Wednesday, November 11, 2009


TIDAK ada sesiapa boleh menyangkal bahawa kepercayaan kepada hari kiamat turut didasari dengan unsur keagamaan. Justeru, kupasan berdasarkan perspektif agama adalah perlu untuk mengelakkan tersasar pemahaman.

Bagi sesetengah agama yang menyeru umatnya mengimaninya, hari kiamat merujuk kepada hari berakhirnya dunia dan bermulanya alam akhirat.

Berdasarkan Islam, hari kiamat adalah hari semua manusia dibangkitkan selepas kematian dan segala amalan ketika di dunia dihitung. Bagi mereka yang berbuat baik dan beramal soleh diberikan ganjaran syurga dan bagi mereka yang ingkar dibalas neraka.

Menurut Ketua Jabatan Usuluddin, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail, sebelum manusia dibangkitkan seluruh alam dan isinya akan dibinasakan.

"Sehingga pada saat itu, disebutkan dalam al-Quran, hanya Allah sahaja yang hidup, malaikat-malaikat turut dimatikan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, hanya Allah yang tahu bila ia akan berlaku. Turut disebutkan di dalam al-Quran bahawa hari itu tidak akan datang melainkan secara tiba-tiba.

"Justeru, kalau ada orang yang meramal, ramalan itu pasti tidak benar," ujarnya sambil memberitahu hari kiamat disebut sebagai yaumul qiyamah dalam bahasa Arab.

Walaupun sifat sebenar hari itu tidak diketahui, namun terdapat gambaran-gambaran yang diberikan dalam al-Quran tentang hari kemusnahan atau juga disebut sebagai as-Sa'ah.

"Misalnya disebutkan langit runtuh dalam surah al-Infitor, langit terbelah dalam surah al-Insyiqaq, langit digulung dalam surah al-Anbia', bumi bergegar dalam surah al-Zalzalah dan sebagainya," tambahnya.

Katanya, walaupun Allah berfirman 'la ta'tiikum illaa baghtah' (Tidaklah ia datang melainkan secara tiba-tiba), namun Islam turut menggariskan beberapa tanda sebelum kedatangannya.

Antara tanda-tanda kecil adalah zina bermaharajalela, ramai orang soleh meninggal dunia, negara Arab berpadang rumput, banyak saksi palsu dan lain-lain. Antara tanda-tanda besar pula adalah matahari terbit di sebelah barat, lahirnya Dajal dan turunnya Nabi Isa.

Abu Zaki menjelaskan, antara tanda-tanda lain kiamat semakin tiba juga adalah berlakunya banyak bencana alam.

"Diriwayatkan dalam satu hadis, sebelum tibanya hari kiamat, berlaku banyak bencana sehinggakan manusia yang hidup apabila melalui tepi kubur berharap agar mereka (manusia yang hidup itu) yang berada di dalam kubur tersebut. Mereka bukan berkata demikian kerana hendak mati tetapi berkata begitu kerana tidak tahan untuk terus hidup," ujarnya.

Berhubung ramalan yang digembar-gemburkan, Abu Zaki berkata, ia bukanlah satu perkara yang penting untuk difikirkan.

"Apa yang penting ialah kita berusaha melengkapkan amal dan bersedia menghadapinya. Walaupun kita tidak tahu bila ia akan berlaku, tetapi ia tetap akan berlaku," ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment