PASIR PUTEH -Dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan bersama lapan guni daun ketum dalam satu serbuan di Kampung Raja Dagang, Semerak dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sepasukan anggota polis daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh menyerbu dua lelaki terbabit berhampiran sebuah bangsal di pinggir sungai.
Katanya, ketika serbuan hasil maklumat orang ramai itu dibuat, kedua-dua lelaki Melayu itu berdiri berhampiran sebuah kereta.
“Selepas melakukan pemeriksaan, kita menemui lapan guni berisi daun hijau yang dipercayai daun ketum, enam guni berada dalam but kereta manakala selebihnya berada di tempat duduk belakang.
“Dua lelaki itu ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sementara keputusan ujian kimia ke atas daun tersebut selesai,” katanya.
Mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak melebihi RM5,000.
Menurut Mohd Kamal, lelaki terbabit adalah penduduk tempatan dan rakannya berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu.
“Kes membabitkan daun ketum jarang berlaku di daerah ini dan kita akan terus melakukan siasatan bagi meneliti kemungkinan wujudnya rangkaian mereka di daerah ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung kegiatan tersebut
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment