PERMATANG PAUH - Kebanjiran warganegara asing yang bekerja di negeri ini menimbulkan rasa ketidakselesaan dalam kalangan penduduk tempatan terutama mereka yang tinggal di Apartmen Arowana, dekat sini.
Suhaimi Abd Ghani, 36, berkata, terdapat blok di kawasan perumahan tersebut yang dijadikan asrama bagi warga asing yang bekerja di beberapa kilang di Kawasan Perindustrian Perai.
Menurutnya, mereka yang tinggal di situ kerap kali menimbulkan hura-hara dengan berkelakuan tidak senonoh terutama pada waktu malam.
“Mereka macam-macam bangsa, kebanyakannya adalah warga Vietnam, Nepal, India dan Indonesia. Tanpa segan silu mereka berkelakuan tidak senonoh di koridor. Mula-mula hanya bersembang, tapi lama kelamaan, lain pula jadinya. Kami yang melalui kawasan itu untuk pulang ke rumah amat malu melihat perlakuan mereka. Tambahan, jika membawa anak kecil, ia menimbulkan situasi yang tidak enak.
“Ada juga antara mereka yang bersembang dengan kuat hingga ke tengah malam serta membuat bising. Ia sangat mengganggu ketenteraman awam serta jiran-jiran lain yang ingin tidur. Paling teruk adalah di tingkat 1, 3 dan tangga Blok A apartmen ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, pernah ditegur akan perlakuan mereka itu, ada yang melawan dan ada yang mendengar. Tambahnya, keadaan akan reda seketika, tetapi selepas itu mereka akan kembali dengan kelakuan masing-masing.
Katanya, aduan pernah beberapa kali dibuat kepada polis, namun tiada sebarang tindakan dilakukan.
Aduan juga pernah dipanjangkan kepada pihak pengurusan kilang. Seperti teguran tadi, mereka akan elok seketika, namun, beberapa hari selepas itu akan kembali seperti sedia kala.
Suhaimi berkata, ada di antara jiran yang tidak tahan dengan situasi di situ terpaksa berpindah ke tempat lain.
Keadaan di situ berlarutan sejak lebih kurang lapan tahun lalu dan hingga kini masih tiada perubahan. Bukan itu saja, tambahnya, terdapat juga kes kecurian melibatkan warga asing berlaku di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak berkenaan dapat melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan berterusan di kawasan apartmen itu bagi menjamin keselamatan setiap penghuninya.
Pihak pengurusan kilang juga diminta memainkan peranan dengan mengawal perlakuan pekerja-pekerja mereka.
CANON IP4760
15 years ago

No comments:
Post a Comment