Wednesday, November 18, 2009


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Datuk Abu Hassan Sarif hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dan beliau bukan lagi wakil rakyat kawasan tersebut.

Abu Hassan memfailkan notis rayuan tersebut melalui peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini pada pukul 1.35 petang ini.

Beliau mengesahkan salinan notis akan diserahkan kepada peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail dan Jabatan Peguam Negara bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said juga memfailkan permohonan serupa hari ini.

Semalam, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mengisytiharkan kerusi Kota Siputeh di Kedah kosong setelah Abu Hassan gagal menghadiri dua sidang Dewan pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Hakim itu menyatakan, Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah (UTNK) jelas menyatakan berlaku kekosongan kerusi sekiranya Ahli DUN (ADUN) tidak menghadiri mesyuarat tanpa kebenaran Speaker bagi dua persidangan berturut-turut.

Keputusan Hakim Alizatul mengundang satu lagi pilihan raya kecil jika proses rayuan berakhir dengan mengekalkan ketetapan yang dibuat oleh beliau.

Sejajar dengan pengisytiharan itu, Abu Hassan secara rasmi tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN Kedah selama tiga hari yang bermula hari ini.

Hakim Alizatul memutuskan demikian semasa membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Abdul Isa pada 1 Oktober lalu bagi mencabar keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Permohonan SPR bagi menangguhkan pilihan raya kecil yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengosongan kerusi tersebut akan didengar Jumaat ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, Abu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon Pas, Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.

Kerusi tersebut mempunyai 19,771 pengundi dengan 91.1 peratus daripadanya merupakan pengundi Melayu.

No comments:

Post a Comment