Sunday, November 8, 2009


Nur Syahidah binti Abdul Jalil
Pegawai Penyelidik

30/06/2009 | Artikel Bahasa Malaysia
Cadangan pihak kerajaan untuk memindahkan banduan asing ke penjara negara asal masing-masing bagi menghabiskan baki tempoh hukuman dilihat sebagai satu langkah praktikal bagi mengurangkan kos kerajaan menanggung banduan ini. 41 peratus atau 15,279 daripada 37,242 jumlah banduan di seluruh penjara Malaysia sehingga Mei lalu adalah rakyat negara asing. Kepadatan penjara di negara kita hanya dapat menampung sehingga 32,200 orang banduan pada satu-satu masa dan lebihan tanggungan dicatatkan telah melebihi 5000 orang banduan pada waktu ini.

Bagi melaksanakan cadangan tersebut, Akta Penjara 1995 akan dipinda selain bagi membolehkan banduan dihantar ke negara masing-masing pindaan ini juga membolehkan banduan negara ini yang menjalani hukuman penjara di luar negara dibawa pulang untuk menghabiskan baki tempoh tahanan mereka. Hal ini dilihat membawa khabar gembira kepada keluarga banduan yang menjalani hukuman penjara di luar negara dan tidak berkesempatan untuk melawat banduan tersebut. Tambahan, pihak keluarga juga dapat membuat semakan dengan jelas mengenai kesalahan banduan dan hukuman yang diterimanya.

Selain mengambil kira faktor kesesakan dalam penjara, limpahan banduan warga asing menyebabkan negara menanggung kerugian yang besar untuk menampung perbelanjaan mereka dipenjara. Setakat ini kerajaan telah memperuntukkan RM4.50 sehari bagi kos makanan seorang banduan dengan pecahan 60 sen bagi sarapan, RM2 bagi tengah hari dan RM1.90 untuk makan malam. Sekiranya cadangan memindah banduan asing ke penjara negara asal dapat dilaksanakan, kita dapat menjimatkan sekurang-kurangnya lebih dari RM68,000 sehari bagi kos makanan ini. Dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan kos menanggung banduan ini, ada pihak turut mencadangkan agar peruntukan makanan bagi banduan dinaikkan kepada RM10 sehari. Menurut pihak yang berkenaan, kerajaan patut menyediakan makanan yang berkhasiat dan seimbang kepada banduan kerana peruntukan yang disediakan sebelum ini tidak mengambil kira kenaikan harga barangan baru-baru ini. Bila melihat dari sudut kemanusian, dasar ini disifat tidak keterlaluan kerana mengambil kira nilai kesihatan banduan terseebut. Namun apa yang dipertikaikan ialah, wajarkah dinaikkan sehingga RM10 sehari sama seperti perbelanjaan makanan harian yang dikeluarkan oleh seorang rakyat biasa?

Selain dari kos makanan yang perlu ditanggung oleh kerajaan, kos pengurusan penjara turut mencatatkan ratusan juta ringgit yang mana dilihat sebagai merugikan negara. Menurut menteri yang berkenaan, setakat ini kerajaan telah meluluskan 16 penjara baru untuk menampung tambahan lebih 18,000 lagi banduan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kita kerap mendengar keluhan mereka yang kononnya memperjuangkan hak banduan untuk mendapat kehidupan dan makanan yang lebih baik di penjara. Bagaimana pula dengan wang rakyat yang terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan mereka ini? Kita harus sedar bahawa setiap pembangunan di negara ini termasuklah pembinaan dan pengurusan penjara adalah hasil titik peluh rakyat yang bekerja keras menjalani hidup mereka. Oleh yang demikian setiap keputusan yang diambil dalam memperbaiki dasar-dasar institusi penjara perlu dikaji dengan teliti. Untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembukaan penjara baru bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara-penjara seluruh negara, perlaksanaan sistem parol dan khidmat masyarakat bagi kesalahan ringan wajar diperluaskan. Sebagai contoh, dahulunya remaja yang tidak mendaftar untuk PLKN tanpa alasan dikenakan tindakan penjara. Tetapi kini telah ditukarkan kepada hukuman berbentuk khidmat masyarakat bagi sesuatu tempoh yang ditentukan. Hukuman yang telah dilaksanakan ini adalah jauh lebih baik kerana selain mengurangkan kos dan kesesakan dipenjara, remaja tersebut terselamat dari dipenjarakan.

Melihat dari sudut perundangan, mungkin ada yang mempersoalkan kemungkinan banduan asing yang dihantar ke penjara negara asal akan terlepas daripada mendapat hukuman yang setimpal. Ini kerana, setiap negara mempunyai sistem perundangan yang berbeza. Sungguhpun demikian, kita mengharapkan agar proses pemindahan banduan asing ke negara asal tidak lari dari tujuan asal tertubuhnya institusi penjara iaitu sebagai sebuah badan yang menahan, mengawal dan melaksanakan kegiatan-kegiatan pemulihan kepada banduan sehingga tempoh mereka dibebaskan.

Selain melihat kepada penjimatan kesan dari pemindahan banduan ini, kita juga perlu melihat kepada kos penghantaran pulang banduan ke penjara negara asal. Kita tidak mahu hanya mengurangkan satu jenis perbelanjaan tetapi menambah lebih banyak perbelanjaan dalam melaksanakan saranan ini. Di samping itu, kita juga harus mengambil kira kemungkinan negara yang berkenaan tidak mahu menerima banduan yang dipindahkan atas pelbagai alasan. Tempoh dan baki hukuman yang melayakkan banduan ini dipindahkan ke penjara negara asal juga wajar diperhalusi. Ini bagi mengelak masyarakat antarabangsa memandang rendah kepada sistem perundangan negara dengan beranggapan mereka bebas melakukan jenayah di negara yang kita cintai ini kerana akhirnya mereka akan dihantar pulang ke negara asal. Oleh yang demikian, sebarang pindaan yang dilakukan harus mengambil kira setiap kesan yang akan berlaku sama ada baik ataupun buruk terhadap negara. Kita sama-sama berasakan wajar untuk menimbangkan cadangan ini kerana kita tidak mahu terlalu banyak wang rakyat digunakan untuk menampung kos pengurusan banduan warga asing yang semakin meningkat. Namun pada masa yang sama, kita juga berharap agar langkah yang diambil oleh kerajaan tetap telus dalam mengadili banduan-banduan asing yang akan dipindahkan ke penjara negara asal.

No comments:

Post a Comment