Friday, November 6, 2009


KUALA LUMPUR: Seorang peragut maut apabila motosikalnya dirempuh kereta wanita yang disamun selepas terperangkap di jalan mati dalam cubaannya melarikan diri berhampiran Kelab Golf Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan diseret sejauh kira-kira 20 meter sebelum tersangkut pada pagar padang golf di hujung Jalan Titiwangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata sebelum itu peragut terbabit menahan mangsa yang menaiki Myvi putih tidak jauh dari tempat kejadian kerana mendakwa motosikalnya dilanggar.

Pada sidang akhbar di sini semalam, beliau berkata, wanita berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran, kemudian berhenti di stesen minyak berhampiran untuk berbincang dengan lelaki terbabit.

"Lelaki terbabit menuntut ganti rugi dan wanita itu hanya memberi RM40 kerana tidak mempunyai wang tunai. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi itu, lelaki terbabit meminta mangsa meminjamkannya telefon bimbit kononnya untuk menghubungi rakannya.

"Bagaimanapun, wanita itu enggan meminjamkan telefon bimbitnya menyebabkan berlaku sedikit pertengkaran sebelum lelaki terbabit merampas telefon berkenaan," katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit turut menyambar beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam kereta sebelum melarikan diri.

"Mangsa mengejarnya dan lelaki terbabit dipercayai berhenti secara tiba-tiba apabila sampai di hujung jalan menyebabkan motosikalnya dirempuh kereta wanita berkenaan kerana tidak sempat membrek," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit yang berasal dari Seremban dan dipercayai baru tiba di ibu negara, mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes samun.

No comments:

Post a Comment