Wednesday, November 25, 2009


KUALA LUMPUR 24 Nov. - Tanda tanya tentang kehidupan sepasang suami isteri yang nampak senang meskipun tidak bekerja terbongkar apabila ditahan polis kerana melakukan jenayah ragut dan seluk saku, Sabtu lalu.

Tambah mengejutkan pasangan berusia 32 dan 37 tahun itu yang aktif melakukan jenayah tersebut di sekitar Sentul sejak lima bulan lalu turut merekrut 14 ahli baru.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sehubungan itu, polis kini memburu ahli-ahli baru tersebut yang masih bebas.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan setelah pihaknya mengintip pergerakan mereka ekoran lapan kes berkaitan ragut yang dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, ketika ditahan pada pukul 4 petang di kawasan Jinjang, polis menemui dua buah telefon bimbit yang dipercayai baru mereka ragut.

''Susulan penahanan suspek, polis menahan seorang lagi lelaki yang disyaki ahli kumpulan itu di sebuah rumah di Jinjang Utara, kira-kira pukul 12.30 malam, hari yang sama.

''Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Khairi, selain meragut, pasangan suami isteri itu turut berperanan mengarahkan ahli-ahli yang direkrut untuk melakukan jenayah sama.

Beliau berkata, ahli-ahli itu akan diarah untuk mengenal pasti mangsa di terminal bas seperti Puduraya, Hentian Putra atau pasar raya dan berpura-pura menghulurkan bantuan sebelum meragut.

''Sasaran utama kumpulan ini juga ialah wanita yang dilihat bersendirian,'' katanya.

Difahamkan, rata-rata ahli yang direkrut baru sahaja tiba di ibu negara dan masih lagi mencari pekerjaan.

No comments:

Post a Comment