Wednesday, November 11, 2009


UALA TERENGGANU - Seorang bilal tidak menyangka 'anak patung' yang dijumpai ketika ingin azan Asar di Surau Budiman, Mengabang Tengah Hilir, Batu Burok, di sini, semalam adalah mayat bayi.

Bagi memastikan objek ditemui dalam keadaan berbungkus itu benar-benar bayi, bilal terbabit, Mohamed Embong, 60, terpaksa melihatnya beberapa kali sebelum memaklumkannya kepada ketua kampung kawasan berkenaan.

Mohamed berkata, dia menemui bayi malang yang masih bertali pusat itu kira-kira jam 4.10 petang ketika ke surau untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai bilal.

“Sebaik sahaja masuk, saya nampak satu objek berbungkus dengan tuala berwarna merah jambu atas permaidani di ruang solat bahagian belakang, saya ingatkan patung tetapi selepas melihatnya beberapa kali, rupa-rupanya ia adalah bayi.

“Ketika ditemui, bayi lelaki yang cukup sifat itu sudah meninggal dunia berikutan keadaannya yang sudah pucat dan mula kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Terkejut dengan penemuan itu, Mohamed berkata, beliau segera memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mengabang Tengah Hilir, Mhd Khani Mhd Biku sebelum menghubungi polis.

Menurutnya, bayi baru dilahirkan itu dipercayai ditinggalkan di surau berkenaan antara jam 2 hingga 4 petang kerana ketika solat Zohor, tidak ada sebarang objek aneh ditemui.

“Pada waktu Zohor, saya pergi ke surau untuk azan dan menunaikan solat sehingga jam 2 petang tetapi ketika itu tidak ada apa-apa sehinggalah saya kembali untuk azan solat Asar.

“Saya tidak mengesyaki sesiapa kerana surau ini memang sentiasa terbuka bagi memberi kemudahan kepada orang ramai singgah menunaikan solat dan memang ramai orang luar datang solat di sini,” katanya yang sudah bertugas sebagai bilal selama tujuh tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Samsudin mengesahkan penemuan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran

No comments:

Post a Comment