Saturday, November 14, 2009


Orang awam boleh tukar mazhab dengan syarat taqlid tidak bawa kepada talfiq

SEORANG ahli akademik mengakui secara umumnya masyarakat di Malaysia beramal dengan mazhab Syafie dalam isu fiqh tetapi perkembangan mutakhir menunjukkan wujud pemakaian mazhab lain dalam beberapa cabang permasalahan.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekologi Sosial Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zulkifly Muda, berkata sebagai contoh dalam isu zakat sudah banyak tidak mengikut mazhab Syafie seperti berzakat dengan nilai barang serta soal muamalat termasuk perbankan Islam yang nyata sukar jika diikat kepada mazhab Syafie.

Beliau berkata, fiqh perbezaan mazhab adalah bukti umat Islam di Malaysia terbuka dan boleh menerima satu-satu pendapat sekalipun bertentangan dengan mazhab Syafie jika kena dengan caranya.

Sementara itu katanya, menghimpun dan mencampuradukkan dua pendapat atau mazhab (talfiq) dalam satu masalah hingga melahirkan perlakuan daripada percantuman itu tidak sah kerana tidak diiktiraf setiap mazhab.

"Contohnya seorang yang mengambil wuduk hanya membasuh sebahagian kepala mengikut mazhab Syafie tetapi apabila bab membatalkan wuduk seperti menyentuh wanita tidak batal, mengikut mazhab Hanafi.

"Kemudian dia melakukan solat dan solatnya tidak sah kerana kedua-dua mazhab tidak mengiktiraf solat itu. Mazhab Hanafi mensyaratkan sapuan mesti satu perempat kepala sementara mazhab Syafie menyatakan batal wuduk apabila tersentuh lelaki dan perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid dan Kemunculan Talfiq dalam Tradisi Keilmuan Islam pada seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop Amalan dan Batasan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya.

Katanya, perbezaan fiqh bukan kecacatan dalam agama Islam tetapi rahmat Allah kepada hamba-Nya kerana hikmah wujudnya perbezaan pendapat itu dapat memperluaskan kaedah pengeluaran hukum daripada nas syariat.

Perbezaan itu juga adalah nikmat menjadikan umat Islam berada dalam kemudahan beragama dengan tidak membataskan kepada satu aplikasi hukum agama saja tanpa memiliki alternatif lain dalam menghasilkan keputusan yang menjaga kepentingan ummah.

"Perbezaan fiqh sebenarnya tidak dapat dihindari. Tidak ada satu sistem perundangan dimiliki umat manusia yang tidak menimbulkan perbezaan pandangan dalam usaha memahami serta menerapkannya dalam kehidupan harian mereka.

"Perbezaan mazhab fiqh berkaitan masalah ibadat, muamalat, kekeluargaan dan jenayah dilatari oleh perbahasan ilmiah. Oleh itu, perbezaan pandangan mengenai pelbagai perkara ini tidak dapat dielakkan.

"Perbezaan pandangan ini sebenarnya nikmat dalam beragama kerana jika ada keadaan dirasakan menyukarkan umat pada mazhab tertentu, maka boleh beralih kepada mazhab lain yang lebih ringan," katanya.

Dr Zulkifly berkata, pengamalan ajaran Islam tanpa terikat dengan mazhab biasanya dilakukan secara matang dan setiap pandangan masih dalam lingkungan yang dikeluarkan mazhab menjadi pegangan umat Islam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Pengajian al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata orang awam boleh berpindah kepada mazhab lain dengan syarat taqlid itu tidak membawa kepada talfiq atau mencampur adukkan mazhab.

Katanya, tujuan bertukar mazhab itu juga bukan atas alasan memilih pandangan paling ringan di kalangan ulama tanpa sebarang keuzuran atau darurat kerana boleh menyebabkan terlerai ikatan syarak terutama jika dilakukan menurut telunjuk hawa nafsu.

"Lagi satu, walaupun talfiq dibenarkan dalam fiqh secara bersyarat, tetapi dalam akidah tidak boleh kerana kebanyakan dalil akidah bersifat qati'e iaitu muktamad dan tidak memerlukan ruang ijtihad," katanya.

Oleh itu katanya, bagi orang awam yang tidak berkelayakan untuk menyelidik dan mengeluarkan hukum (berijtihad), diwajibkan bertaqlid dengan berpegang kepada fatwa ulama mujtahid yang mempunyai ilmu mendalam.

Bagaimanapun, mereka perlu bertaqlid dengan mengetahui dasar dalil atau bukti jelas, bukan membuta tuli mengikut sesuatu pendapat terutama dalam masalah cabang yang mereka boleh mempelajarinya.

"Sekadar mengikut sesuatu pendapat tanpa tahu dalil atau bukti jelas dilarang kerana kita perlu tahu dalil dalam setiap hukum hakam agama. Oleh itu jika tidak tahu, hendaklah bertanya kepada mereka yang pakar atau mempunyai bidang kuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment