Tuesday, November 17, 2009


LONDON - Polis Britain semalam menyatakan seorang lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai dua anak, Delroy Grant ditangkap atas dakwaan merogol golongan tua sejak dua dekad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis Metropolitan London mendakwa Grant yang berumur 52 tahun itu melakukan serangan tersebut sejak 1992 sehingga pada tahun ini.

Grant menghadapi lima tuduhan merogol, enam tuduhan melakukan serangan tidak senonoh dan 11 tuduhan pecah rumah.

Dia dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini untuk mengesahkan nama dan alamatnya sebelum ditahan semula.

Hakim Angus Hamilton mengarahkan lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan dia diminta hadir semula ke mahkamah pada Khamis ini.

Grant ditangkap pagi kelmarin di Shirley, Croydon selepas satu operasi pemantauan diadakan selama tiga minggu.

Menurut polis, tangkapan itu dilakukan semasa pihak berkuasa melakukan operasi memburu seorang perogol bersiri.

Perogol bersiri itu disyaki melakukan kira-kira 100 serangan seks dengan mangsa paling tua berumur 93 tahun.

Dalam satu kes, perogol itu merogol seorang wanita berumur 88 tahun sebanyak dua kali.

Polis berkata, tindakan perogol itu ganjil kerana dia melakukan serangan terhadap warga emas. - Agensi

No comments:

Post a Comment