Wednesday, November 11, 2009


KUALA TERENGGANU: Bagi kesalahan menyebabkan kematian majikan, seorang buruh ladang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun manakala tiga rakannya, masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Sementara seorang lagi rakan mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian majikan mereka Mohd Yusuf Ismail, 48, di Ladang Agro Plantation Cerul, Kemaman, kira-kira jam 6 petang, 21 Januari 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas meminda pertuduhan terhadap tertuduh pertama kepada menyebabkan kematian manakala tiga lagi menyebabkan kecederaan.
Ahmad Zaidi dalam penghakimannya berkata setelah meneliti fakta kes dan berdasarkan keterangan semua saksi, pihak pendakwaan telah gagal mensabitkan kesemua tertuduh yang berasal dari Jawa dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh pertama, Solihun Hamdani dihukum penjara lapan tahun mengikut Seksyen 304 (b) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Agus Suristiawan, 23, (tertuduh kedua), Asmali Asmadin 29, (tertuduh keempat) dan Warsum Sudinto, 29, (tertuduh kelima) masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 324 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada peruntukan itu.

No comments:

Post a Comment