PINANG TUNGGAL - Bunyi bising dan kesesakan lalu lintas serta masalah lain yang timbul daripada kewujudan sebuah restoran yang turut menawarkan hiburan karaoke terbuka di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini menyebabkan penduduk tempatan berang.
Seorang penduduk, Soid Yatim, 48, berkata, dia yang hanya tinggal bersebelahan dengan restoran tersebut semakin tertekan dengan keadaan bising yang berlarutan sehingga awal pagi.
Menurutnya, restoran yang sudah beroperasi selama hampir lapan tahun di kampung tersebut telah dibuka oleh orang luar yang telah berhijrah ke kampung mereka.
Katanya, restoran itu menawarkan khidmat karaoke terbuka yang mendapat sambutan ramai pengunjung luar dan sekitar seawal jam 8 malam dan berlarutan sehingga jam 3 atau 4 pagi.
“Pengunjung yang datang berkaraoke di sini mengganggu ketenteraman penduduk di sini terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan anak-anak yang masih bersekolah.
“Sehingga ada di antara anak-anak kami yang tidak dapat tidur kerana keadaan bising dan pada keesokannya tidak pergi ke sekolah kerana tidur mereka terganggu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Baru Pinang Tunggal.
Soid berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada pelbagai pihak termasuk melaporkan kepada pihak polis di Balai Polis Tikam Batu, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Daerah Kuala Muda dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta Majlis Ketua Kampung (MKK) tersebut.
Namun, katanya, sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit dan restoran itu masih beroperasi sehingga mendatangkan kemarahan penduduk akibat tidak tahan dengan keadaan bunyi bising itu.
Menurutnya, dia pernah menghubungi Bilik Operasi 24 jam MPSPK dan pihak penguat kuasa MPSPK datang memberikan amaran kepada pemilik restoran tersebut namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pemilik restoran tersebut dan karaoke terbuka itu masih beroperasi.
Sementara itu, Imam Masjid Kariah Pinang Tunggal, Ghazali Shamsudin, 70, berkata, bunyi bising dari restoran karaoke terbuka itu turut mengganggu jemaah yang menunaikan solat jemaah di masjid itu yang terletak 1 kilometer dari restoran terbabit.
“Saya sebagai imam yang mengimamkan jemaah semasa solat turut terganggu dengan karaoke itu dan mengganggu jemaah menunaikan solat.
“Apa yang lebih mengecewakan ialah mereka tidak mengendahkan waktu solat semasa berkaraoke walaupun ketika azan berkumandang,” katanya.
Ghazali berkata, kegiatan restoran terbabit turut mendatangkan kebimbangan pihaknya dan penduduk terhadap masalah sosial yang membabitkan penduduk khususnya anak remaja yang mungkin terpengaruh dengan keadaan itu sehingga merosakkan akhlak dan akidah umat Islam.
Menurutnya, sebarang aktiviti ibadah di masjid itu yang mahu ditunaikan sering terganggu dengan nyanyian dengan muzik yang kuat sehingga menyebabkan mereka yang menunaikan ibadah di masjid terkeliru terhadap bacaan surah dan ayat-ayat suci al-Quran.
“Kami tidak menghalang pemilik untuk mencari rezeki di sini namun biarlah dengan prosedur yang betul dan tidak mengganggu ketenteraman awam sehingga penduduk di sini naik berang dengan keadaan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Taman Pinang Tunggal, Mohd Yusoff Wahab, 47, berkata, pihaknya telah merujuk perkara terbabit kepada Pejabat Penghulu Mukim Sidam Kiri mengenai aduan dan laporan penduduk kampung mengenai perkara terbabit.
Menurutnya, pihak penghulu mukim telah memaklumkan kepadanya perkara terbabit dan mereka telah bermesyuarat membincangkan mengenai perkara tersebut untuk diambil tindakan segera.
“Saya harap pihak bertanggungjawab segera ambil tindakan terhadap restoran terbabit kerana ianya telah mendatangkan kemarahan penduduk.
“Selain itu, pihak saya sendiri melihat keadaan ini semakin meruncing apabila semakin ramai pelanggan mengunjungi restoran tersebut untuk berkaraoke dan telah mendatangkan kesesakan lalu lintas di sini,” katanya.
Mohd Yusoff mendakwa, lokasi restoran terbabit yang terletak di tepi jalan utama Permatang Berangan-Pinang Tunggal itu telah menyebabkan gangguan lalu lintas memandangkan pelanggan restoran terbabit meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
Menurutnya, kawasan jalan itu adalah antara kawasan kemalangan maut yang telah mengorbankan banyak nyawa dan keadaan ini bertambah bahaya dengan kesesakan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di situ.
“Pihak saya telah berjumpa sendiri dengan pemilik premis berkenaan dan menegurnya serta memberitahu penduduk di sini marah mengenai masalah yang timbul yang membabitkan restoran berkenaan, namun pemiliknya tidak mengendahkannya.
“Pemilik restoran itu memberitahu, dia hanya mahu mencari makan sahaja dan restoran itu adalah punca rezekinya,” katanya.
CANON IP4760
15 years ago

No comments:
Post a Comment