Pakar psikiatri tentera lepas tembakan di kem pertahanan
HOUSTON: Seorang pakar psikiatri tentera melepaskan tembakan dengan dua pistol di kem pertahanan Fort Hood, Texas, Amerika Syarikat kelmarin, mengakibatkan 13 orang terkorban dan 30 cedera.
Suspek berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Major Nidal Malik Hasan turut terkena beberapa das tembakan tetapi terselamat.
Pihak tentera berkata lelaki bersenjata terbabit melepaskan tembakan kira-kira jam 1.30 petang di Pusat Penyediaan Tentera, di mana anggota menjalani pemeriksaan perubatan sebelum dihantar bertugas di luar negara.
Pegawai memerintah Fort Hood, Lt Jen Robert Cone memberitahu sidang akhbar, siasatan masih dijalankan tetapi laporan awal menyatakan hanya ada seorang penembak.
Cone berkata suspek berkenaan ditembak beberapa kali. Beliau sebelum ini berkata suspek dibunuh oleh polis dalam serangan di pusat kemudahan tentera terbesar dunia itu.
"Pada masa ini dia belum bercakap dengan penyiasat kami," kata Cone mengenai Nidal Malik. Ditanya mengenai keadaan suspek, beliau berkata, "saya hanya boleh berkata dia tidak akan mati dalam masa terdekat."
Ditanya sama ada kejadian itu adalah perbuatan pengganas, Cone berkata, "saya tidak menolak kemungkinannya tapi...bukti yang ada tidak menunjukkan demikian."
Cone berkata lelaki bersenjata itu mempunyai dua senjata, salah satunya semi-automatik. "Tiada petanda ia senjata tentera," katanya.
Ia adalah kejadian pembunuhan paling dahsyat yang pernah dilaporkan berlaku di sebuah pangkalan tentera AS. Mei lalu, seorang askar AS menembak mati lima rakannya di pangkalan tentera Baghdad.
Cone berkata satu majlis penyampaian sijil tamat latihan sebuah kolej sedang berlangsung di auditorium kira-kira 45 meter dari tempat kejadian tembakan ketika ia berlaku.
"Nasib baik beberapa askar bertindak pantas menutup pintu auditorium di mana kira-kira ada 600 anggota di dalamnya," kata Cone.
Menurutnya, anggota askar tidak dibenarkan membawa senjata di dalam kawasan pangkalan dan hanya polis tentera dan pengawal keselamatan saja boleh memiliki senjata.
Sepupu suspek, Nader Hasan berkata Nidal Malik, yang dilahirkan di Amerika, menyertai tentera sejak sekolah tinggi. Dia berkhidmat sebagai pakar psikiatri di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di Washington DC, yang merawat anggota tentera yang cedera.
Katanya, sepupunya itu dipindahkan ke Fort Hood April lalu dan enggan ditukarkan ke Iraq.
"Sejak lima tahun lalu, tugasan di Iraq itu mungkin mimpi paling ngeri baginya," katanya.
Insiden itu menambahkan lagi persoalan baru mengenai jumlah sebenar anggota tentera Amerika yang membunuh diri ketika berjuang selama enam tahun di Iraq dan hampir lapan tahun di Afghanistan serta tekanan melampau ke atas anggota individu, kebanyakannya yang sudah terbabit dalam beberapa peperangan.
Laporan awal berkata dua lagi anggota tentera ditahan sebagai suspek, namun pihak berkuasa berkata mereka kemudian dibebaskan.
Presiden Amerika, Barack Obama, yang bercakap dari Washington, menyifatkan kejadian itu sebagai "keganasan paling dahsyat" dan berjanji akan "menjawab setiap persoalan mengenai kejadian itu." � Reuters
CANON IP4760
15 years ago
No comments:
Post a Comment