Monday, November 23, 2009


AYER KEROH - Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan merogol seorang gadis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Radzi Rahim, 24, didapati merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah pondok di Batu 12, Kampung Belimbing Dalam. Kejadian tersebut berlaku pada 11 Jun 2008, kira-kira jam 9.45 malam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik yang menawarkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Markhan Sing, yang mewakili tertuduh meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh baru berkhidmat sebagai anggota polis. Bapa tertuduh hanya bekerja kampung dan tidak berupaya menjamin tertuduh dengan jumlah yang banyak. Markhan memohon kepada mahkamah agar jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebanyak RM5,000.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan 5 Januari tahun depan bagi tarikh sebutan dan mengenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Sebelum itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap bagi seorang lagi tertuduh iaitu Syed Saiful Hairi Syed Marzuki, 24, yang gagal hadir ke mahkamah. Waran tangkap itu dikeluarkan setelah hakim mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya yang memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh. Hakim juga menetapkan 5 Januari depan bagi tarikh sebutan. Tertuduh turut diwakili peguam bela sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pekerja kilang dan seorang yang bekerja sebagai pengecat secara kontrak mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan hakim semalam, atas pertuduhan merogol gadis.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, tertuduh, Mohd Rizal Mohd Zardi, 21, didapati merogol seorang gadis berusia 17 tahun di kawasan semak Bertam Ulu, Tanjung Minyak. Kejadian tersebut berlaku pada 10 Jun 2007, kira-kira jam 12.45 malam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Halim Yatim, 20, didapati merogol mangsa sama di tempat serta tarikh yang sama, kira-kira jam 1 pagi.

Pendakwaan dijalankan Mohd Asri yang menawarkan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh,

Mahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili tertuduh meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh Mohd Rizal, bekerja di kilang plastik dengan gaji kira-kira RM600. Bapa tertuduh bekerja di sebuah sekolah rendah dan terpaksa menanggung adik-beradik tertuduh.

Manakala, tertuduh, Mohd Halim hanya bekerja sebagai pekerja pengecat kontrak dengan pendapatan kira-kira RM700.

Mahdan Rengganathan memohon kepada mahkamah agar jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebanyak RM5,000.

Hakim Elesabet mengenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Hakim menetapkan 5 Januari tahun depan bagi tarikh sebutan.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 20 tahun dan dikenakan sebatan.

No comments:

Post a Comment