Showing posts with label tak boleh harap. Show all posts
Showing posts with label tak boleh harap. Show all posts

Monday, February 15, 2010

KUALA LUMPUR – Penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej antara yang ditangkap dalam operasi cegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sempena sambutan Hari Kekasih, malam semalam.

Difahamkan, penuntut terbabit dari sekitar Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain, termasuk Selangor dan Pahang.

Dalam operasi serentak malam semalam, 74 dicekup dalam beberapa operasi dijalankan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, operasi selama enam jam bermula jam 11 malam hingga 5 pagi itu tertumpu di beberapa hotel yang sering menjadi sarang maksiat selain tempat awam yang menjadi tumpuan muda mudi memadu asmara.

Menurutnya, operasi di Kuala Lumpur telah disertai 50 anggota Penguat kuasa Jawi dengan dibantu Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibahagikan kepada beberapa pasukan.

“Dalam operasi di lapan buah hotel sekitar Kuala Lumpur, kita berjaya menahan 44 remaja dan dewasa umur lingkungan 20-an dan 30-an atas kesalahan khalwat.

“Empat pasang ‘kekasih’ pula ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan dalam operasi di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri dan Taman Tasik Kepong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pesalah khalwat yang ditahan dibawa ke pejabat Jawi untuk soal siasat dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

“Lapan termasuk 14 yang ditahan dalam operasi di Putrajaya atas kesalahan di bawah Seksyen 29 akta sama kerana berkelakuan tidak sopan pula diperintahkan hadir mengikuti sesi kaunseling.

“Dalam operasi di Labuan, empat ditahan kerana minum arak dan dua pasangan berkelakuan tidak sopan,” katanya.

Thursday, November 19, 2009

KOTA BHARU - Seramai lima anggota polis termasuk seorang pegawai ditahan selepas dikesan positif dadah dalam pemeriksaan air kencing di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka ditahan dalam operasi Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang melakukan pemeriksaan mengejut pada pukul 3 petang.

Menurut beliau, pegawai polis yang ditahan itu berpangkat Asisten Supritendan Polis (ASP) manakala empat lagi membabitkan anggota polis berpangkat Lans Koperal.

"Dalam operasi itu seramai 300 orang anggota dan pegawai di kem itu diwajibkan melakukan ujian air kencing.

"Daripada 300 orang itu, lima anggota polis berusia 20 hingga 50 tahun itu didapati positif mengambil dadah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kata Abdul Rahim, operasi tersebut dilakukan secara mengejut dan ia bertujuan mengesan anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Wednesday, November 18, 2009

BATU PAHAT 17 Nov. - Meskipun digantung tugas namun seorang anggota polis masih tidak serik dan terus melakukan jenayah.

Namun perbuatannya itu tidak bertahan lama apabila dia diberkas bersama seorang rakannya kerana disyaki cuba melakukan pecah rumah di Taman Cahaya, Yong Peng, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, suspek berusia 46 tahun ditahan bersama seorang lagi rakannya berusia 45 tahun di dalam sebuah kereta.

Katanya, seorang lagi rakan mereka yang berada di dalam sebuah kereta lain bagaimanapun berjaya melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis.

"Suspek sebelum ini bertugas di sebuah balai di daerah Gombak, Selangor. Hasil pemeriksaan menemui beberapa peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, tukul besi, playar dan sejumlah kunci di dalam kereta itu.

"Kedua-dua kereta itu pula menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Skudai dan Ulu Tiram baru-baru ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil maklumat orang ramai berhubung kehadiran tiga lelaki di dalam dua kereta di belakang sebuah kedai makan di Taman Cahaya Kota, Yong Peng.

"Mereka cuba melarikan diri tetapi dua daripadanya berjaya ditahan, manakala seorang lagi dalam kereta lain melarikan diri," katanya.