Sunday, November 8, 2009


KAJANG 6 Okt. - Masalah kesesakan banduan di penjara seluruh negara dijangka selesai berikutan perkembangan terkini yang menyaksikan bilangan penghuninya semakin menurun berbanding tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, sehingga 28 September lalu, terdapat seramai 36,000 banduan di 39 penjara, pusat tahanan dan perlindungan di Malaysia.

Jumlah itu menurut beliau, menurun jika dibandingkan dengan 39,000 banduan yang menghuni kesemua lokasi tahanan itu pada tahun lalu.

''Sebanyak 3,000 banduan telah dibebaskan dalam jangka masa tersebut dan ia telah membantu mengurangkan masalah kesesakan di dalam penjara.

''Malah, jumlah banduan itu dijangka stabil atau menurun walaupun terdapat penambahan banduan baru,'' katanya pada sidang akhbar ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Penjara Malaysia di Kajang di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Zulkifli berkata, penurunan itu adalah hasil kerjasama yang dijalinkan antara Jabatan Penjara dengan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan mahkamah.

''Melalui hubungan kerjasama itu, kita meminta supaya perbicaraan tertentu dicepatkan oleh mahkamah, selain banduan asing dihantar menjalani hukuman di negara mereka dan tempoh tahanan reman banduan dipendekkan.

''Selain itu Jabatan Penjara juga membenarkan banduan menjalankan pemulihan bersama masyarakat iaitu menerusi sistem parol,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah banduan warga asing yang menyumbang kepada kesesakan sebelum ini juga menurun.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci berhubung penurunan itu.

No comments:

Post a Comment