan memberi perhatian serius bagi menghayati K-Ekonomi dalam meningkat kebolehan dan daya saing rakyat melalui penyediaan prasarana dan iklim pengurusan berasaskan bakat dan kebolehan (meritokrasi).

“Sebagai contoh, pelantikan pegawai mengikut kebolehan dan sumbangan, juga memperluas aktiviti dan ruang diskusi perdebatan dan pemupukan budaya ilmu dalam kalangan rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas akan terus komited kepada usaha membasmi ketidakcekapan, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan dasar serta pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, usaha meneroka dan mengenal pasti sumber dan kegiatan baru ekonomi negeri akan mengurangkan pergantungan pada dana dan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu lagi berterusan menjadi sebuah negeri miskin, meminjam wang daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya berusaha menjadi sebuah negeri yang menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Seminar kelmarin diadakan bagi melahirkan kekecewaan terhadap prestasi buruk ekonomi negeri, berikutan kedudukan kewangannya yang defisit sejak 12 tahun lalu.
PUTRAJAYA: Tarif baru elektrik mungkin diperkenalkan Januari tahun depan sekiranya ia diluluskan oleh Kabinet, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad telah mengemukakan permohonan untuk menaikkan tarif elektrik, namun kementerian masih membuat kajian mengenainya sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan.

"Tarif ini dikaji semula setiap enam bulan sejajar dengan harga minyak, tetapi sama ada tarif baru akan dikenakan atau tidak, bergantung kepada Kabinet," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian di sini hari ini.


Kata Muqollid : "tunggu aje lah wahai seluruh hamba rakyat jelata".

Saturday, December 5, 2009

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 5 Dis: Mungkin tidak banyak berlaku, PAS, Umno, ilmuan dan ahli akademik boleh bersama duduk semeja dalam wacana ilmiah membincangkan hal hal tertentu khususnya persoalan agama.

Namun ianya sekali lagi akan menjadi realiti apabila Kerajaan Kelantan akan menganjurkan wacana membincangkan tajuk ‘Islam Di Malaysia: Realiti dan Harapan’.

Wacana tersebut akan membariskan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Exco Pemuda Umno Malaysia, Affandi Yusof, bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Wacana yang dijadual berlangsung pada jam 9 malam, 12 Disember ini bertempat di Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre akan dikendalikan Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kesemua kelengkapan dari aspek teknikal sedang giat diusahakan bagi memastikan ianya memberi kepuasan terbaik kepada pengunjung yang hadir.

“Pihak penganjur juga akan memasang dua skrin besar di perkarangan dewan tersebut bagi menampung orang ramai,” ujarnya di sini.

Dewan yang serba canggih tersebut boleh menampung sehingga 1,800 orang.

Beliau berharap wacana tersebut dapat dijadikan garis panduan dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini.

“Kami menjemput orang ramai terutamanya ahli akademik, tokoh-tokoh politik dari pelbagai parti, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan menimba ilmu di wacana terseut” katanya.

Wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui http://www.mykelantan.tv.

KOTA BHARU, 5 Dis: Perhimpunan lebih 10,000 penyokong Mursyidul Am PAS Tok Guru Datuki Nik Abdul Aziz Nik Mat dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat Kelantan yang berlangsung di Medan Ilmu di sini pagi ini merupakan satu signal ditunjukkan rakyat negeri ini kepada Umno-BN.

Rakyat di negeri ini mahu menunjukkan bahawa selagi Nik Abdul Aziz Nik menerajui kepimpinan dan pemerintahan negeri Kelantan maka selagi itulah Umno tidak boleh menawan negeri ini .

Exco Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPNK) Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman berkata momentum itu perlu diteruskan dalam usaha melebarkan kebangkitan ini ke seluruh Malaysia.

“Momentum ini perlu diteruskan terutama ketika seluruh struktur organisasi politik Umno dan Barisan Nasional (BN) kini sedang menghadapi keruntuhan apabila berlaku kemelut dalam parti komponen BN seperti MCA, MIC dan PPP,” katanya kepada media ketika ditemui pada perhimpunan rakyat di Medan Ilmu di sini semalam.

Serentak dengan itu, beliau bersetuju dengan cadangan supaya Pakatan Rakyat Malaysia yang kini dalam proses pendaftaran diketuai Nik Aziz sebagai Pengerusinya.

“Menteri Besar Kelantan perlu menjadi pemimpin kepada Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Malaysia), dan jika perkara ini terbentuk, ia akan menjadi ketumbukan yang kuat bagi melawan BN yang kini sudah lemah.

“Jadi kalau dibentuk satu Pakatan Rakayat yang kuat di mana Tok Guru Menteri Besar menjadi Pengerusi atau pun ketuanya bersama sahabat yang lain dalam Pakatan, insya Allah satu pasukan yang kuat dapat dibentuk bagi mencapai kesejahteraan yang baik untuk rakyat Malaysia umumnya,” katanya.
Mengulas perhimpunan hari ini, beliau berkata ianya menggambarkan demontrasi yang begitu hebat.

“Saya selaku aktivis pemuda, belum lagi tengok satu demontrasi yang diadakan begitu hebat, yang mana kita sama-sama menyokong kepimpinan Tok Guru Menteri Besar.

“Dan kita mendoakan supaya Tok Guru Menteri Besar terus diberi kesihatan yang baik, kebijaksanaan dan kekuatan fizikal, mental dan spiritual untuk terus memerintah Kelantan,” katanya.

Mengulas gesaan Umno-BN supaya Menteri Besar Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan, beliau berkata sepatutnya Najib lah yang sepatutnya meletakkan jawatan.

“Yang sepatutnya meletak jawatan ialah Najib dan bukan Tok Guru Menteri Besar.

“Ini memandangkan pengkhianatan yang dilakukan Najib terhadap pemberian royalti minyak kepada Kelantan.

“Semenangnya Najib yang sepatutnya meletakkan jawatan. Ini kerana kita semua tahu bahawa perjanjian di antara Kerajaan Negeri dengan Petronas telah pun termeterai sejak 1974.

“Jadi oleh kerana perjanjian ini tidak dipenuhi, tidak dipatuhi mengikut saluran undang-undang, jadi dialah yang sepatutnya meletakkan jawatan dan bukan Tok Guru.

“Kita adalah rakyat Kelantan, royalti minyak itu hak rakyat Kelantan, kita patut menuntut hak kita. Islam pun menuntut (supaya) kita menuntut hak kita dan kita akan teruskan usaha ini sehingga kita dapat royalty, insya Allah,” tegasnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Jadi kalau berlaku lagi gerakan meminta supaya Tok Guru meletakkan jawatan, insya Allah seluruh ‘massa’, setiap peringkat dari semua kaum akan bangun menentang gerakan ini, dan difahamkan bahawa gerakan ini akan diteruskan di seluruh negeri dan negara,” katanya.

Mengenai pengorbanannya meletakkan jawatan yang disandangnya (sebagai CEO PMBK) dianggap pengorbanan yang suci yang wajar dicontohi pegawai dan anggota kerajaan yang lain, beliau memberitahu bahawa beliau meletak jawatan itu adalah atas nasihat Tok Guru dan pimpinan PAS Pusat.

“Dan perletakan jawatan ini akan ‘memutihkan’ unsur-unsur yang membolehkan Umno-BN membuat tuduhan terhadap amalan kronisma. Pun perlantikan saya, saya melihat bahawa atas kepercayaan Tok Guru dan juga apa yang telah saya lakukan selama satu tahun setengah dan sepanjang saya berada di PMBK selama lapan tahun, bahawa saya fikir saya telah banyak menyumbang kepada Islam itu sendiri dan Kerajaan Negeri.

“Jadi pada hemat saya, perletakan jawatan saya merupakan satu pengorbanan, di atas nasihat pimpinan, dan saya kira dengan perletakan jawatan ini, saya harap dapat memadamkan unsur-unsur yang boleh memberi ruang melakukan fitnah oleh Umno-BN.

“Namun saya tidak akan berhenti di sini, saya akan terus menyumbang untuk kesejahteraan rakyat Kelantan, parti PAS dan jamaah Islam,” katanya yang juga menantu Meneri Besar.

Isu Ariffahmi CEO PMBK menjadi kontoversi apabila ada dakwaan menjadikan imej PAS tercalar dan memburukkan imej mertuanya Mursyidul Am PAS yang juja Menteri Besar Kelantan.

Namun kini beliau berkorban untuk parti PAS dan jamaah Islam dengan melepaskan jawatannya setelah dikatikan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam PMBK, manakala Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Abdul Aziz sendiri menunjukkan sikap tegas apabila berdepan dengan isu Ariffahmi menantunya demi menjaga survival Islam dan PAS khususnya.

Dalam menghadapi isunya yang kontroversi itu, Ariffahmi pada 23 November lalu pada sidang medianya menegaskan bahawa beliau akan sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat Menteri Besar.

Dan menerusi siaran medianya semalam, beliau setelah berbincang dengan Menteri Besar dan pengurusan PMBK memaklumkan bahawa beliau memberi notis perletakan jawatan pada 24 Disember 2009.

“Saya perlu memberi notis 90 hari dan ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010,” katanya.

KOTA BHARU – “Kita doa biar pecah perut orang itu,” kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada beliau yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong di Dataran Ilmu, di Jalan Dato’ Pati di sini.

Perhimpunan itu diadakan sempena kuliah mingguan Mursyidul Am Pas itu di dataran itu yang bermula 8 pagi yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri.

Beberapa sepanduk dan kain pemidang turut dipasang di sekitar lokasi itu sebagai tanda sokongan dengan sebilangan anggota Pemuda parti memakai lilit kepala berwarna merah yang bertulis “We Love Tok Guru” dan “Royalti bui-builah (bagi-bagilah)”.

Perhimpunan itu diadakan oleh penyokong Pas itu bagi menjawab demonstrasi bantahan ratusan penyokong UMNO terhadap Nik Aziz Selasa lalu bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung doa bala terhadapnya.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut Kerajaan Negeri sebagai melanggar keadilan asasi dan tidak adil kepada Kelantan.

“Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi,” katanya.

Nik Abdul Aziz turut mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

“Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut,” katanya sambil disambut dengan gelak ketawa oleh penyokongnya.

Mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran “rasa cemas” Barisan Nasional (BN) dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

“Dia (BN) nak tipu budak-budak dengan hantu boleh, tapi nak tipu rakyat Kelantan tak boleh. Masalahnya gini (begini), ambo (saya) dalam keadaan kecemasan kini kerana di Terengganu jadi ‘terkangkang’ dua, Di Perak terkangkang dua, MCA, MIC, DAP kucar-lanar (kucar-kacir).

“Ibarat orang tua dukung anak ‘jerit’ (menangis), kata ‘Hantu! Hantu!’, ‘Burung! Burung!’. Anak dok menangis juga. Sekarang ini, orang (UMNO) mulai sebut ‘Nik Aziz! Nik Aziz!’,” katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir penyokongnya.

Tuesday, December 1, 2009


KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).
2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Wednesday, November 25, 2009

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang menidakkan perlindungan insurans bagi kereta lama serta kenderaan berharga bawah RM10,000, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga tidak bercadang untuk menghapuskan keperluan perlindungan pihak ketiga yang merupakan keperluan wajib di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kesukaran orang ramai untuk mendapatkan perlindungan insurans pihak ketiga adalah ekoran kerugian yang dialami oleh penanggung insurans akibat kos tuntutan yang sangat tinggi bagi perlindungan pihak ketiga yang tidak setimpal dengan premium yang dikenakan.

"Sungguhpun penanggung insurans semakin berhati-hati menawarkan perlindungan insurans motor pihak ketiga secara individu, orang ramai boleh mendapatkan perlindungan berkenaan melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) yang merupakan suatu pakatan industri di mana penanggung insurans berkongsi premium dan tuntutan secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat yang menanyakan adakah menjadi polisi kerajaan untuk menidakkan perlindungan insurans kereta lama berusia 10 tahun dan ke atas serta kenderaan berharga RM10,000 ke bawah.
KUALA LUMPUR: Sikap romantis selain keinginan memenuhi adat keperkasaan lelaki andainya berjaya membawa pulang anak dara dari negara asing ke kampung halaman selepas keluar merantau, menyebabkan kira-kira 600 gadis dari negara ini terperangkap dalam ‘keramat cinta’ pemuda Lombok.

Mereka kini menjadi sebahagian penghuni Pulau Lombok, di timur Indonesia, namun hampir semua gadis yang berusia 13 hingga 30-an itu mengikut kekasih pemuda Lombok yang dikenali ketika lelaki terbabit bekerja di negara ini, atas kerelaan hati masing-masing.

Dipercayai keadaan itu berlaku berikutan lebih setengah juta lelaki daripada 2.5 juta penduduk Pulau Lombok yang majoritinya daripada suku kaum Sasak, berhijrah ke luar negara terutama Malaysia untuk mencari rezeki.

Situasi itu turut menyebabkan sesetengah kampung di pulau itu ketandusan lelaki sehingga terpaksa melantik ketua kampung di kalangan kaum wanita.
BAHAU - Penduduk Taman Desa Putri di sini berasa tidak selesa dan kecewa dengan penemuan botol dan tin minuman keras di sekitar kawasan padang permainan taman perumahan ini.

Seorang penduduk, :Othman Yem, 59, memberitahu, kejadian ini sudah agak lama berlaku tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, bekas minuman keras yang ditemui di salah sebuah pondok yang terdapat di taman ini perlu mendapat perhatian serius daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Sememangnya negara ini mengamalkan amalan demokrasi di mana setiap masyarakat mempunyai hak masing-masing untuk melakukan sesuatu tetapi apabila ia sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dengan penemuan botol dan bekas minuman keras di kawasan awam, pastinya ia mengundang rasa kecewa penduduk.

"Kawasan padang permainan ini disediakan bagi kemudahan masyarakat dan penduduk taman ini menjalankan aktiviti riadah, bukan sebagai lokasi melepak golongan tertentu,” katanya.

menunjukkan ia dilakukan oleh golongan masyarakat yang sememangnya tidak bertanggungjawabd alam menjaga kebersihan kawasan awam daripada perkara terbabit.

Tinjauan Sinar Harian di padang berkenaan juga mendapati setiap tong sampah yang disediakan di padang berkenaan dipenuhi dengan sampah yang kelihatan sudah lama tidak dikutip.

Menurut Othman, kawasan padang permainan ini menjadi lokasi lepak segelintir golongan masyarakat sambil meminum minuman keras dan bekas-bekas minuman ditinggalkan begitu sahaja tanpa dibuang di tempat pembuangan yang disediakan.

“Kaca-kaca yang terdapat di pondok ini adalah bekas-bekas botol kaca yang dipecahkan oleh peminumnya dan boleh membahyakan kanak-kanak yang bermain di sini.

“Ia juga boleh menjadi contoh tidak baik kepada kanak-kanak di kawasan perumahan ini apabila melihat botol-botol minuman keras yang disepahkan sedangkan ia bukanlah minuman yang halal bagi kanak-kanak beragama Islam,” ujarnya.

Othman memohon kepada mana-mana pihak yang berwajib supaya bertindak mengatasi keadaan itu.
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Selepas 25 tahun berlalu, dakwaan lafaz rujuk antara pesara polis, Mohd. Fudzi Sulaiman dengan bekas isterinya yang sudah meninggal dunia, Noraini Abu Bakar disahkan tidak pernah berlaku.

Mahkamah Rendah Syariah Kajang dekat sini memutuskan demikian hari ini selepas Hakim Syarie, Mohd. Fazil Hasan mengambil kira keterangan abang sulung wanita itu bahawa tiada berlakunya rujuk antara Noraini dan Mohd. Fudzi.

Menurutnya, saksi kelima itu yang hanya dikenali sebagai Ahmad menyatakan arwah sendiri menafikan pernah rujuk ketika ditanya olehnya pada setiap tahun wanita itu pulang ke Melaka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Permohonan pengesahan rujuk dikemukakan oleh Mohd. Fudzi di mahkamah tersebut berikutan berlaku kecelaruan dan ketidakadilan dari segi pembahagian harta peninggalan arwah isterinya yang sepatutnya dimiliki oleh dia selaku suami dan empat anak mereka.

Dalam keputusannya, Mohd, Fazil turut menyifatkan pengeluaran surat status janda oleh majikan arwah menunjukkan Noraini yang juga berkhidmat sebagai anggota polis semasa hayatnya menafikan berlakunya rujuk.

Di samping itu, beliau menyatakan, Mohd. Fudzi selaku plaintif gagal memanggil suami kedua wanita berkenaan, Razali Saad sebagai saksi atau menamakannya sebagai defendan.

''Selain itu, pihak plaintif gagal memanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) iaitu pihak yang mengeluarkan borang perceraian pasangan tersebut yang dikemukakan oleh arwah untuk bernikah dengan suami keduanya.

''Mahkamah terkilan kerana kegagalan melibatkan kedua-dua pihak tersebut (Razali dan JAIWP) telah memberi ruang tohmahan yang amat besar dalam kes ini,'' kata Mohd. Fazil.

Permohonan plaintif sebelum ini disokong oleh keterangan dua saksi yang menafikan mereka pernah menandatangani borang tersebut bagi mengesahkan penceraian pasangan itu.

Menurut Mohd. Fazil lagi, keputusan Noraini bernikah dengan Razali sebenarnya dengan jelas menunjukkan Noraini menafikan berlakunya rujuk dan wanita itu sendiri mahukan sebuah hubungan halal.

Mohd. Fudzi, 58, bernikah dengan Noraini, 53, pada 1976 dan bercerai pada 1 November 1984. Bagaimanapun, Mohd. Fudzi mendakwa dia dan Noraini rujuk semula pada keesokan harinya namun ia tidak didaftarkan.

Plaintif mendakwa, mereka tinggal berasingan pada 2001 walaupun masih bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, wanita berkenaan didakwa bernikah kali kedua pada 2001 dengan Razali sebelum meninggal dunia pada 2007 akibat kanser payu dara.

Mohd. Fudzi diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif.
PUTRAJAYA 24 Nov. – Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah tidak perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pengosongan kerusi DUN itu sementara menunggu rayuan didengar pada tarikh lain.

Dengan keputusan saat akhir yang diumumkan pukul 7.30 malam ini, SPR tidak perlu mengemukakan writ Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh yang sepatutnya dikeluarkan selewat-lewatnya esok.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie membenarkan permohonan SPR setelah berpuas hati bahawa isu perlembagaan yang dihujahkan itu belum pernah dibangkitkan di mahkamah.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Sulong menyatakan, isu yang timbul adalah sama ada kegagalan ADUN menghadiri dua sidang Dewan boleh menyebabkan kerusi DUN dikosongkan di bawah Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UTKNK).

Beliau turut menyatakan, persoalan undang-undang itu memerlukan tafsiran mendalam kerana ia melibatkan kepentingan dan polisi awam yang turut memberi kesan kepada perlembagaan negeri-negeri lain.

‘‘Kesahihan perintah pengosongan yang diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi itu perlu diuji di peringkat lebih tinggi kerana ia melibatkan tafsiran perlembagaan,’’ ujar beliau.

Hakim Sulong berkata, mahkamah mempunyai kuasa bagi mengeluarkan perintah penangguhan sementara di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman untuk mengekalkan status quo rayuan yang akan didengar kelak.

Menurut beliau, penangguhan terhadap perintah pengosongan itu tidak akan menyebabkan prejudis kepada kedua-dua pihak selain mengelak daripada berlangsungnya pilihan raya yang tidak perlu dan hanya membazirkan wang rakyat.

Sehubungan itu, Hakim Sulong berpuas hati bahawa alasan implikasi kewangan yang dihujahkan oleh SPR boleh dikategorikan sebagai keadaan istimewa.

Sementara itu, panel serupa turut menolak dengan kos permohonan penyandang kerusi DUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mereka memutuskan demikian setelah berpuas hati bahawa Abu Hassan tidak mempunyai hak tersebut ekoran kegagalannya membuat permohonan terdahulu ketika di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said ketika berhujah mewakili SPR menyatakan, permohonan itu perlu dibenarkan bagi mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil diadakan yang akan menelan perbelanjaan yang besar.

Beliau menyatakan, kos pilihan raya DUN Kota Siputeh yang lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 dan ia menjadi sia-sia jika satu lagi pilihan raya kecil diadakan.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berhujah, permohonan SPR itu wajar ditolak kerana ia akan menyebabkan berlaku pelanggaran terhadap operasi perlembagaan kerana kerusi yang dikosongkan itu perlu diisi.

#SAYA TERINGAT CERITA DONGENG 'UNDANG-UNDANG KONEK HARIMAU' KARYA AZIZI HJ. ABDULLAH

Monday, November 23, 2009

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pertuduhan terhadapnya dibatalkan kerana mendakwa laporan perubatan terhadap pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menunjukkan tiada berlakunya perbuatan liwat.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, adalah perlu dibuktikan daripada keterangan perubatan bahawa berlakunya perbuatan tersebut.

''Dalam kes ini, laporan perubatan dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bahawa tidak berlakunya kemasukan (zakar ke dalam dubur). Ini sahaja telah cukup untuk mahkamah membatalkan pertuduhan kerana adalah jelas tiada kesalahan telah dilakukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan liwat yang dihadapi Anwar terhadap bekas pembantunya itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan pertuduhan terhadapnya adalah berniat jahat (mala fide), menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada 17 Jun lalu, Ketua Pembangkang itu juga mendakwa pertuduhan tersebut merupakan suatu konspirasi politik dan muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar turut mendakwa, walaupun wujud keterangan-keterangan daripada doktor-doktor pakar yang menolak berlakunya kejadian liwat ke atas pengadu, namun pihak pendakwaan masih meneruskan pendakwaan jahat terhadap beliau.

Anwar, 62, didakwa atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Sivarasa dalam hujahannya menyatakan, laporan perubatan Pusrawi menunjukkan tiada berlaku pendarahan atau kecederaan pada dubur pengadu malahan pemerhatian doktor menunjukkan dubur pengadu 'bersih, kering dan kelihatan normal'.

Walaupun begitu, katanya, afidavit balasan seorang daripada anggota pasukan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria menyatakan pendakwa raya bergantung kepada keterangan lisan dan forensik berhubung kejadian itu.

Sivarasa juga berhujah, pihak pendakwaan berniat jahat dan menyalahgunakan proses mahkamah semasa membuat pertuduhan terhadap Anwar berikutan adanya campur tangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu.

Walhal, menurutnya, terdapat laporan berhubung tindakan Abdul Gani yang didakwa mereka-reka keterangan berhubung kejadian 'mata lebam' pada 1998.

Sambil menafikan wujud konspirasi politik, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, laporan perubatan kedua-dua hospital itu tidak menyatakan tiada perbuatan liwat berlaku sebaliknya hanya mencatatkan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh'.

Ini kerana, hujah beliau, doktor terbabit hanya membuat pemeriksaan fizikal terhadap Mohd. Saiful.

Di samping itu, beliau memaklumkan, laporan perubatan oleh doktor HKL turut mencatatkan penemuan 'campuran asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki daripada dua individu' di dubur pengadu.

Tegas Mohd. Yusof lagi, lebih banyak keterangan sedemikian akan dikemukakan semasa perbicaraan kelak, selain keterangan forensik dan lisan bagi menyokong pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Justeru, beliau memohon mahkamah menolak permohonan itu dan meneruskan kes tersebut dengan mendengar perbicaraan penuh sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan dengan tuduhan itu atau dibebaskan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan menentukan pada 1 Disember keputusan permohonan itu dan sebutan untuk kes liwat tersebut.
KANGAR 22 Nov. – Sebuah kedai pajak gadai Islam di Taman Sena Indah dekat sini kehilangan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM7 juta serta wang tunai sebanyak RM68,000 akibat dimasuki pencuri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Pemangku Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara tengah malam tadi dan awal hari ini.

Katanya, pencuri memasuki premis itu melalui pintu belakang yang diumpil dan melarikan barangan kemas dan wang tunai itu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian itu pukul 12.30 tengah hari daripada kakitangan kedai itu.

Menurutnya, setakat ini polis belum mengenal pasti suspek dalam kejadian itu namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh pencuri secara berkumpulan dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

— Bernama