Showing posts with label sejarah islam. Show all posts
Showing posts with label sejarah islam. Show all posts

Tuesday, November 10, 2009

1.0 Pengenalan
Pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyah telah mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang dan akhirnya mengalami kemerosotan.

Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Namun selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam empayar Turki Uthmaniyah. Malang yang menimpa ini adalah lantaran kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah yang telah membawa kepada kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.

Keruntuhan empayar yang telah mencapai kegemilangan ini merupakan peristiwa yang kompleks bagi sebuah masyarakat Islam dari sebuah kerajaan menuju negara moden. Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika. Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.

2.0 Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2.1 Politik
Faktor politik merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.

Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan, baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ini dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan dan kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral. Contohnya, Sultan Murad III telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim membunuh 100 000 orang dan menyaksikan sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan sultan yang hidup bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang menurun. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan Ibrahim dipengaruhi oleh Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam pemerintahan untuk menyingkirkan Wazir Agung Kara Mustafa. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Pertahanan merupakan aspek terpenting dalam politik sesebuah negara. Oleh itu, kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan. Hal ini disebabkan oleh pertandingan ketenteraan yang sebenarnya telah ditinggalkan yang menyebabkan putera-putera raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung kerana perkara ini memberi kebebasan kepada para pegawai. Hal ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilh bukan berdasarkan kemampuan yang unggul. Di samping itu kelemahan ketenteraan juga dapat dilihat melalui penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba mejadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkat, lantas menghapuskan asas disiplin dalam tentera. Jelaslah bahawa faktor politik yang akhirnya telah membawa kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2.2 Ekonomi
Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan. Hal ini dibuktikan melalui jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara. Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Perdagangan yang lembab menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang semakin maju dalam bidang perdagangan. Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke-16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Selain itu, kemunduran dalam ekonomi Tuki adalah akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti. Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

2.3 Sosial
Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah. Pemberontakan merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak Druze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang Austria, Poland dan Safavi. Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah menyerap dalam kalangan pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi lumpuh disebabkan pemimpin yang tamak haloba. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut. Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan. Oleh itu, rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan para dayang yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki Uthmaniyah.

2.4 Pengaruh Luar
Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.
Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Selain itu, siri perjanjian dengan negara Eropah yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718 menyebabkan Turki kehilangan Timsuar, Belgrad, sebahagian besar negeri Serbia dan negeri Rumania. Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki kepada Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine kepada Russia dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam setelah mengusainya selama beberapa abad. Jelaslah pengaruh luaran merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan semula Eropah selepas berlakunya zaman gelap.

3.0 Kesan Terhadap Negara-Negara Islam
Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.

3.1 Politik
Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan. Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila kejatuhan Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik menyebabkan institusi khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada suasana politik negara Islam. Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan Kesultanan Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan dalam sistem politik Turki. Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara Iran di bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja, sama dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.

Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah. Kelemahan Turki menyebabkan negara di bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah. Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan, Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan perpecahan negara umat Islam. Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi Hijaz. Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa Turki. Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara Islam yang lain.

3.2 Ekonomi
Ekonomi negara-negara Islam turut mendapat kesan akibat daripada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ekonomi Turki akibat perang kerana negara terpaksa membuat perbelanjaan yang besar untuk biaya perang. Hal ini telah menyebabkan negara Islam yang dahulunya di bawah pengaruh seperti Timur Tengah dan Afrika Utara mengalami kemerosotan ekonomi. Negara Islam semakin teruk terjejas ekonominya apabila selepas tamat Perang Dunia 1 kerana dengan persetujuan Sykes-Picot 1916 wilayah Turki Uthmaniyah telah dibahagikan kepada Perancis, Inggeris, Russia dan Itali. Hal ini menyebabkan ekonomi negara Islam yang dibahagikan telah terjejas akibat daripada penguasaan orang Eropah.

Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai ekonomi negara Islam. Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham. Selain itu, penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah perniagaan asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara Islam telah melemahkan ekonomi negara Islam.

3.3 Sosial
Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki telah menjadi ikutan negara Islam yang lain. Hal ini dapat dibuktikan kepercayaan sosialis Fabian Qibti Salama Musa di Iran yang berpendapat bahawa kebudayaan Barat menjadi kunci kepada reformasi sosial. Kebudayaan Barat ini telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang membawa kepada perpecahan umat Islam. Contohnya, Inggeris menggalakkan pemisahan kaum Assyria dengan menubuhkan tentera khas untuk menindas kaum Kurdi dan Turki yang tinggal di utara Iraq. Jelaslah bahawa perpaduan umat Islam mula retak selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah.

4.0 Penutup
Turki Uthmaniyah mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri yang telah melalui era kegemilangan, kemerosotan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan. Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki. Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik.

Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada kebangkitan Eropah. Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan keseniaan. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan sehingga rakyat golongan yang mementingkan hiburan dan keseronakkan. Oleh itu, sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula institusi Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.



Fakta Sejarah Pattani


Di dalam catatan sejarah, berlaku perbezaan pendapat mengenai bila wujudnya dan dari mana asalnya kerajaan atau kesultanan Islam Pattani. Namun, fakta-fakta berikut boleh membantu kita untuk memahami sejarah Pattani dan mengapa bangsa Melayu Muslim di Pattani bangkit menghadapi pemerintah kuffar Buddha,Thailand :


a) Para Pengembara China yang sering ke neger-negeri Asia Tenggara pada abad ke-2 Masihi : sebuah negeri bernama Lang-ya-Shiu atau Langkasuka wujud ketika itu.


b) Ahli sejarah Eropah : dari catatan para pengembara China ini menunjukkan bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora ( Songkhla ) dan Kelantan adalah lokasi asal Pattani.


c) Ahli sejarah, Paul Wheatly : kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan Timur-Barat Tanah Getting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan semenanjung sehingga ke Teluk Benggala.


d) Ahli sejarah, A.Teeuw & Wyatt : Pattani telah muncul sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15 berdasarkan tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1404 Masihi.


e) Sejarah Hikayat Pattani : kerajaan Pattani bermula dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang diperintah oleh Phya Tu Kerab Mahayana. Disebabkan kota ini terlalu jauh dari ke pedalaman dan sukar didatangi oleh para pedagang menyebabkan Phya Tu Antara, anak Phya Tu Kerab memindahkan kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudian diberi nama ‘Pattani’. Kampung ini ditengarai berpusat di Kampung Grisek, wilayah Pattani sekarang.


Pattani terletak di kawasan strategic secara geografi di Semenanjung Siam menyebabkan wilayah ini menjadi tumpuan para pedagang dari Barat atau Timur untuk singgah berniaga. Dalam waktu yang singkat, Pattani menjadi sebuah kerajaan yang penting dan maju disudut ekonomi dan stabil dalam politik serta pemerintahan.


f) D’Eredia, pengembara Portugis : Islam masuk ke Pattani lebih awal dari Melaka. Antara yang masuk Islam adalah Phya Tu Antara melalui seorang ulama’ dari Pasai , Sheikh Said. Akhirnya namanya ditukar menjadi Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam. Sejak itu, Pattani menjadi tumpuan para pedagang Islam yang akhirnya menjadikan Pattani sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal ( tulisan D’Eredia pada 1613 )


Berikut adalah catatan sejarah mengikut tahun-tahun pula :


Kurun ke-8 : Pattani adalah sebuah kerajaan termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan merupakan kota pelabuhan yang penting.


1603, 1632, 1634 & 1638 : Pattani bukan sahaja hebat dan terkenal dengan perdagangan sahaja, bahkan terkenal dengan kekuatan tenteranya. Tahun-tahun berikut adalah tahun kerajaan Pattani berjaya mengalahkan serangan kerajaan Siam.


1651 : Kekuatan Pattani merosot baik dibidang ekonomi, politik juga ketenteraan. Daya tarikannya sebagai pusat perdagangan mulai menurun seiring dengan perkembangan pusat perdagangan di Johor, Melaka, Aceh, Banten dan Batavia ( Jakarta ).


1785 : Seiring dengan kemerosotan tersebut, akhirnya Pattani dijajah oleh Siam dan berjaya ditakluk kerajaan Islam ini. Sejak itulah Pattani berada dibawah cengkaman Siam. Namun, umat Islam baik rakyat biasa mahupun ulama’ , terus bangkit melawan penjajah Siam. Antaranya adalah Sheikh Daud Fathoni, seorang ulama’ besar saat itu. Akhirnya, Siam meminta bantuan Inggeris dalam menumpaskan gerakan kebangkitan umat Islam.


1842 : Inggeris keletihan dan tidak mampu lagi membantu Siam menghadapi umat Melayu Muslim. Akhirnya Inggeris meminta Siam menyerahkan semula Pattani untuk diperintah oleh orang Melayu kerana dibimbangi suasana tidak aman akan berterusan, bahkan boleh menggangu gugat kepentingan Inggeris di Pulau Pinang dan Selat Melaka terutama dalam hal perdagangan jika pejuang-pejuang Pattani terus mengganggu dan melancarkan serangan ke atas aktiviti perniagaan di Selat Melaka.


Namun, penyerahan semula Pattani kepada Sultan Melayu bukan diberi percuma begitu sahaja. Setiap 3 tahun, kerajaan Pattani terpaksa membayar ufti berbentuk emas dan Perak kepada kerajaan Siam sebagai tanda kesetiaan dan bakti. Maka, pihak Siam tidak akan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Pattani.


1899 : Raja Siam, Chulalongkorn mulai mencampuri urusan kesultanan Pattani. Ia berusaha menghapuskan kesultanan Pattani serta menjadikan negeri itu sebahagian dari kerajaan Siam. Seorang gubernor dilantik oleh beliau di Pattani sebagai kepala pemerintahan yang bertanggungjawab langsung ke atas dirinya. Gubernor itu bukanlah orang Melayu, tetapi Siam yang tidak boleh berbicara bahasa Melayu dan tidak mengerti adat istiadat atau budaya Melayu-Islam.


1902 : Raja Pattani yang terakhir, Tengku Abdul Kadir ditangkap oleh kerajaan Siam kerana menentang keputusan Chulalongkorn melantik gubernor ini. Tahun inilah bermulanya penjajahan rasmi Siam ke atas Pattani dan permulaan konflik Siam-Pattani. Nama kerajaan Siam pun berubah menjadi Thailand selepas Pattani dimasukkan dibawah pemerintahan mereka.


1906 : Wilayah utara Melayu ( Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Setun ) diserahkan oleh pemerintah colonial Inggeris kepada Siam. Akhirnya 5 wilayah ini dimasukkan dibawah Thailand.


1909 : Inggeris membuat persepakatan dengan Siam yang dikenal sebagai ‘Perjanjian Bangkok’ untuk memisahkan Pattani dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung. Akhirnya Inggeris mengambil Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu dan dijadikan negeri naungan mereka. Manakala Pattani, Yala, Narathiwat dan Setun diserahkan kepada Siam dan keputusan tersebut kekal sehingga hari ini.


[ Dalam perjanjian ini, raja-raja Melayu tidak pernah dilibatkan langsung. Orang-orang Melayu Kelantan bernasib baik kerana mendapat ‘ibu’ yang baik iaitu Inggeris yang tidak mencampuri urusan rumahtangga Kelantan, adapun Pattani mendapat ‘ibu’ yang tidak baik iaitu Siam kerana Siam inginkan orang Melayu-Pattani menjadi sama dengan diri mereka ]


1938 : Thailand mula dikuasai oleh pemerintahan tentera iaitu bermula dengan naiknya Jenderal Luang Pibulsongkram yang memerintah sehingga tahun 1944.


1958 : Kekuasaan tentera diteruskan oleh Marshal Sarit Thanarat sehingga tahun 1963. Selepasnya beberapa jenderal lain lagi yang naik memerintah.


[ Di bawah pemerintahan tentera, dasar nasionalisme (kebangsaan) Thailand menjadi agenda utama pemerintahan mereka. Disitulah bermulanya proses ‘Thailandisasi / Siamisasi’ iaitu proses men’Siam’kan ( penggunaan budaya dan Bahasa Thai dipaksakan ke atas seluruh Thailand termasuk Selatan Thailand ). Maka berlakulah pertembungan budaya yang keras antara Melayu Muslim dan Siam yang akhirnya menciptakan bantahan yang kuat dari Muslim Melayu di Selatan Thailand ].


Tragedi Terkini :


2004 : Kemuncak kekerasan pemerintah Thailand ke atas umat Islam Selatan Thailand berlaku dibawah regim Thaksin Shinawatra dengan aksi serangan ke atas Masjid Krisek ( Kre Se ), Pattani tanggal 28 April 2004 yang mengorbankan 106 remaja dan pemuda Muslim dan 34 orang yang lain di dalam masjid Krisek.


2004 : Berlakunya tragedy berdarah Tak Bai ( Ta Ba ) tanggal 24 Okt 2004. Laporan rasmi dari pemerintah Thailand menyatakan seramai 79 orang yang terkorban, namun umat Islam tetap meragui angka itu kerana sejak kejadian sehingga saat ini, seramai lebih 60 orang masih tidak pulang ke rumah mereka.


2009 : Tragedi Masjid Al-Furqan, Sg.Golok yang berlaku tangga 09 Jun 2009.


Gerakan Perlawanan Rakyat Pattani & Umat Islam


Dalam menghadapi kekejaman pemerintah Thailand, rakyat Pattani bangkit berjuang melalui pelbagai pertubuhan. Antaranya adalah seperti berikut :


1) Pattani United Liberation Organisation ( PULO )

2) Gerakan Mujahidin Islam Pattani ( GMIP )

3) Gerakan Islam Pattani ( GIP )

4) Barisan Nasional Pembebasan Pattani ( BNPP )

5) Barisan Revolusi Nasional ( BRN ) – di bawahnya terdapat BRN Congress dan BRN Coordinate.


Namun, agak menyedihkan kita apabila mereka masih gagal mengusahakan ‘kesatuan’ antara mereka. Masing-masing bergerak dengan hala tuju perjuangan pertubuhan mereka sendiri. Ada yang perjuangan lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas nama nasionalisme, ada yang berjuang di atas nama perjuangan Islam melalui pergerakan jihad dan sebagainya.


Pada tahun 2006, pernah mereka melakukan sebuah pertemuan antara kelompok-kelompok perlawanan ini untuk menandatangani perjanjian nota rekonsiliasi Joint Peace and Development Plan for South Thailand ( Perdamaian Bersama dan Rencana Pembangunan Selatan Thailand ). Pertemuan ini dihadiri oleh PULO, BRN Congress, GMIP dan Barisan Pembebasan Islam Pattani ( BPIP ). Namun, ianya tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh demi terciptanya perdamaian. Akhirnya masing-masing gerakan perjuangan mengangkat senjata dan terus melakukan perlawanan. Sehingga kini, yang terlihat aktif melakukan serangan kepada kuffar Siam adalah PULO dan BRN melalui pendekatan underground dan serangan gerila.

Kesan Negatif Dari Kegagalan Membina Kesatuan Antara Kelompok-Kelompok Perjuangan


Hasilnya amat malang apabila kesatuan gagal dibentuk dan masing-masing bergerak dengan haluan dan ideology pertubuhan masing-masing. Sebagai contoh, apabila berlaku aksi-aksi serangan terhadap tentera Thailand secara diam-diam, munculnya tembakan sniper (penembak tepat), serangan bom dan sebagainya kepada pihak tentera, maka pasti tidak ada mana-mana kelompok yang mengaku itu tindakan mereka. Semua gerakan ini menutup mulut. Aksi-aksi mereka disifatkan sebagai ‘hit and run’. Akibatnya, perasaan curiga mencurigai antara kelompok-kelompok ini berlaku bahkan rakyat biasa juga mencurigai.


Maka, ini menjadi peluang kepada pihak tentera untuk melakukan lagi aksi-aksi kekerasan dengan menangkap dan menembak siapa sahaja yang mereka curigai sebagai anggota mana-mana gerakan perjuangan ini. Akhirnya, orang-orang awam yang tidak bersenjata terus menjadi mangsa. Inilah yang dibimbangi oleh ustaz-ustaz dan para ulama’ disana yang sangat mengharapakan agar kelompok-kelompok perlawanan ini mampu berada dibawah satu wadah perjuangan. Ini lebih memudahkan dan meringankan beban berat perjuangan ini. Namun, ianya tidak mungkin berlaku selagi mana wujudnya pelbagai ideology perjuangan yang berbeza seperti perjuangan Nasionalisme (Kebangsaan) dan perjuangan Islam.


Walaubagaimanapun, para pejuang Pattani telah bersumpah jika pemerintah Thailand tetap mempertahankan 5 wilayah ini daripada dapat semula kepada bangsa Melayu Muslim, maka mereka tidak akan meletakkan senjata sehingga mendapat kemerdekaan. Perjuangan melawan Thailand bagi mereka adalah sebuah jihad berdasarkan fatwa Sheikh Daud Al-Fathoni, seorang ulama’ besar Pattani yang mana fatwanya masih kekal berlaku sehingga saat ini bahawa hukum berjihad melawan Siam adalah Fardhu Ain. Kerana Siam bukan sahaja menjajah ,tetapi juga berusaha mem’Buddha’kan orang-orang Melayu.


Orang-orang Melayu Muslim hanya mahukan sejarah masa lalunya yang ‘hilang’ sebagai negeri Islam dikembalikan semula.


Mata-Mata ( Para Pengkhianat )


Agak menyedihkan, ketika ada umat Islam yang bangkit berjuang menuntut kemerdekaan Pattani bahkan seluruh Selatan Thailand, masih ada dikalangan warga Pattani yang sanggup menjadi pengkhianat. Merekalah yang menjadi mata-mata bagi pihak kerajaan Thailand khasnya tentera. Merekalah yang melaporkan kedudukan para pejuang yang bersembunyi dan maklumat-maklumat lain para pejuang ini. Puncanya, ada yang melakukan kerja khianat ini kerana faktor kewangan yang mencekam hidup mereka. Akhirnya mereka sanggup berkhinat dengan dibayar 4000-5000 baht untuk menjadi penyampai informasi. Namun, tidak kurang juga para pegawai kerajaan Thailand yang sanggup melakukan pengkhianatan ke atas umat Islam sendiri.


Maka, tidak hairanlah jika orang-orang sebegini yang menjadi sasaran penembakan para pejuang di Selatan Thailand. Untuk bertemu dimana kedudukan para pejuang amat sulit. Mereka adalah para pejuang yang cukup berhati-hati daripada orang-orang yang tidak dikenali agar maklumat pergerakan mereka tidak bocor kepada pemerintah kuffar, Buddha, Thailand.


Fakta Sejarah Perjuangan Umat Islam Selatan Thailand


Selatan Thailand terdiri dari 5 buah negeri yang besar iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara etnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam ( Thailand ).


Jumlah bangsa Melayu Muslim di wilayah-wilayah ini adalah seperti berikut :


Bil


Wilayah


Keluasan (km persegi)


Jumlah Muslim (Tahun 2000)


Peratus Muslim

1


Pattani


812


596,000


80.7

2


Yala


1,799


415,500


68.9

3


Narathiwat


1,821


662,400


82

4


Setun


1,076


247,900


67.8

Menurut Pejabat Statistik Nasional Thailand pada tahun 2000, jumlah penduduk di 5 wilayah ini adalah 6326,732 orang. Majoriti Muslim terdapat di 4 wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Setun iaitu sekitar 71 % di kawasan kota dan 86% di desa. Sedangkan di Songkhla, Muslim seramai 19% dan Buddha 76.6%. Namun, hampi semua bangsa Melayu disana mengatakan bahawa persen mereka mencapai 90% berbanding Siam (Buddha). “Data yang dikeluarkan oleh pemerintah ini tidak relevan” kata Rusdi Tayek, timbalan Ketua Majlis Agama Islam Pattani. “Jika anda melakukan survey, anda akan mendapati jumlah umat Melayu Muslim di Selatan Thailand adalah hamper 90%” katanya lagi.


“ Kami mendominasi wilayah Selatan Thailand dan menjadi majority di sini. Jumlah warga Siam yang beragama Buddha tidak sampai 10%. Pihak kerajaan Thailand sengaja memutarbalikkan fakta tentang umat Islam di Selatan Thailand” kata Abdullah, warga Daerah Yarang, wilayah Pattani.


Selatan Thailand Wilayah Kaya


Antara punca pemerintah Thai meneruskan penjajahan ke atas Selatan Thailand adalah kerana wilayah ini kaya dengan hasil alamnya. Wilayah ini sangat subur dan makmur sehingga mampu menyumbang sebanyak 40% Gross National Product (GNP) Thailand, namun hasilnya mereka hanya mendapat 2% sahaja dari kekayaan ala mini dan selebihnya ‘dirompak’ oleh kerajaan Thailand.


Penghapusan Bahasa dan Budaya Melayu Muslim


1) Jika mereka menjadi pemimpin tertinggi pejabat di 3 wilayah besar ini, mereka membawa orang-orang Siam dari Utara untuk menjadi pegawai kerajaan. Orang-orang Melayu tidak ada yang menjadi pegawai kerajaan. Semua pegawai-pegawai bukan penduduk asli, tetapi semuanya Siam. Padahal 90% penduduk di 3 wilayah ini adalah Melayu-Muslim. Jumlah pegawai-pegawai kerajaan beragama Buddha sebanyak 75% dan umat Islam hanya 15%.


2) Umat Islam dipaksa berbicara bahasa Siam, tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu, perlu mengikut acara-acara ibadah mereka sehingga nama terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan yang ada di Selatan Thailand sendiri pun. Nama seperti Ahmad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dipemerintahan.


3) Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Muslim Pattani tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah, bahkan juga sekolah-sekolah swasta. Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani yang bagi pemerintah Pattani bukan negeri Melayu, tetapi keturunan dari Thailand.


4) Bahasa Melayu tidak dibenarkan menjadi bahasa pengantar disekolah-sekolah sehinggakan nama-nama tempat pun diubah. Contohnya : Menara menjadi Narathiwat, Tebing menjadi Taling Can dan langgar menjadi ruk.


Suasana pemaksaan menggunakan bahasa Siam dan mengikuti budaya mereka ini telah dirasai oleh umat Islam sejak penjajahan Siam ke atas Pattani pada tahun 1902. Identiti local di Selatan Thailand sebenarnya lebih dekat dengan Kelantan dan Kedah. Maka tidak hairanlah jika Muslim Patani lebih biasa menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Siam (Thai) yang digalakkan oleh pemerintah pusat sebagai bahasa rasmi Negara Thailand.


[ Namun, umat Islam Pattani tetap berusaha menyediakan alternative penyelamat kepada permasalahan ini. Agar identity Melayu dan Islam terus terpelihara, akhirnya mereka membuka Taman Dididikan Kanak-Kanak (Tadika) seperti madrasah setiap hari Sabtu dan Ahad dimana anak-anak usia sekolah rendah diminta untuk belajar agama menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar dimasjid-masjid dan dikampung-kampung. Bagi pemerintah Thai, mereka juga berusaha menghapuskan sekolah-sekolah ‘gantian’ ini dengan cara menyediakan juga sedikit pengajian agama disekolah kebangsaan,tetapi dengan sangat minima dan tenaga pengajarnya orang-orang yang rendah lulusan agamanya. Ini hanya taktik pemerintah Thai sahaja.


Bahkan, anak-anak Pattani yang pulang dari Timur Tengah mempelajari agama termasuk di Malaysia, Indonesia dan sebagainya, tidak diberi jawatan-jawatan didalam kerajaan Thailand. Akhirnya, anak-anak disekolah lebih berminat menggunakan bahasa Siam berbanding bahasa Arab sebab guru mereka memberitahu belajar Bahasa Arab tidak ada masa depan]


[ Air mata umat Islam di lima wilayah yang didiami oleh majority umat Islam di Thailand masih belum kering. Setiap hari ada sahaja laporan dari media mengenai kekejaman pihak regim tentera Thailand ke atas umat Islam di wilayah-wilayah ini. Mungkin jika di Malaysia, wilayah-wilayah ini adalah sebuah negeri iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Entah berapa kali sudah Thailand bertukar Perdana Menteri, namun dasar dan sikap jahat setiap PM Thailand ke atas umat Islam sama sahaja, bahkan tidak ada kezaliman yang berkurang sedikit pun. Sejak konflik antara pemerintah Thailand dan bangsa Melayu Muslim Selatan Thailand mencapai kemuncaknya pada tahun 2004, lebih dari 3700 orang umat Islam terkorban baik yang dibunuh secara berhadapan, dibunuh secara diam-diam, hilang diculik dari rumah dan tidak pulang-pulang dan sebagainya ]

Usaha Melenyapkan Sejarah Pattani


Menyimpan apa sahaja buku-buku berkaitan sejarah Pattani pasti akan diambil tindakan oleh pihak pemerintah Thai. Semua buku-buku ini diharamkan dan tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah. Bagi regim kuffar Buddha, Thai, orang-orang yang memiliki buku-buku sejarah Pattani adalah golongan pejuang atau mereka yang membangkitkan ‘semangat separatis’ – pemberontak untuk memisahkan diri dari Thailand.

Maka tidak hairanlah jika diantara banyak-banyak buku sejarah Pattani yang berbahasa Arab atau Thai atau jawi Melayu ini, ada sebuah buku yang sengaja dibungkus dengan cover 3 wanita Bangkok yang berparas cantik ,tetapi isinya penuh dengan sejarah Muslim Pattani yang ditulis dengan tulisan Jawi Melayu tanpa judul.

Ini dilakukan bagi mengelabui mata pihak tentera yang menggeledah masuk mana-mana rumah Muslim Pattani. Inilah beberapa cara yang sangat sistematik dari pihak pemerintah Thai bagi menguburkan sejarah Muslim Pattani.


Kesan Penjajahan Siam ( Thai ) ke Atas Pattani


1) Setelah terpaksa menggunakan bahasa Thai dalam perbualan harian dan pelbagai pemaksaan budaya mereka ke atas umat Islam Selatan Thailand, akhirnya strategi pihak pemerintah ini hampir-hampir berjaya. Buktinya, setelah lebih 50 tahun terlihatlah kesannya apabila banyak generasi muda Melayu Muslim lebih enak menggunakan bahasa Thai berbanding bahasa Melayu, baik disekolah ataupun dalam pergaulan harian. Namun, mereka ‘dipaksa’ pula oleh keluarga untuk menggunakan bahasa Melayu apabila berada dalam lingkungan keluarga.


Penggunaan bahasa Melayu menurut statistic Nasional Thailand, diakui sangat kuat di 3 wilayah : Narathiwat, Yala dan Pattani ( atas 7%) dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Selatan Thailand, Satun dan Songkhla.


2) Generasi muda Pattani banyak belajar di Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Baghdad, Sudan serta Malaysia dan Indonesia, namun mereka bukanlah mendapat sokongan dan bantuan dari pemerintah, bahkan ketika pulang, mereka tidak dibenarkan berkhidmat di pejabat-pejabat kerajaan.


Kondisi di Selatan Thailand


Pelbagai keganasan, pembunuhan dan pengeboman masih terjadi khasnya di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani. Namun, sangat aneh kerana belum ditemukan kelompok manakah dikalangan para pejuang ini yang melakukannya. Apabila berlaku serangan atau pembunuhan pihak tentera, polis atau masyarakat Buddha, yang dituduhnya adalah Muslim. Jika ada tetamu atau mana-mana ‘orang luar’ yang Muslim datang ke Pattani dan sekitarnya, umat Islam sangat bimbang untuk menumpangkan mereka tidur dirumah kerana dibimbangi dituduh ada apa-apa ‘pakatan’ atau bantuan yang mereka terima untuk melakukan serangan-serangan.


Suasana sangat mencekam dan tidak aman amat terasa apabila melalui jalan-jalan di Narathiwat, Yala dan Pattani. Pos-pos kawalan dan palang besi penuh disetiap tempat yang menakutkan para pemnadu kenderaan. Kiri kanan jalan penuh dengan tentera bersenjata dengan kawalan yang sangat ketat. Dengan jarak 400-500 meter sahaja telah ada pos-pos kawalan yang diletakkan tentera bagi mengintai orang-orang asing yang dicurigai. Dari Yala sehingga ke Narathiwat sahaja sekitar 18-20 penghadang kedapatan. Jumlah tentera yang ditugaskan sebagai tambahan terkini seramai 70,000 orang.


Kenderaan-kenderaan yang lalu ditahan, dicheck, digeledah passport dan beg siapa sahaja yang dicurigai. Bukan sahaja warga asing yang ketakutan dengan kondisi ini, namun ketakutan turut dirasai oleh warga setempat sendiri. Keluar pagi untuk bekerja, tidak menjamin mereka akan pulang semula kerumah petang nanti. Setiap hari dipasar-pasar dan dijalanan penuh dengan pasukan tentera yang berkelompok sekitar 4-5 orang yang bersenjata, berjalan kaki atau bermotor. Begitulah suasana Pattani siang dan malam.


Jika berjaya memasuki perbatasan Malaysia dan Selatan Thailand yang bernama Tak Bai, itu adalah keuntungan kerana masuk kesana tidak semudah yang disangkakan. Pelbagai pertanyaan akan dilakukan oleh pihak imigrasi mengenai tujuan kehadiran dan apa kepentingan memasuki Thailand. Lagikan pula, saat ini wajah 4 pemuda Melayu yang dianggap pejuang ditampal di papan informasi imigrasi Thailand kerana masih diburu. Disitu tertulis ‘wanted’.


Setiap hari, sekitar 2-3 orang Muslim akan terbunuh disana. Apabila pemerintah menuduh tindakan-tindakan ini adalah tindakan para pemberontak (baca: pejuang Islam), umat Islam menafikannya kerana tidak mungkin ustaz dan orang Islam adalah sasaran para pejuang.


Siapa Yang Untung Dengan Keganasan di Selatan Thailand ?


1) Disatu sudut yang lain, keganasan yang berlaku di Selatan Thailand mampu menguntungkan beberapa parti politik di Thailand seperti Parti Thai Rak Thai ( parti Thaksin ketika dia masih PM Thai ). Kerana apa ? Kerana apabila mana-mana ahli politik dan partinya yang memainkan isu keganasan di Selatan Thailand, maka mereka akan mendapat bajet yang besar atas misi rehabilitasi dan pembangunan Selatan Thailand kononnya.


2) Bagi pasukan keselamatan pula yang sekaligus mempunyai perusahaan di Selatan Thailand, inilah peluang bagi mereka menikmati monopoli dan menghindari pesaing-pesaing baru.


Maka, tidak mustahil bahawa keganasan-keganasan yang berlaku di Selatan Thailand adalah plan dari ‘pihak-pihak’ yang berkepentingan ini juga dan berkemungkinan merekalah yang menjadi pelindung kepada mana-mana kelompok yang melakukan pelbagai kerusuhan di Selatan Thailand ini seperti membunuh para sami Buddha, membakar sekolah-sekolah, menembak orang awam, membunuh ustaz-ustaz dan sebagainya. Maka, jelas bahawa amatlah bodoh jika sekolah-sekolah dibakar dan ustaz-ustaz dibunuh oleh para pejuang Islam sendiri.


Sikap Umat Islam Pattani


Kebencian Muslim Selatan Thailand terhadap pemerintah dan tentera jelas kelihatan. Bukan sekali terjadi pembunuhan umat Islam dihadapan masjid atau didalam masjid, masjid-masjid dilempar batu dan sebagainya. Maka, pembalasan demi pembalasan mereka lakukan dan rencanakan ketas pihak tentera dan orang-orang Siam sehingga saat ini, mereka mula berhati-hati untuk tidak menginjak umat Islam dengan mudah begitu sahaja.


Umat Islam disana sangat berhati-hati apabila bicara soal politik secara terbuka, apalagi tentang strategi perjuangan. Mereka tidak akan mengaku sebagai pejuang. Lebih enak mereka diam sahaja. Berbicara soal politik secara terbuka atau soal perjuangan bukan tidak mungkin akan ditembak dijarak yang dekat itu jika ada tentera yang melalui dan curiga dengan mereka. Jika ditanya kepada Muslim disana apa yang mereka inginkan, maka antara jawapannya : mahu autonomi khusus untuk menentukan nasib mereka sendiri, ingin merdeka dari belenggu penjajah Thailand, meminta pemerintah Thai menarik segera tentera di Selatan Thailand dan sebagainya.


Taktik Gerilawan BRN dan lain-lain


Barisan Revolusi Nasional (BRN) mempunyai taktik perang gerila yang hebat. Mereka sangat cermat, penuh perhitungan, terorganisasi rapid an matang. Tentera jarang sekali berhasil menangkap pelaku-pelaku serangan. Ketika melakukan serangan, para gerila akan memastikan bila tentera akan melalui mana-mana tempat ,lalu melepaskan tembakan atau melempar bom dan melarikan diri. Senjata kemudian ditinggalkan dimana-mana tempat yang telah ditetapkan dan kemudian akan diambil oleh pejuang lain untuk disembunyikan.


Pelaku tembakan akan segera bersembunyi kea rah lain, kemudia yang muncul lascar berbeza pakaian sipil mendatangi tempat kejadian untuk mengelabui mata tentera. Ketika mengejar pelaku, tentera hanya menemui pejuang yang berpakain sipil (awam) yang lain. Mereka tidak mendapatkan apa-apa apabila dilakukan soal siasat. Akhirnya pihak tentera bertambah stress dan menderita paranoid kerana berperang dengan musuh yang tidak nampak.


Sangat mengkagumkan, taktik perang para pejuang ini diambil dari buku Bapak Haris ,seorang jenderal tentera Indonesia yang ternama. Maksudnya, Jenderal AH Nasution, ahli perang gerila dan penulis buku ‘Strategy of Guerrilla Warfare’. Kelompok-kelompok pejuang ini ada kelompok kecil seramai 5 orang yang disebut arkeke .Seorang dari mereka menjadi ketua. Tiap ketua (komandan) ini hanya mengenal ketua arkeke lain sahaja, tidak dengan anggotanya. Koordinasi hanya berlaku antara komandan-komandan sahaja. Para komandan ini pula berada dibawah satu kelompok lagi diperingkat atas dan mereka juga ada ketua. Demikianlah sehingga ke pucuk pimpinan mereka. Maka, maklumat langkah perjuangan mereka jarang bocor keluar. Bahkan masyarakat pun tidak tahu siapa anggota mereka dan simpatisan mereka. Padahal para pejuang ini berada bersama masyarakat juga. Mereka juga bekerja seperti warga setempat. Ada petani, nelayan, mahupun pegawai pemerintah dan swasta. Sampai kadangkala pejuang tidak tahu bahawa disebelah rumahnya itu adalah pejuang juga yang berada didalam kelompok lain.


Didalam BRN terdapat bahagian militer, politik, ekonomi dan sebagainya. Divisi militer yang akan melakukan serangan gerila dan latihan perang. Divisi politik bertugas memobilasi massa, melakukan tipudaya, dan diplomasi. Divisi ekonomi akan berkonsentrasi dalam hal mencari dana untuk perjuangan.


Diawalnya, para pejuang gerila ini yang bergerak secara underground ini bermarkaz dihutan-hutan Selatan Thailand, namun setelah diserang dalam serangan besar-besaran oleh tentera menggunakan senjata dan peralatan tempur moden, mereka terpaksa berpindah-pindah tempat. Kini mereka bukan sahaja bergerak dihutan, tetapi juga mula masuk kota dan kampong-kampung melakukan serangan sporadic, meledakkan bom, melakukan penembakan,lalu terus menghilang.


Mereka tidak mengenal penat lelah. Tiada istilah menyerah atau mundur. Target mereka ‘merdeka atau syahid’. Jika menang, itu adalah kejayaan dan jika mati, itu adalah syahid bagi mereka. Untuk bertemu mereka sangat sulit jika kita gagal meyakinkan dan mendapatkan kepercayaan mereka. Maksudnya harus ada tokoh agama atau tokoh masyarakat setempat yang kita kenal dan boleh menjamin kita orang yang boleh dipercayai. Namun, kadangkala memang orang yang ditemuramah oleh media-media adalah para pejuang, tetapi mereka tidak akan mengaku sedikitpun.


Beberapa Kes


Pertengahan Julai-Ogos 2008 kekerasan makin bergolak . Antaranya seperti berikut :


1) 21 Julai – 6 orang polis dan seorang warga setempat cedera di Yala akibat serangan bom dan dihari yang sama seorang kepala desa ditembak oleh orang yang tidak dikenal.


2) 22 Julai – seorang tentera terbunuh dan 5 cedera apabila kenderaan mereka diserang dalam perjalanan di Narathiwat.


3) 25 Julai – 4 orang umat Islam dan seorang ustaz maut. Ustaz ini adalah ustaz yang ke-100 maut dalam 4 tahun terakhir di ketiga negeri ini ketika menunggang motor.


4) 13 Ogos – sebuah bom meledak di sebuah bengkel motor di Pattani dan melukai 18 orang warga. Pemerintah menuduh bahawa kejadian itu didalangi oleh umat Islam yang bergabung dengan kelompok pemberontak. Akhirnya tentera melakukan serangan di 3 daerah ini. Di Narathiwat 2 orang Muslim tewas ditembak mereka. Tentera berjumlah 1000 orang dihantar dalam operasi itu bersama helikopter tempur yang melakukan serangan selama lebih dari 5 jam.


5) Seorang ustaz alumni Al-Azhar yang baru sahaja tiba dirumah, ditembak mati seminggu menjelang Ramadhan 1429 H di wilayah Bacho, Narathiwat ketika membuka pintu rumah yang diketuk orang. 4 tembakan segera menyambutnya dari 4 lelaki yang tidak dikenali.


6) Data dari pejabat pemerintah Thailand di Yala dan Narathiwat :


- mulai 1-31 Ogos 2008 : 88 kes pembunuhan, penculikan dan penembakan berlaku.

- Korban mati seramai 45 orang, cedera 136 orang.

- Kes terbanyak di Pattani : 33 kes.

- Narathiwat : 27 kes.

- Yala : 21 kes.

- Songkhla : 7 kes.


7) Sejak 4 Januari 2004 – 31 Ogos 2008 : 6942 kes berlaku.

- terbanyak di Narathiwat : 2427 kes.

- Pattani : 1968 kes.

- Yala : 1533 kes.

- Songkhla : 339 kes.

- Korban seramai 4346, meninggal 1773, cedera 2573 orang.


[ Ini data rasmi pemerintah Thai, adapun data dari umat Islam lebih tinggi dari itu iaitu lebih 3000 orang Islam mati sejak 2004 ].


Akhir


Perlu difahami secara baik bahawa perjuangan umat Islam di Selatan Thailand bukan hanya sebatas perjuangan membela identity bangsa Melayu yang dijajah, tetapi lebih dari itu adalah perjuangan untuk mendapatkan semula tanah air mereka yang pernah tertegaknya kerajaan Islam iaitu Kesultanan Islam Pattani. Namun, tidak dinafikan bahawa ada juga kelompok-kelompok yang berjuang diatas dasar kebangsaan (nasionalisme) Melayu semata-mata. Dengan sebab ideology perjuangan yang berbeza inilah akhirnya mereka masih gagal bergabung dibawah satu wadah.


Untuk kita pula, teruskan membantu mereka dengan doa yang berterusan, bantuan kewangan kepada mana-mana pertubuhan Islam yang jelas dasarnya, sebarkan semaksima mungkin maklumat perjuangan dan derita umat Islam disana kepada seluruh umat Islam lain dan usahakan apa sahaja kaedah untuk membantu mereka baik melalui tekanan kepada kerajaan Malaysia sebagai pengerusi OIC dan lain-lain yang boleh menyelamatkan mereka disana dengan kadar kemampuan kita agar kita selamat dihadapan Allah nanti di Akhirat dari pertanggungjawaban tentang kezaliman ke atas mereka ini.
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Palembang beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.

Parameswara
Menurut Sejarah Melayu, Parameswara (nama asal baginda ialah Dharmaraja) adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bintan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bintan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara yang tewas melarikan diri dengan baki pengikutnya ke semenanjung tanah melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3]

Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.

Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Ancaman serangan daripada pihak Siam menyebabkan keputusan Parameswara membayar ufti kepada negara China pada tahun 1409 supaya mendapat perlindungan. Pada tahun 1411, diiringi oleh Laksamana Cheng Ho, beliau melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo.
Parameswara memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada "Raja Megat Iskandar Shah".

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

Perkembangan Melaka
Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".
Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

Kegemilangan Kesultanan Melaka
Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.

Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

Kejayaan Melaka
Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.

Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Kejatuhan Melaka
Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya (Sultan Alaudin Riayat Shah) mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.

Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.

Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah melarikannya ke Kampar, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak

Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1526.