Monday, February 15, 2010


KOTA BHARU - Novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy menyifatkan industri perfileman negara masih tidak mampu menghasilkan karya yang menerapkan unsur-unsur Islam dalam usaha memberikan dakwah kepada masyarakat di negara ini dengan cara yang lebih berkesan.

Beliau yang popular dengan novel Ayat-Ayat Cinta berkata, penggiat filem di negara ini dilihat agak ketinggalan kerana mereka tidak berani menonjolkan kehidupan, seni dan amalan Islam di dalam karya mereka.

“Di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid. Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri.

“Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana Apa yang paling penting adalah niat. Masyarakat semestinya akan melihat hasil kita dan ia semua bergantung kepada penulis itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada satu sidang akhbar di sini, semalam.

Habiburrahman, 33, berkunjung ke negeri ini bagi memenuhi jemputan menghadiri program ‘Hari Hiburan Islam’.

Pada program yang sama turut dimuatkan program bicara selebriti dan tayangan filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang diadaptasi daripada novel beliau berjudul Ketika Cinta Bertasbih.

Mengulas penerimaan masyarakat Indonesia terhadap filem berunsur dakwah beliau berkata, sepanjang tiga tahun lepas, filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa di negara tersebut.

No comments:

Post a Comment