Monday, November 23, 2009


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pertuduhan terhadapnya dibatalkan kerana mendakwa laporan perubatan terhadap pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menunjukkan tiada berlakunya perbuatan liwat.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, adalah perlu dibuktikan daripada keterangan perubatan bahawa berlakunya perbuatan tersebut.

''Dalam kes ini, laporan perubatan dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bahawa tidak berlakunya kemasukan (zakar ke dalam dubur). Ini sahaja telah cukup untuk mahkamah membatalkan pertuduhan kerana adalah jelas tiada kesalahan telah dilakukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan liwat yang dihadapi Anwar terhadap bekas pembantunya itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan pertuduhan terhadapnya adalah berniat jahat (mala fide), menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada 17 Jun lalu, Ketua Pembangkang itu juga mendakwa pertuduhan tersebut merupakan suatu konspirasi politik dan muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar turut mendakwa, walaupun wujud keterangan-keterangan daripada doktor-doktor pakar yang menolak berlakunya kejadian liwat ke atas pengadu, namun pihak pendakwaan masih meneruskan pendakwaan jahat terhadap beliau.

Anwar, 62, didakwa atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Sivarasa dalam hujahannya menyatakan, laporan perubatan Pusrawi menunjukkan tiada berlaku pendarahan atau kecederaan pada dubur pengadu malahan pemerhatian doktor menunjukkan dubur pengadu 'bersih, kering dan kelihatan normal'.

Walaupun begitu, katanya, afidavit balasan seorang daripada anggota pasukan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria menyatakan pendakwa raya bergantung kepada keterangan lisan dan forensik berhubung kejadian itu.

Sivarasa juga berhujah, pihak pendakwaan berniat jahat dan menyalahgunakan proses mahkamah semasa membuat pertuduhan terhadap Anwar berikutan adanya campur tangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu.

Walhal, menurutnya, terdapat laporan berhubung tindakan Abdul Gani yang didakwa mereka-reka keterangan berhubung kejadian 'mata lebam' pada 1998.

Sambil menafikan wujud konspirasi politik, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, laporan perubatan kedua-dua hospital itu tidak menyatakan tiada perbuatan liwat berlaku sebaliknya hanya mencatatkan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh'.

Ini kerana, hujah beliau, doktor terbabit hanya membuat pemeriksaan fizikal terhadap Mohd. Saiful.

Di samping itu, beliau memaklumkan, laporan perubatan oleh doktor HKL turut mencatatkan penemuan 'campuran asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki daripada dua individu' di dubur pengadu.

Tegas Mohd. Yusof lagi, lebih banyak keterangan sedemikian akan dikemukakan semasa perbicaraan kelak, selain keterangan forensik dan lisan bagi menyokong pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Justeru, beliau memohon mahkamah menolak permohonan itu dan meneruskan kes tersebut dengan mendengar perbicaraan penuh sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan dengan tuduhan itu atau dibebaskan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan menentukan pada 1 Disember keputusan permohonan itu dan sebutan untuk kes liwat tersebut.

No comments:

Post a Comment