Tuesday, November 17, 2009


KLANG - Dua pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol rakan sendiri, awal bulan ini.

Rohaimi Sahat, 21, dan Rafiq Rusdy, 20, masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan merogol mangsa berusia 15 tahun antara 9.45 malam hingga 10 malam pada 4 November lalu.

Kedua-duanya didakwa merogol rakan mereka itu yang bekerja sebagai pelayan restoran di rumah No 5-1-07, Rumah Pangsa Impian, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu terlebih dahulu dibacakan kepada Rohaimi disusuli oleh Rafiq dan kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Jika sabit kesalahan, mereka berdua boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Anita membenarkan setiap mereka diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dikehendaki melapor diri ke balai polis Klang, sebelum jam 5 petang pada setiap awal bulan.

Sebutan kes ditetapkan pada 23 Disember depan dan kedua-duanya akan dibicarakan serentak.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V Rajagopal.

No comments:

Post a Comment