Wednesday, November 25, 2009


KUALA LUMPUR 24 Nov. - Selepas 25 tahun berlalu, dakwaan lafaz rujuk antara pesara polis, Mohd. Fudzi Sulaiman dengan bekas isterinya yang sudah meninggal dunia, Noraini Abu Bakar disahkan tidak pernah berlaku.

Mahkamah Rendah Syariah Kajang dekat sini memutuskan demikian hari ini selepas Hakim Syarie, Mohd. Fazil Hasan mengambil kira keterangan abang sulung wanita itu bahawa tiada berlakunya rujuk antara Noraini dan Mohd. Fudzi.

Menurutnya, saksi kelima itu yang hanya dikenali sebagai Ahmad menyatakan arwah sendiri menafikan pernah rujuk ketika ditanya olehnya pada setiap tahun wanita itu pulang ke Melaka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Permohonan pengesahan rujuk dikemukakan oleh Mohd. Fudzi di mahkamah tersebut berikutan berlaku kecelaruan dan ketidakadilan dari segi pembahagian harta peninggalan arwah isterinya yang sepatutnya dimiliki oleh dia selaku suami dan empat anak mereka.

Dalam keputusannya, Mohd, Fazil turut menyifatkan pengeluaran surat status janda oleh majikan arwah menunjukkan Noraini yang juga berkhidmat sebagai anggota polis semasa hayatnya menafikan berlakunya rujuk.

Di samping itu, beliau menyatakan, Mohd. Fudzi selaku plaintif gagal memanggil suami kedua wanita berkenaan, Razali Saad sebagai saksi atau menamakannya sebagai defendan.

''Selain itu, pihak plaintif gagal memanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) iaitu pihak yang mengeluarkan borang perceraian pasangan tersebut yang dikemukakan oleh arwah untuk bernikah dengan suami keduanya.

''Mahkamah terkilan kerana kegagalan melibatkan kedua-dua pihak tersebut (Razali dan JAIWP) telah memberi ruang tohmahan yang amat besar dalam kes ini,'' kata Mohd. Fazil.

Permohonan plaintif sebelum ini disokong oleh keterangan dua saksi yang menafikan mereka pernah menandatangani borang tersebut bagi mengesahkan penceraian pasangan itu.

Menurut Mohd. Fazil lagi, keputusan Noraini bernikah dengan Razali sebenarnya dengan jelas menunjukkan Noraini menafikan berlakunya rujuk dan wanita itu sendiri mahukan sebuah hubungan halal.

Mohd. Fudzi, 58, bernikah dengan Noraini, 53, pada 1976 dan bercerai pada 1 November 1984. Bagaimanapun, Mohd. Fudzi mendakwa dia dan Noraini rujuk semula pada keesokan harinya namun ia tidak didaftarkan.

Plaintif mendakwa, mereka tinggal berasingan pada 2001 walaupun masih bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, wanita berkenaan didakwa bernikah kali kedua pada 2001 dengan Razali sebelum meninggal dunia pada 2007 akibat kanser payu dara.

Mohd. Fudzi diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif.

No comments:

Post a Comment