KUALA LUMPUR 16 Nov. – Sebagai seorang anggota tentera, dia begitu setia dan berdedikasi sehingga pernah dianugerahkan Khidmat Cemerlang sebanyak dua kali dan turut memperoleh Pingat Perkhidmatan Setia serta Pingat Perkhidmatan Am.
Namun sebagai seorang bapa, dia gagal melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi anak-anaknya malah bertindak luar batasan apabila menjadikan dua anak perempuannya sebagai pemuas nafsu serakahnya sejak mereka berusia 12 tahun.
Hanya selepas anak perempuan sulungnya mengadu nasib malang yang menimpa dirinya dan adiknya kepada guru kaunseling tahun lalu, barulah perbuatan keji itu terhenti.
Hari ini, ‘haruan makan anak’ itu dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan sebatan 40 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas lelaki itu mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol dan enam tuduhan mencabul dua anaknya.
Bagi anak sulungnya, lelaki tersebut didakwa atas tiga pertuduhan rogol dan dua tuduhan mencabul mangsa di antara Januari 2006 dan Jun tahun lalu.
Tertuduh didakwa mula mencabul kehormatan anak sulungnya itu ketika berusia 12 tahun sebelum merogolnya sewaktu berumur 15 tahun.
Lelaki berusia 43 tahun itu juga didakwa atas empat pertuduhan mencabul anak keduanya yang berusia 12 tahun ketika kejadian berlaku antara 2006 dan Mei tahun lalu.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di kediaman mereka di Sentul di sini.
Tertuduh yang beristerikan seorang pembantu sebuah klinik swasta, mempunyai lima anak termasuk kedua-dua mangsa.
Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman penjara antara 10 dan 25 tahun serta sebatan 40 kali bagi lima pertuduhan merogol dan mencabul anak sulungnya.
Bagi empat pertuduhan mencabul anak keduanya, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun untuk setiap kesalahan.
Fathiyah bagaimanapun memerintahkan hukuman bagi setiap kesalahan itu berjalan serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 25 Jun tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang dia dipenjarakan dan diletakkan di bawah pengawasan selama dua tahun selepas hukumannya tamat.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim itu menyatakan, sekiranya anak sulung tertuduh tidak membuat aduan kepada guru kaunselingnya, pesara tentera itu akan terus melakukan perbuatan keji tersebut terhadap mangsa-mangsa.
Pertuduhan bagi kesalahan merogol dibuat mengikut Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak lebih 10 kali.
Bagi kesalahan mencabul, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 kanun sama. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah K.M. Abu Bakar.
Tertuduh ketika mengemukakan rayuan memohon agar mahkamah mengambil kira bahawa dia pernah berjasa kepada negara sewaktu berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 21 tahun.
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment