KUALA TERENGGANU 17 Nov. – Tindakan pantas seorang pegawai polis dan orang ramai berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki menyamun sebuah kedai emas di Jerteh, Besut, dekat sini semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang ketika kedua-dua suspek berusia 22 dan 33 tahun itu cuba melarikan satu dulang barang kemas bernilai kira-kira RM80,000.
Sebelum itu, kedua-dua suspek yang bertopeng dan bersenjatakan sebatang tukul besi dan sebilah parang telah memasuki kedai emas terbabit.
Seorang daripada mereka kemudian mengacukan parang kepada pemilik kedai serta kakitangannya sebelum seorang lagi mengambil satu dulang barang kemas.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, bagaimanapun kakitangan itu berjaya keluar dari kedai menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri ke arah motosikal mereka.
Katanya, secara kebetulan, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Besut, Inspektor Khazahari Amat yang ketika itu sedang meronda dengan kereta telah melihat kejadian tersebut.
“Khazahari yang memakai pakaian seragam kemudian memberhentikan kenderaannya dan mengejar kedua-dua suspek sejauh kira-kira 10 meter.
“Sejurus berada berhampiran suspek, pegawai itu memberi amaran supaya kedua-duanya berhenti dan meletakkan senjata.
“Suspek-suspek yang ketakutan berhenti dan orang ramai kemudian membantu untuk menangkap kedua-duanya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan buruh itu ditahan reman selama tujuh hari di lokap Balai Polis Kampung Raja, Besut.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka yang bekerja sebagai buruh mempunyai tiga rekod jenayah lampau dalam kes samun,” katanya.
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment