Wednesday, November 25, 2009


ALOR SETAR 24 Nov. - Seorang peniaga makanan yang menyembunyikan dadah dalam bilik air rumah isteri keduanya kira-kira lapan tahun lalu, dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar seberat 24,418 gram kanabis.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jaafar Sidek Darus, 47, hari ini setelah keterangan pembelaannya didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, hakim tersebut juga mendapati lelaki itu gagal mengemukakan nama dua rakan tertuduh yang didakwa mempunyai kunci rumahnya.

''Pihak peguam bela juga tidak menyangkal bahawa tertuduh adalah penghuni rumah tersebut pada masa kejadian,'' ujarnya.

Jaafar Sidek disabitkan dengan tuduhan mengedar dadah berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Februari 2001 di rumah No. 97, Lorong Tanjung Indah, Taman Tanjung Indah, Kulim, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Adha Subri sementara tertuduh diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.

No comments:

Post a Comment