KUALA LUMPUR 5 Nov. - Gara-gara cuba mengelak sekatan polis, seorang pemuda menemui ajal selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang dramatis tanah air, awal pagi ini.
Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku ketika mangsa, Tuan Mohamad Nul Hakim Tuan Long, 21, bertindak melawan arus di lorong kanan selepas melihat sepasukan polis melakukan sekatan jalan raya di Kilometer 7.3, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Kepong di sini.
Motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi remaja itu bagaimanapun bertembung dengan kereta BMW yang dipandu pelakon berusia 51 tahun itu.
Tuan Mohamad Nul Hakim dipercayai bertindak demikian kerana takut dikenakan tindakan ekoran tidak memiliki lesen memandu.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan pemandu kereta tersebut tidak dapat mengelak.
"Berikutan pertembungan itu, dia yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan baru menetap di Sungai Plong, Sungai Buloh meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
"Remaja ini dikatakan masih menganggur dan jenazahnya dituntut oleh ahli keluarganya tengah hari ini untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tersebut bukan berpunca dari kecuaian pelakon yang banyak membintangi filem dan drama tersebut tetapi lebih kepada kecuaian mangsa sendiri.
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment