KUCHING 17 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat ini supaya penguatkuasaan keputusan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah oleh mahkamah itu semalam, ditangguhkan.
Ia bagi membolehkan SPR membuat rayuan sehingga ke peringkat mahkamah yang paling tinggi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya mahu meneruskan rayuan terhadap keputusan berkenaan menerusi proses undang-undang sehingga ke peringkat terakhir termasuk di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, menurutnya, ia bergantung kepada keputusan pada Jumaat ini sama ada rayuan untuk menangguhkan penguatkuasaan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu akan memihak kepada SPR atau sebaliknya.
‘‘Kita hormati keputusan mahkamah tetapi SPR akan melakukan rayuan berdasarkan proses undang-undang yang dibenarkan.
‘‘Seperti biasa, jika kita sudah mengetahui apakah keputusannya, SPR mempunyai 10 hari daripada tarikh kekosongan sesebuah kerusi DUN itu untuk melakukan pengumuman.
“Tetapi sekarang kita merayu penguatkuasaan keputusan itu ditangguhkan hingga ke peringkat yang akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil.
Keputusan dibuat ekoran penyandang kerusi itu, Datuk Abu Hassan Sarif gagal menghadiri dua persidangan Dewan itu secara berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
Abdul Aziz berkata, apabila keputusan muktamad sudah diperoleh sehingga ke peringkat mahkamah yang paling tinggi, maka SPR di bawah peruntukan undang-undang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan tarikh penamaan calon dan pengundian.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini SPR akan menunggu proses undang-undang itu tamat terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihaknya tidak akan mengadakan apa-apa mesyuarat pada masa ini.
Permohonan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.
Abdul Isa mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat kawasan itu.
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment