Wednesday, November 25, 2009


SHAH ALAM 24 Nov. - Akibat terlalu marah kerana dikenakan faedah yang tinggi ke atas wang RM10,000 yang dipinjamnya, seorang pemilik bengkel bertindak memukul seorang buruh dengan sebatang besi sehingga mati.

Bagi menyembunyikan jenayah tersebut, dia dengan bantuan seorang pelajar tingkatan lima yang bekerja sambilan di bengkelnya telah bertindak membakar mangsa bersama-sama kereta miliknya di jalan masuk ke sebuah ladang.

Setelah hampir dua tahun dibicara, A. John Donald, 31, hari ini menerima pembalasan apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh A. Saravanan, 29.

Sementara tertuduh kedua iaitu pesalah juvenil yang kini berusia 19 tahun pula diperintah ditahan di penjara untuk tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Datuk Su Geok Yiam semasa membuat keputusan berkata, pembelaan kedua-dua tertuduh adalah rekaan semata-mata serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut beliau, mahkamah tidak percaya dengan pembelaan kedua-dua tertuduh bahawa mereka tidak terlibat dalam pembunuhan apabila mendakwa pergaduhan antara John Donald dan mangsa hanya disebabkan masalah perempuan.

Kata Hakim Geok Yiam, keterangan bahawa rakan sekelas tertuduh kedua, saksi pendakwa ke-16 merupakan individu yang bertanggungjawab memikir serta mencadangkan agar mayat mangsa dibakar juga sesuatu yang mustahil.

Di samping itu, jelas beliau, keterangan pembelaan tidak pernah timbul semasa kedua-duanya berada dalam tahanan polis atau dicadangkan oleh pihak pembelaan kepada saksi-saksi pendakwa semasa mereka memberi keterangan.

''Sekiranya pembelaan itu sesuatu yang benar, ia akan dicadangkan kepada saksi-saksi pendakwa kerana sesuatu yang benar tidak patut disembunyikan,'' katanya.

John Donald dan remaja itu didakwa membunuh A. Saravanan antara pukul 5.30 petang, 1 April dan 7.15 pagi, 2 April 2007 di jalan susur masuk ke Ladang Guru Nanak, Kilometer 28, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Serendah, Hulu selangor dekat sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Sree Devi Naidu.

Mengikut keterangan, saksi yang merupakan rakan sekelas tertuduh kedua semasa masuk ke bengkel John Donald pada hari kejadian, telah melihat lelaki itu memukul Saravanan dengan sebatang besi sebanyak dua hingga tiga kali di kepala.

Ketika itu, mangsa sedang duduk di atas mangkuk tandas dengan kepala tersandar di dinding serta dalam keadaan berlumuran darah.

Selepas itu, tertuduh kedua singgah membeli minyak petrol yang diisikan di dalam botol air mineral lalu membawa mangsa yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta menuju ke sebuah ladang.

Mangsa kemudiannya dibakar bersama-sama keretanya sebelum ditemui dalam keadaan rentung oleh pihak polis.

No comments:

Post a Comment