BANDARAYA GAZA: Sebuah badan amal diketuai Menteri Dalam Negeri Hamas semalam menawarkan AS$1.4 juta (RM4.9 juta) bagi mana-mana warga Arab Israel yang berjaya menculik askar Israel.
Rakyat Palestin sebelum ini beberapa kali menggesa Arab Israel supaya menculik askar Israel, tetapi ini adalah kali pertama hadiah wang ditawarkan.
Kumpulan Waad dari Gaza menawarkan hadiah berkenaan bagi penangkapan askar Israel, yang dihantar melalui e-mel kepada media Palestin. Pertubuhan itu, yang menyokong tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel, diketuai Menteri Dalam Negeri Hamas, Fathi Hamid. Menteri berkenaan tidak membalas mesej yang meminta penjelasan lanjut.
Pengarah Waad, Usama Kahlout, berkata hadiah itu ditawarkan sebagai tindakan balas kepada tawaran kumpulan Israel untuk membayar penduduk Gaza bagi mendapatkan maklumat mengenai kedudukan Sarjan Gilad Schalit, seorang askar Israel yang ditahan oleh militan Hamas lebih tiga tahun lalu.
Pertubuhan Israel berkenaan, ‘Born to Freedom Foundation’ menawarkan AS$10 juta (RM35 juta) bagi memperoleh maklumat mengenai askar Israel yang hilang ketika bertugas atau berada dalam tahanan.
Perunding dari Jerman sedang berusaha untuk membawa kedua-dua pihak yang bertelagah, iaitu Israel dan Hamas bagi berunding mengenai pertukaran Schalit dengan beratus-ratus tahanan Palestin di penjara Israel.
Israel menahan kira-kira 7,500 tahanan Palestin. Schalit adalah askar tunggal Israel yang ditahan oleh Hamas, sementara empat askar Israel lain hilang di Lubnan pada 1980-an.
Semalam, Menteri Luar Perancis, Bernard Kouchner, yang berada di Baitulmaqdis, menemui ibu bapa Schalit. Keluarganya mempunyai kewarganegaraan Perancis, dan Presiden Nicolas Sarkozy menawarkan sokongannya kepada keluarga sarjan berkenaan. - AP
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment