Thursday, December 17, 2009

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan kepada seluruh rakyat dinegara ini didakwa berpunca dari kehabisan sumber pendapatan negara akibat berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pagi tadi mendakwa GST tersebut lebih sesuai digelar 'Gagau Semua Tempat'.

"Kerajaan kehabisan wang disebabkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, jadi fikir macam mana nak cari duit lalu perkenalkan GST, Gagau Semua Tempat," katanya di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berpendapat GST sepatutnya dikenakan dulu kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini mendapat perlepasan cukai.

"Kerajaan masih beri perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudahpun berjaya sampai boleh tawar perkhidmatan di luar negara dan disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia sedangkan GST ini nak dikenakan pada rakyat."

Jelasnya, perlepasan cukai itu menyebabkan beberapa syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan perkhidmatan dan keuntungan hasil tidak membayar cukai.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah rasuah dan ketirisan yang merupakan punca perbelanjaan negara kian membengkak.

Beliau turut mendesak kerajaan agar mencegah masalah penyeludupan demi memastikan kerajaan mendapat hasil cukai yang sewajarnya.

Katanya, kerajaan dianggarkan kehilangan RM12.92 juta tahun ini disebabkan gagal membendung penyeludupan rokok dan pengenaan duti kastam.

Tambahnya lagi, dengan menangani beberapa masalah tersebut bukan sahaja membuatkan kerajaan tidak perlu gagau semua tempat, malah menyelamatkan rakyat dari terus terbeban.

Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah buat pertama kalinya membacakan rang undang-undang mengenai GST.

Ianya bagaimanapun mendapat tentangan dan bantahan hebat oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Aksi remaja 14 tahun terbongkar

KUALA LIPIS: Lakonan 'terlampau' seorang pelajar berusia 14 tahun melakukan hubungan seks dengan lima lelaki terbongkar apabila ahli keluarganya melihat aksinya yang dirakam dalam telefon bimbit miliknya.

Dalam rakaman itu, gadis terbabit yang bersekolah menengah di sini, dilihat melakukan hubungan seks dengan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20-an secara bergilir-gilir.

Perbuatannya diketahui ahli keluarganya selepas seorang daripadanya memeriksa fail gambar dalam telefon bimbit gadis berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata keluarga terbabit sudah membuat laporan polis di Balai Polis Merapoh, dekat sini, semalam.

Katanya, pihaknya akan melakukan penelitian dan memeriksa rakaman itu bagi memastikan kesahihannya.

Berikutan itu, katanya polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan lima lelaki terbabit.

"Polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, bapa gadis itu dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ahli keluarganya yang kemudian memperlihatkan rakaman aksi berkenaan.

Katanya, gadis itu membuat pengakuan terbabit dalam rakaman itu selepas beberapa kali didesak bapanya.
GEORGETOWN - Seorang suri rumah yang sedang menunggu kepulangan suami dan anak mengalami kecederaan parah pada bahagian sambungan tulang belakang apabila disamun dua lelaki ketika melangkah keluar dari kereta dalam kejadian di Jalan Service, Midland di sini, kira-kira jam 7.40 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa berada dalam keadaan berseorangan ketika diragut dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika menunggu anaknya dan suami di jalan itu.

Menurutnya, mangsa kini terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini, akibat kecederaan itu dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Semasa mangsa keluar dari keretanya, tiba-tiba datang sebuah motosikal dan salah seorang suspek menarik beg tangan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya menarik semula beg tangannya lalu melarikan diri tetapi dikejar suspek yang kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum melarikan begnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Wan Abdullah berkata, beliau turut difahamkan pengadu yang juga suami mangsa yang mendapat panggilan berhubung insiden itu terus bergegas ke tempat kejadian dan sejurus sampai mendapati isterinya dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Menurutnya, suami mangsa yang juga seorang peniaga seterusnya membawa isterinya ke hospital swasta berdekatan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Polis meminta orang awam yang menyaksikan insiden tersebut tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berikutan tiada saksi bebas yang nampak kejadian yang berlaku.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun yang mengakibatkan kecederaan parah,” katanya.
TEHERAN - Iran melancarkan peluru berpandu jarak jauh yang dipertingkatkan, Seiji 2, lapor media tempatan, semalam.

Tindakan terbaru Iran itu dipercayai memburukkan lagi hubungan Republik Islam itu dengan Barat.

Peluru berpandu Seiji 2 mempunyai jarak sasaran lebih jauh berbanding peluru berpandu Shahab, lapor stesen televisyen satelit Iran, Al Alam.

Pegawai Iran mendakwa peluru berpandu itu mampu terbang sejauh 2,000 kilometer hingga ke Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara-negara Teluk.
SHAH ALAM – Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang sihir bagi mencegah amalan negatif itu terus menular dalam kalangan masyarakat seperti pasangan suami isteri dan penjenayah.

Perkara itu dinyatakan tokoh-tokoh agama dan pengamal undang-undang dalam satu majlis perbincangan ilmiah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis’ anjuran Jabatan Mufti Selangor, semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, kertas perbincangan termasuk cadangan mengenakan hukuman terhadap pengamal sihir itu akan dirujuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan seterusnya kepada Mesyuarat Muzakarah Faktwa Kebangsaan.

“Hasil perbincangan muzakarah ini akan dirujuk ke peringkat tertinggi dan dipersembahkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Setelah diperkenankan dan diluluskan, akan dibawa ke peringkat negeri untuk diwartakan dan dilaksanakan penguatkuasaannya,” katanya dalam sidang media pada majlis muzakarah itu, bertempat di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Mohd Tamyes berkata, cada- ngan peruntukan undang-undang ini adalah pelaksanaan secara umum membabitkan rakyat bukan Islam yang didapati sabit kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman.

“Pelaksanaannya sama juga seperti kes jenayah membabitkan dadah iaitu suspek yang disabitkan bersalah akan menerima hukuman tanpa mengira agama.

“Sekiranya cadangan peruntukan ini dipersetujui, ia akan dimasukkan di dalam satu Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

Menurutnya, muzakarah itu bertujuan mencari kaedah terbaik agar kes berkaitan sihir dapat diadili mengikut enakmen perundangan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus terpengaruh.

Sementara itu, penceramah bebas yang juga salah seorang panel majlis tersebut, Datuk Dr Harun Din berkata, peruntukan perundangan berkaitan kes sihir perlu diwujudkan agar pengamal sihir tidak terus berleluasa dan merosakkan akidah masyarakat.

“Peruntukan perundangan mengenai sihir perlu diwujudkan sebelum perkara ini menjadi serius,” katanya.

Wednesday, December 9, 2009

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Johari Abdul berkata program BTN kini tidak relevan jika ia terus digunakan untuk memberi doktrin kepada perserta membenci individu tertentu khususnya pimpinan pembangkang.

Apatah lagi, program tersebut katanya dijayakan menggunakan wang rakyat dengan hasrat memberikan pendidikan dan latihan terbaik dan bukannya mempengaruhi peserta membenci mana-mana pihak.

Jika mahu diteruskan, sukatan BTN katanya perlu dikaji semula supaya ia tidak disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

“Tetapi jangan gunakan wang cukai rakyat untuk tujuan itu (doktrin kritik pembangkang).

“Kalau Umno ada jabatan latihan, gunakan wang sendiri, OK tiada masalah. Tetapi jangan menggunakan wang rakyat... hendak kritik pembangkang OK, selagi ia tertakluk dalam undang-undang negara.

“Tetapi yang salah ialah apabila BTN diperuntukkan RM64 juta bagi tahun 2010 (wang rakyat)," kata beliau pada forum bertajuk 'Adakah Biro Tata Negara Relevan Untuk Perpaduan Negara' di sini malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan sukatan BTN akan dikaji semula ekoran kritikan pelbagai pihak.

Malah Nazri juga mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis apabila mempertahankan BTN.

Malah beberapa pemimpin Umno mempertahankan operasi BTN.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mengakui bahawa beliau pernah menjadi mangsa kecaman dalam kursus BTN selepas keluar Umno akhir 1980-an.

Johari yang kini merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani berkata, beliau menyedari tentang penggunaan BTN untuk tujuan politik semasa kepimpinan Dr Mahathir.

“BN menggunakan BTN dengan sepenuhnya untuk melakukan serangan peribadi. Ia menjadi ketara selepas 1998 (apabila Anwar dipecat) digunakan untuk memfitnah Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim seolah-olah mereka tidak patut berada di Malaysia,” katanya.

Johari yang mengetuai BTN selama empat tahun sebelum meninggalkannya pada 1990 berkata, beliau akhirnya “bertaubat” dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu, tetapi saya sudah bertaubat sekarang,” katanya.

Kata Johari, pada awalnya beliau sedar akan kekurangan-kekurangan yang wujud tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan “pengaruh” Dr Mahathir ketika itu.

Johari memberitahu ketika ditubuhkan pada 1970-an BTN hanya merupakan satu unit di Kementerian Belia dan Sukan, yang dibentuk untuk mengawal gerakan Islam yang menentang kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya Universiti Malaya.

Ketika itu ia diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pegawai kerajaan.

“Dan apabila Abdullah menjadi ahli politik sepenuh masa, badan itu secara rasmi menjadi BTN dan tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan di kalangan pelajar Melayu dengan memasukkan idea-idea ketuanan Melayu,” kata Johari.

Bagaimanapun apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, BTN digunakan sepenuhnya untuk tujuan politik Umno-BN.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

“Salah satu kursus yang diberikan kepada peserta Melayu ialah mempertahankan kerajaan Umno-BN dalam apa jua cara sekali. Jika kerajaan Umno-BN jatuh, orang Melayu disemai fikiran bahawa mereka akan menjadi hamba di negara sendiri,” katanya.

“Dan keadaan menjadi semakin buruk apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan BTN digunakan dengan sepenuhnya untuk mengecam pemimpin-pemimpin pembangkang,” kata beliau lagi