Wednesday, November 25, 2009


SHAH ALAM 24 Nov. - Polis Selangor berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah melibatkan 10 pelajar warga asing dalam dua operasi yang diadakan di kawasan Subang Jaya dan Puchong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan pertama, empat warga Nigeria berusia antara 23 hingga 28 tahun yang juga pelajar kolej swasta di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur ditahan di tepi jalan sebuah hotel di Subang Jaya pada pukul 8.45 pagi.

Katanya, polis turut merampas sebuah beg pakaian daripada salah seorang suspek yang cuba melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek itu, tambah beliau, ditemui dua bungkusan plastik berisi dadah jenis heroin seberat 925 gram bernilai RM60,000 yang dipercayai cuba dijual di pasaran luar negeri.

''Turut dirampas, mata wang asing AS$5,000 (RM16,950) serta wang tunai RM7,740.

''Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan terhadap keempat-empat suspek itu kerana ada di antaranya berada di negara ini dalam tempoh sebulan hingga setahun.

''Mereka kini ditahan reman sehingga 28 November bagi membantu siasatan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua, Nordin memberitahu, polis menahan enam lagi pelajar warga asing berusia 20 hingga 30 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong pada pukul 6 petang semalam.

Katanya, mereka adalah tiga warga Nigeria dan masing-masing seorang warga Arab Saudi, Yemen dan Somalia yang menuntut di kolej swasta di sekitar Lembah Klang.

Ketika serbuan itu, jelas beliau, salah seorang daripada suspek bertindak mencampak keluar sebuah beg melalui tingkap pangsapuri berkenaan.

''Hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan, kita menemui 54 bungkusan timah berisi ketulan ganja mampat seberat 355 gram bernilai RM3,000 serta wang tunai berjumlah RM3,000,'' ujarnya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kesemua ganja yang dirampas itu untuk pasaran dalam negeri.

Malah, katanya, tiga daripada suspek tersebut disahkan positif dadah menerusi ujian air kencing dan mereka semua kini ditahan reman sehingga 30 November ini untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Nordin memberitahu, siasatan merangkumi sama ada semua suspek mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

No comments:

Post a Comment