BUTTERWORTH: Orang ramai perlu memastikan telefon bimbit mereka mempunyai perakuan keselamatan daripada Sirim serta maklumat mengenai kadar penembusan spesifik radiasi (SAR) demi keselamatan diri.
Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rizal Abdul Malek, berkata ini kerana telefon bimbit murah di pasaran mungkin tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.
"Kita tidak menggalakkan orang ramai menggunakan telefon bimbit sedemikian kerana ia mungkin mendedahkan penggunanya kepada penembusan radiasi yang melebihi kadar sepatutnya atau bahaya lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Radiasi Gelombang Radio anjuran SKMM di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan telefon bimbit berjenama mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan maklumat tahap SAR pada tempat meletak baterinya.
"Seelok-eloknya carilah telefon bimbit yang mempunyai tahap pengaliran tenaga atau radiasi kurang daripada 2 Watt per kilogram (2W/kg)," katanya.
Rizal berkata, telefon bimbit murah atau "under water" yang dibawa masuk dari luar negara tanpa mendapat kebenaran SKMM dan pengesahan Sirim mungkin mengundang bahaya kepada pengguna.
Katanya, adalah menjadi satu kesalahan menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia 1998 bagi penjualan kelengkapan komunikasi tanpa kebenaran SKMM serta perakuan Sirim.
"Sehubungan itu, orang ramai diminta membuat aduan kepada SKMM jika mendapati telefon yang dibeli tidak mempunyai ciri keselamatan dan perakuan berkenaan," katanya.
Telefon bimbit mengeluarkan radiasi frekuensi radio (RF) yang menggantikan fungsi kabel semasa ia membawa suara dan mesej ke stesen pangkalan telefon berhampiran.
Namun, tahap radiasinya sangat lemah jika dibandingkan dengan radiasi yang dikeluarkan semasa proses sinaran-x. - Bernama
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment