Wednesday, December 9, 2009


TEMERLOH – Pas Pahang menerusi satu seminar yang dianjurkan telah mengemukakan enam resolusi penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negeri, jika diberi peluang mentadbir Pahang.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, enam resolusi itu ialah Pas komited kepada usaha membasmi ketidakcekapan, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan dasar serta pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri.

Menurutnya, Pas akan meningkatkan hasil perhutanan dan galian melalui pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telus, amanah dan bersistematik.

“Jika Pas memerintah, kita akan membasmi kegiatan pembalakan haram, meningkatkan hasil negeri dan menjamin aktiviti pemuliharaan hutan dilakukan secara berterusan,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Pahang, selepas selesai seminar bertajuk ‘Masa Depan Ekonomi Negeri Pahang Dalam Gagasan Pakatan Rakyat di Kuantan’, kelmarin.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas juga akan meningkatkan kecekapan sistem pengutipan cukai hasil negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang telus, amanah, bersistematik dan pendekatan yang fleksibel serta kreatif.

Beliau berkata, selain itu, usaha jangka panjang seperti mengekal dan meningkat komitmen dalam memajukan industri asas tani dan kegiatan ekonomi hilirannya bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri supaya sentiasa berdaya saing turut dilaksanakan.

Menurutnya, Pas akan memperkukuh peranan pemantauan pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan kerajaan melalui pengukuhan penyertaan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembuat keputusan dan pelaksanaan dasar ekonomi negeri.

Tuan Ibrahim berkata, Pas menginsafi dan memberi perhatian serius bagi menghayati K-Ekonomi dalam meningkat kebolehan dan daya saing rakyat melalui penyediaan prasarana dan iklim pengurusan berasaskan bakat dan kebolehan (meritokrasi).

“Sebagai contoh, pelantikan pegawai mengikut kebolehan dan sumbangan, juga memperluas aktiviti dan ruang diskusi perdebatan dan pemupukan budaya ilmu dalam kalangan rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas akan terus komited kepada usaha membasmi ketidakcekapan, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan dasar serta pentadbiran kewangan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, usaha meneroka dan mengenal pasti sumber dan kegiatan baru ekonomi negeri akan mengurangkan pergantungan pada dana dan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu lagi berterusan menjadi sebuah negeri miskin, meminjam wang daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya berusaha menjadi sebuah negeri yang menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Seminar kelmarin diadakan bagi melahirkan kekecewaan terhadap prestasi buruk ekonomi negeri, berikutan kedudukan kewangannya yang defisit sejak 12 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment