Tuesday, November 10, 2009


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Nasib malang seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun 10 bulan yang didakwa didera oleh bapa kandungnya berakhir apabila jirannya menghubungi talian aduan kes dera, Talian Nur.

Selepas siasatan dijalankan, kanak-kanak malang tersebut kini dirawat di Hospital Ampang dan diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hari ini, bapa kepada anak kecil itu, Chia Chee Kein, 38, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul anak tunggalnya, Chia Seng Han dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Dia yang bekerja sebagai penjaja makanan didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No. 229, Jalan Permai D, Kampung Tasik Permai, Ampang di sini pada pukul 1 petang, 2 November lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa, Inspektor Fauziah Hanim Abuhan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Chee Kein yang diwakili peguam bela, S. L. Lau memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan penjamin iaitu kawan kepada tertuduh hanya bekerja sebagai penjaja yang berpendapatan RM1,300 sebulan dan menanggung lima anak.

Majistret Wan Karimah Wan Md. Ab. Ghani membenarkan jaminan RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun tahun depan untuk kes disebut semula.

No comments:

Post a Comment