Wednesday, December 9, 2009


KLANG 8 Dis. - Demi mengubati penyakitnya, seorang guru sanggup menyerahkan thali (rantai perkahwinan) kepada seorang warga emas yang dipercayai boleh menyembuhkannya melalui satu upacara sembahyang.

Guru tersebut bagaimanapun tidak bernasib baik apabila lelaki terbabit menghilangkan diri bersama rantai tersebut dan wang upah sebanyak RM551.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tertuduh, K.R. Thangayah, 52, hari ini menerima balasannya apabila dia dihukum penjara setahun akibat perbuatannya itu.

Majistret Liew Horng Bin memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan pada 13 Mei lalu dan tertuduh tidak dikenakan hukuman sebat atas faktor umur.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan menipu K. Suntari, 39, sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kerugian RM8,000.

Thangayah didakwa memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan seutas rantai emas bagi melakukan satu upacara sembahyang untuk mengubati penyakit pada September tahun lalu di TBG 1060, Jalan Tepi Sungai di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Menurut fakta kes, mangsa diminta untuk mengambil semula rantai tersebut selepas dua minggu tetapi apabila dihubungi, tertuduh memberitahu barang kemas itu berada di sebuah kubur bagi tujuan jampi dan meminta supaya diberi tempoh 14 hari lagi.

Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya telah menghilangkan diri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elya Ezrin Mohd. Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Thangayah ketika mengemukakan rayuan memohon agar dikenakan hukuman ringan memandangkan dia sakit setelah diserang angin ahmar.

No comments:

Post a Comment