Thursday, February 18, 2010

KUANTAN - Dua lelaki hidung belang menerima padah apabila dua wanita cantik dipercayai pelacur yang dilanggan daripada seorang bapa ayam untuk melepaskan nafsu sebenarnya anggota kumpulan penyamun.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah malam di sebuah hotel murah di sini, mangsa berusia 25 dan 26 tahun berasal dari Terengganu dan Johor bukan saja gagal melepaskan nafsu, sebaliknya turut menjadi mangsa samun tiga lelaki, termasuk bapa ayam yang menawarkan khidmat pelacur kepada mereka sebelum itu.

Pegawai Turus Urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan empat telefon bimbit, wang tunai RM400, kad pengenalan dan beberapa kad bank.

Menurutnya, salah seorang mangsa turut tercedera apabila ditumbuk seorang daripada tiga suspek ketika cuba menghalang mereka melarikan beg pinggang rakannya.

“Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang difahamkan bekerja sendiri itu menerima panggilan daripada seorang bapa ayam menawarkan khidmat pelacur berbangsa Melayu sebelum menyuruh mereka menunggu di sebuah kedai serbaneka berhampiran.

“Tidak lama kemudian muncul dua wanita menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM100 setiap seorang sebelum mengajak mereka ke hotel murah berhampiran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Monday, February 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kemudian menolak apa yang diperintahkannya, rasuah, sapu duit rakyat dan salahguna kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Bagi saya, tak berarak tidaklah berdosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi kemudian tolak apa yang Nabi suruh? Apa guna kita berarak dan berselawat tapi tak hayati sunnah Nabi?" soal beliau.
SHAH ALAM, 15 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berpendapat kelemahan dalam sistem pendidikan dan sistem sosial antara faktor besar menyumbang kepada peningkatan jenayah buang bayi di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kedua-dua sistem tersebut agar masalah ini dapat dibendung secepat mungkin.

"Saya berpendapat ia disebabkan kelemahan sistem pendidikan dan sistem sosial Malaysia.

"Saya menyeru kepada kementerian kebajikan agar mengambil langkah proaktif mengkaji secara berkesan bagi menangani masalah ini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gejala pembuangan bayi yang semakain berleluasa berlaku dalam negara.

Sehubungan itu, beliau juga memaklumkan bahawa Selangor sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kementerian dalam usaha menangani permasalahan yang semakin berleluasa itu.

Minggu lalu sahaja empat kes buang bayi dilaporkan berlaku.

Terbaru membabitkan seorang bayi lelaki yang dibuang dan dibakar dalam sebuah tong sampah di sebuah lorong Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai.

Bayi malang seberat kira-kira dua kilogram ditemui dua petugas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dengan keadaan separuh badannya hangus dan kaki bercerai dari badan.
KOTA BHARU - Novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy menyifatkan industri perfileman negara masih tidak mampu menghasilkan karya yang menerapkan unsur-unsur Islam dalam usaha memberikan dakwah kepada masyarakat di negara ini dengan cara yang lebih berkesan.

Beliau yang popular dengan novel Ayat-Ayat Cinta berkata, penggiat filem di negara ini dilihat agak ketinggalan kerana mereka tidak berani menonjolkan kehidupan, seni dan amalan Islam di dalam karya mereka.

“Di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid. Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri.

“Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana Apa yang paling penting adalah niat. Masyarakat semestinya akan melihat hasil kita dan ia semua bergantung kepada penulis itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada satu sidang akhbar di sini, semalam.

Habiburrahman, 33, berkunjung ke negeri ini bagi memenuhi jemputan menghadiri program ‘Hari Hiburan Islam’.

Pada program yang sama turut dimuatkan program bicara selebriti dan tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang diadaptasi daripada novel beliau berjudul Ketika Cinta Bertasbih.

Mengulas penerimaan masyarakat Indonesia terhadap filem berunsur dakwah beliau berkata, sepanjang tiga tahun lepas, filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa di negara tersebut.
KUALA LUMPUR – Penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej antara yang ditangkap dalam operasi cegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sempena sambutan Hari Kekasih, malam semalam.

Difahamkan, penuntut terbabit dari sekitar Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain, termasuk Selangor dan Pahang.

Dalam operasi serentak malam semalam, 74 dicekup dalam beberapa operasi dijalankan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, operasi selama enam jam bermula jam 11 malam hingga 5 pagi itu tertumpu di beberapa hotel yang sering menjadi sarang maksiat selain tempat awam yang menjadi tumpuan muda mudi memadu asmara.

Menurutnya, operasi di Kuala Lumpur telah disertai 50 anggota Penguat kuasa Jawi dengan dibantu Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibahagikan kepada beberapa pasukan.

“Dalam operasi di lapan buah hotel sekitar Kuala Lumpur, kita berjaya menahan 44 remaja dan dewasa umur lingkungan 20-an dan 30-an atas kesalahan khalwat.

“Empat pasang ‘kekasih’ pula ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan dalam operasi di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri dan Taman Tasik Kepong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pesalah khalwat yang ditahan dibawa ke pejabat Jawi untuk soal siasat dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

“Lapan termasuk 14 yang ditahan dalam operasi di Putrajaya atas kesalahan di bawah Seksyen 29 akta sama kerana berkelakuan tidak sopan pula diperintahkan hadir mengikuti sesi kaunseling.

“Dalam operasi di Labuan, empat ditahan kerana minum arak dan dua pasangan berkelakuan tidak sopan,” katanya.
KOTA BHARU - Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang disyaki membuang dan membakar bayi lelaki seberat kira-kira dua kilogram dalam tong sampah di sebuah lorong, di Jalan Zainal Abidin, Kuala Krai, pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner: Mazlan Lazim berkata, berhubung kejadian berkenaan siasatan akan dijalankan mengikut Sek- syen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Menurutnya, pihaknya juga memohon kerjasama orang ramai yang ternampak seseorang membawa bungkusan dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi segera Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Krai, Asisten Superintendan Idris Man menerusi 09-9666222.

“Dalam kes ini kita juga mewujudkan satu pasukan untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung pembuangan bayi lelaki yang dilahirkan hampir dua kilogram itu.

“Kita juga kini mengesan ibu kepada bayi terbabit yang melahirkan bayi ini dan menyerahkan kepada suspek sebelum dibuang dan dibakar dalam tong sampah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mazlan berkata, pihaknya memandang serius kes ini dan juga meminta mana-mana klinik swasta yang mengetahui sebarang maklumat supaya menyalurkan segera kepada polis untuk sebarang tindakan.

“Difahamkan, bayi berkenaan telah dilahirkan dua hari sebelum kejadian dan dibiarkan sehingga meninggal dunia.

“Bayi itu difahamkan dibawa oleh suspek dalam keadaan sudah meninggal dunia sebelum dibuang dan dibakar dalam tong sampah berkenaan,” katanya.

Bayi berkenaan dijumpai tiga pekerja Majlis Daerah Kuala Krai kira-kira jam 11 pagi kelmarin, ketika melakukan kerja memungut sampah di kawasan itu.

Thursday, December 17, 2009

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.