AYER KEROH - Harapkan pagar, pagar makan padi. Seorang lelaki yang dianggap bernafsu haiwan berhadapan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua pertuduhan merogol anaknya.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berusia 42 tahun berasal dari Jasin itu, didapati telah melakukan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Kejadian itu berlaku pada 21 Ogos 2007, kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Kesang Tua, Jasin.
Manakala pertuduhan kedua, dia mengulangi perbuatan terhadap mangsa di tempat sama. Kejadian itu berlaku pada 26 Ogos 2007, kira-kira 9.30 malam.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, penjara selama tempoh tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.
Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman tersebut selepas meneliti fakta sepanjang tempoh perbicaraan, pembelaan dan rayuan yang telah dijalankan.
Tertuduh kali pertama didakwa di mahkamah pada 6 September 2007 dan sepanjang perbicaraan kes, seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Aravindhakshan yang mewakili tertuduh memohon rayuan hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh kini sudah berusia 45 tahun serta sudah berada dalam tahanan sejak 28 Ogos 2007, selain menghidap beberapa penyakit seperti mengalami tekanan dan darah tinggi.
Menurutnya dalam rayuan, anak guamnya juga menyesal terhadap kesalahan dilakukan dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sejak tertuduh ditangkap dan berjalan serentak.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin. Ifa dalam hujahannya berkata, rogol merupakan kejadian serius merujuk kepada mangsa berumur 12 tahun empat bulan.
Ifa berkata, mangsa juga merupakan anak kandung tertuduh. Sebagai ayah kandung kepada mangsa beliau berkata, sepatutnya tertuduh menjadi pelindung, tetapi telah memusnahkan kehidupan dan masa depan mangsa. Perbuatan rogol tersebut bukan hanya berlaku sekali tetapi dua kali merujuk kepada pertuduhan.
“Tertuduh telah didapati bersalah dan disabitkan dalam satu perbicaraan penuh yang telah dijalankan. Mangsa terpaksa menghadapi tempoh perbicaraan yang panjang dan memalukan serta terpaksa mengabaikan pelajarannya untuk hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan,” katanya.
Pihak pendakwaan memohon satu hukuman maksimum dan seberat-beratnya dijatuhkan terhadap tertuduh.
Zamri menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 12 sebatan bagi pertuduhan pertama dan 20 tahun penjara dan 12 sebatan bagi pertuduhan kedua. Zamri mengarahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan dijalankan pada tarikh tertuduh ditangkap dan berjalan serentak.
CANON IP4760
15 years ago

No comments:
Post a Comment