Tuesday, December 1, 2009

Malaysia dan kebangkitan Islam
Lebih tiga dekad yang lalu, sejarah Malaysia diwarnai dengan kebangkitan semula Islam. Pada waktu ini, masyarakat diseru agar kembali kepada penghayatan Islam sebenar. Sebelum itu, pada awal kurun ke 19, kesedaran Islam di kalangan masyarakat telah dibangkitkan oleh segolongan pemuda lepasan universiti di Mesir melalui majalah Al Imam. Sejarah berulang kembali. Kali ini, golongan pemuda belia lepasan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, di timur mahupun di barat, menyeru agar Islam menjadi tunjang dalam kehidupan. Islam sebagai jalan penyelesai masalah. Praktik Islam dalam kehidupan seharian direalisasikan kembali.
Gerakan Islam di Malaysia
Selaras dengan kebangkitan Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam mula menonjol. Malahan Angkatan Belia Islam (ABIM) muncul sebagai sebuah gerakan Islam yang menjadi tumpuan golongan muda. Parti Se-Islam Malaysia semakin popular. Kehadiran Al Arqam dan Jama’at Tabligh, tambah memeriahkan fenomena kebangkitan Islam di Malaysia pada waktu ini.
JIM dan Persepsi Kemunculannya
Jamaah Islah Malaysia tidak ketinggalan. Ia muncul dalam arus kebangkitan Islam walaupun kehadirannya di persada gerakan Islam tanah air agak lewat iaitu awal kurun ke 20. Oleh kerana kemunculannya yang agak lewat, ditambah pula dengan adanya organisasi seperti ABIM, mungkin menjadi faktor wujudnya perasaan skeptikal oleh segelintir masyarakat sama ada yang berada dalam gerakan Islam mahupun tidak. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Antaranya, mengapa JIM perlu wujud sedangkan di Malaysia ada ABIM dan juga PAS? Mengapa pendokong JIM tidak mahu memanfaatkan tenaga mereka di dalam pertubuhan tersebut?
Siapa mereka ini yang mendalangi penubuhan JIM? Persoalan ini begitu popular ditimbulkan. Jawapan yang sering diberikan adalah; mereka adalah anggota Islamic Representative Council (IRC) iaitu sebuah pertubuhan ‘underground’ yang telah diwujudkan di United Kingdom pertengahan 1970-an. Setelah menamatkan pelajaran, mereka kembali ke tanah air lantas menubuhkan IRC di Malaysia. Mereka berusaha untuk menguasai ABIM. Setelah gagal mereka cuba pula menguasai PAS. Setelah misi afiltrasi mereka gagal dalam ABIM dan PAS, mereka akhirnya menubuhkan JIM. Oleh itu kesimpulannya JIM adalah pertubuhan mereka yang kecewa dalam usaha mendapatkan kuasa dalam menerajui gerakan-gerakan Islam semasa di Malaysia pada waktu itu lantas membuat pertubuhan sendiri.
Kemunculan JIM bukan sekadar petanda kecewa pendokongnya, malahan ada juga yang melihat JIM muncul untuk menjadi pesaing kepada petubuhan yang ada. Tidak cukup ABIM dan PAS, JIM juga mahu menjadi gerakan Islam
di Malaysia. Oleh kerana JIM tidak lebih daripada ‘carbon copy’ daripada pertubuhan yang sedia wujud, maka kemunculannya bukan sahaja tidak diperlukan bahkan menyebabkan perpecahan kepada pejuang-pejuang Islam.
Itulah secebis pandangan dan tanggapan segelintir pihak terhadap kemunculan JIM.
JIM dan Penubuhannya
Bersama Islam Membina Masyarakat, itulah motto perjuangan JIM. JIM sebuah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar secara sah dengan Badan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 27 Julai 1990. Jawatankuasa Penaja penubuhan JIM diketuai oleh Haji Saari Sungip atau nama gelarannya ‘Abu Urwah’.
JIM muncul dengan sejarahnya yang tersendiri. Kemunculannya yang mendapat reaksi daripada pelbagai pihak tidak lepas daripada tomahan dan kritikan. Ia tidak hanya ketika diawal kemunculannya. Ibarat perang saudara yang tidak berkesudahan, JIM hingga kini masih menjadi sasaran kritikan pihak-pihak tertentu yang seolah-olah tidak senang dengan peranan yang dimainkannya. Setelah lebih sedekad merealisasikan misi membina umat, dengan pelbagai perubahan dan peranan positif yang dimainkan, nama JIM masih dicemburui kawan dan lawan.
Sesungguhnya benar JIM yang didaftarkan secara rasmi dalam tahun 1970-an kebanyakannya terdiri daripada bekas aktivits IRC. Namun begitu, ramai juga di kalangan pendokong awalnya terdiri daripada para pelajar lepasan universiti di Timur Tengah, Australia dan Amerika Syarikat. Mereka yang belajar selain daripada di United Kingdom, bukanlah anggota IRC. Namun kesatuan kefahaman dan pemikiran telah menemukan mereka setelah kembali menamatkan pengajian.
IRC juga tidak pernah wujud di mana-mana pun di negara-negara yang menempatkan pelajar Malaysia selain daripada United Kingdom. Sejarah IRC secara rasmi bermula pada April 1975 di Universiti of Sussex, Falmer, Brighton apabila beberapa orang pelajar Malaysia bersetuju untuk menubuhkan persatuan Islam bagi pelajar-pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom. Sungguh pelik dan hairan sebagaimana yang dirasai oleh seorang penulis dalam Akhbar Api Mahasiswa penghujung tahun lepas. Bukan sekadar kepelikan yang beliau rasai apabila menimbulkan persoalan bagaimana pelajar jurusan sains dan kedoktoran boleh menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan berminat dengan kepimpinan kampus dalam kesibukan yang mendesak. Seharusnya kepelikan beliau ini akan lebih dahsyat lagi bila mana pelajar-pelajar jurusan sains dan kejuruteraan di luar negara bahkan di negara barat boleh muncul sebagai pejuang Islam semenjak pertengahan 1970-an!
Allah memberikan petunjuk bagi hati yang mencarinya. Itulah yang berlaku kepada peserta kebangkitan Islam terutama yang berada di luar negara. Inilah juga yang telah berlaku di kalangan pelajar Islam Malaysia yang bergiat di dalam IRC ketika di United Kingdom. Tiada siapa menyangka pelajar Islam yang datang daripada negara yang mempunyai agama rasminya Islam boleh
mengenali Islam sebenarnya di negara barat yang diperintah oleh orang kafir. Tiada ibu atau bapa yang menyangka anaknya yang ke luar negara, apatah lagi negara barat, dengan memakai mini skirt atau penampilan ala Elvis Presly, boleh kembali ke tanah air dengan bertudung litup atau berkopiah dan berjubah.
Kemunculan dan peranan yang dimainkan IRC di luar negara bukanlah hanya khayalan penggerak-penggeraknya sahaja. Malahan pengkaji-pengkaji seperti Zainah Anwar dan Muhammad Abu Bakar, turut mengakui peranan besar yang dimainkan oleh pertubuhan ini di United Kingdom sekitar 1970an-1980an. Malahan keluasan pengaruh yang dipamerkan oleh pertubuhan ini telah berupaya membawa satu gelombang besar dalam penghayatan semula Islam di kalangan pelajar muslim Malaysia ketika berada di sana. Tidak sekadar itu, perubahan yang berlaku ketika di luar negara, di bawa bersama ketika kembali ke tanah air dan mahu diterjemahkan bersama masyarakat Islam yang ada di Malaysia pada ketika itu.
JIM dan IRC
Sekembali bekas aktivis IRC ini ke tanah air, kesedaran Islam yang diperolehi ketika belajar di luar negara tidak dilupakan dan ditinggalkan begitu sahaja. Kesedaran yang memberikan kesan mendalam itu menjadikan mereka peka kepada penghayatan Islam di kalangan masyarakat Islam di tanah air. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menyeru dan menyedarkan masyarakat Islam di tanah air betapa perlunya kembali menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian.
Apabila bekas IRC ini kembali ke tanah air, telah wujud dua buah gerakan Islam yang dominan iaitu PAS yang bergerak sebagai sebuah parti politik. Manakala ABIM pula merupakan gerakan Islam yang bersifat Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan yang ditubuhkan sejak 1971. Merasakan bahawa mereka perlu memainkan peranan, maka bekas aktivis IRC ini telah memutuskan bahawa mereka perlu melibatkan diri dengan kedua-dua buah pertubuhan ini bagi keterlangsungan perjuangan mereka dalam mendaulatkan syariah Allah di tanah air tercinta. Bukan sekadar bekas aktivis IRC, malahan para pelajar lepasan universiti di Timur Tengah, Australia dan Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan IRC di UK, turut mengambil pendekatan yang sama iaitu bersama memanfaatkan diri untuk memperjuangkan Islam melalui ABIM dan PAS.
Syaitan itu telah memberi jaminan kepada Allah bahawa ia tidak akan berdiam diri terhadap anak Adam. Apatah lagi anak-anak Adam yang memperjuangkan risalah suci dan murni iaitu Islam. Maka api sengketa dinyalakan bagi membakar ikatan silaturrahim dan kesepakatan yang wujud antara mukmin yang memperjuangkan Islam dalam ABIM mahupun PAS. Kehadiran bekas aktivis IRC dan rakan-rakannya dalam ABIM dan juga PAS lama-kelamaan telah menimbulkan rasa curiga di kalangan segelintir ahli ABIM dan juga PAS. Apatah lagi penonjolan yang ketara bekas aktivis IRC dan rakan-rakannya ini dalam kepimpinan sehingga mendapat kepercayaan untuk memegang tampuk pimpinan peringkat tinggi atau pusat dalam khususnya dalam PAS. Bekas aktivis IRC ini dipercayai sengaja memasuki
PAS dan ABIM serta ingin menguasai pertubuhan tersebut untuk bergerak dengan cara mereka sendiri.
Tanpa mahu berpanjangan dalam perselisihan dan menimbulkan lebih banyak kemudharatan, akhirnya bekas aktivis IRC dan rakan-rakannya bersetuju untuk menubuhkan JIM. Memandangkan pengalaman yag ada ketika belajar di luar negara dan merasakan kehadiran mereka releven dengan medan dakwah yang masih banyak lagi terabai di kalangan masyarakat dan pentadbiran negara, maka JIM muncul di persada tanah air bersedia mengharungi perjuangan dan menghadapi cabaran dalam memperjuangkan Islam. Bukan kerana PAS gagal, bukan kerana ABIM tidak berjaya, namun kerana tanggungjawab Islah itu perlu dipikul dengan semampu mungkin maka JIM ingin sama berperanan seperti ABIM dan juga PAS. Masih ramai lagi masyarakat yang terabai. Masih ramai lagi orang Islam yang dahagakan ilmu Islam dan masih ramai lagi yang perlu dikejutkan dan dibangunkan untuk segara menghayati Islam sebenarnya. Inilah tugas JIM yang diyakini oleh pendokongnya mengapa JIM releven untuk muncul di samping ABIM dan PAS.
Pelbagai jawapan diberikan bagi menjawab pelbagai persoalan dan juga tohmahan yang dilemparkan terhadap JIM di atas kemunculannya. Walaupun lebih sedekad berlalu, namun kisah ‘pahit’ ini sesekali muncul dan diungkit oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan nakal. Mungkin tidak selesa dengan keharmonian yang telah bertapak dan wujud di kalangan pemimpin PAS, ABIM dan JIM. Usaha-usaha nakal ini sudah pastinya tidak berjaya kerana Allah memberi jaminan tipu daya syaitan itu tidak akan berjaya kepada golongan-golongan yang soleh dan ikhlas dalam berjuang untuk agama-Nya ini (surah al Hijr).
Bagi semua pendokong Islam, setiap insan pasti melakukan kesilapan. Hatta Nabi juga ada yang pernah melakukan kesilapan. Namun di atas kesilapan-kesilapan yang tidak mungkin kita sengajakan, mudah-mudahan kita mendapat pengampunan di sisi Allah. Bak kata Hasan Al Banna, "kerja lebih banyak dari masa yang kita ada". Seharusnya ia menjadi panduan untuk kita bersegera melakukan amal kebajikan dan dakwah dan melupakan sengketa atau perselisihan antara kita kerana golongan kuffar tidak pernah letih atau berputus asa untuk melalai dan menyesatkan kita dari jalan-Nya. Golongan kuffar sentiasa memantapkan gerak kerjanya sedang kita masih lagi dalam mainan tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha merungkaikan ikatan persaudaraan kita dalam memperjuangkan agama yang agung ini.
Allah melihat amal
"Katakanlah : Beramallah kamu, sesungguhnya Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin akan melihat amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Maka (Allah) akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan" (At Taubah : 105)
KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) telah membangkitkan kualiti minyak tersebut yang diperkatakan banyak pihak sehingga terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin.

"Ada stesen minyak yang bukan Pteronas telah meletakkan notis bahaya terhadap minyak RON95 dan menyenaraikan jenis kenderaan yang boleh menggunakan minyak ini," katanya mendedahkan kepada Dewan Rakyat.

Manakala Hamim Samuri (BN-Ledang) menyatakan sekiranya minyak kuning (RON95) lebih efisien, maka adalah lebih baik hanya satu jenis minyak sahaja digunakan dan dicadangkan supaya minyak lain seperti RON97 ditarik balik.

Bagaimanapun, tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menjawab solan tersebut.

Katanya sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Kata Tan negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95.

"Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.
KOTA BHARU, 1 Dis: Kira-kira 50 penyokong Umno yang dipimpin oleh Che Johan Che Pa mengadakan perhimpunan di depan Kota Darul Naim pagi ini bagi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan.

Bagaimanapun, hampir 1,000 lagi yang berhimpun memerhatikan demonstrasi yang dipercayai didalangi oleh anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali itu.

Che Johan, Timbalan Umno Pasir Mas itu kemudiannya telah menyerahkan satu memorandum kepada Setiausaha Politik MB, Anuar Bakhri Haron.

Selain berteriak dan melaungkan slogan anti PAS, mereka juga menaikkan kain rentang mendesak Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Polis telah mengawal ketat demo ini.

Malam tadi, Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis bagi memaklumkan rancangan demo ini.

Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, ditemani oleh beberapa orang peguam, dilihat memasuki balai polis Kota Bahru, jam 10.30 malam tadi.

Dalam kenyataan media selepas itu, Naib Ketua Pemuda DPPNK, Hisam Fauzi memberitahu, pihak mereka mendapat tahu perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan.

SMS yang mengajak para penyokong Umno menyertai perhimpunan ini mula tersebar sejak pagi semalam.

SMS itu memaklumkan, Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan akan menyerahkan satu memorandum bagi membantah Nik Aziz yang dikatakan berdoa agar Allah melaknat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).
2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

IPOH, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat bersetuju kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

Menteri Besar Kelantan semasa berkhutbah Hari Raya Korban telah berdoa supaya Allah Taala palingkan hati Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya memberi royalti petrol kepada Kelantan.Sekiranya Datuk Seri Najib enggan berbuat demikian, katanya beliau (Datuk Nik Aziz) tidak akan teragak-agak untuk mendoakan agar Datuk Seri Najib dan kerajaanya dimusnahkan Allah Taala.

"DPPN Pk akan terus menyokong usaha ini dan terus menggunakan kaedah yang sama sebagai Umat Islam terutamanya rampasan kuasa oleh UMNO di Negeri Perak ini.

"Malah DPPN Pk juga telah meminta semua Ahli PAS agar mendoakan supaya Allah Taala juga memalingkan hati Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang tidak sah agar menyerahkan kembali hak rakyat Perak bagi menentukan siapakah kerajaan yang sah.

"Jika sebaliknya perkara yang sama juga dituntut kepada seluruh rakyat supaya Datuk Seri Zambry dan pakatannya akan dimusnahkan oleh Allah Taala," kata Salman Salleh (gambar), Naib Ketua Pemuda PAS Perak dalam satu kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa senjata utama Umat Islam adalah berdoa kepada Allah Taala bagi memastikan kezaliman dapat dihapuskan dan keadilan dapat ditegakkan.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Perak meminta supaya seluruh rakyat meneruskan doa yang telah di ajar oleh Islam bagi memastikan hak rakyat negeri Perak ini dikembalikan segera.




KOTA BHARU, 1 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu sudah lali dengan desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Tindakan sama sebelum ini katanya pernah beberpa kali dibuat pemimpin Umno negeri itu malah berpendapat tidak perlu melayan perkara tersebut.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita. Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," katanya ketika mengulas demonstrasi pagi tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ianya datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan. Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan lain yang berlaku termasuk pergolakan Umno di Terengganu, dua kerajaan di Perak dan perpecahan MCA serta PPP.

"Bagi melarikan perhatian rakyat terhadap isu tersebut maka dibuat perhimpunan di sini dengan harapan rakyat tidak ingat lagi terhadap isu yang lebih besar berlaku," ujarnya..

Memorandum itu diserahkan Setiausaha Politiknya Haji Anual Bakri Harun selepas menerima daripada Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Lebih 50 penyokong Umno berhimpun di hadapan pintu masuk ke Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Desakan itu dibuat ekoran kenyataan Menteri Besar yang mahu mendoakan supaya Datuk Seri najib dibuka pintu hati dan mengembalikan royalti kepada rakyat Kelantan, namun sekiranya masih enggan dipohon dikenakan bala kepadanya.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta penyokong PAS membaikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca suratkhabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Demontrasi yang didalangi Umno bermula jam 10.25 berlarutan sehingga 11.35 pagi. Pada awalnya mereka enggan bersurai biar pun diminta berkali-kali oleh pihak polis. Namun hujan lebat yang turun kemudian menyebabkan mereka beredar.

Perhimpunan terbabit difahamkan diketuai Che Johan dan kemudian menyerah memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar.

Selepas menyerah memorandum itu yang dinamakan atas Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan JRPK, mereka diminta bersurai oleh polis dan hanya seorang wakil sahaja dibenarkan berucap.
Namun mereka tetap berdegil biar pun pegawai polis mengarahkan mereka supaya bersurai dengan alasan ingin mendapat jawapan dari Menteri Besar.

Ekoran itu kira-kira jam 10.40 pagi Ketua Polis Kelantan, SAC 1, Datuk Abdul Rahim Hanafi hadir dan meminta mereka supaya bersurai kerana perhimpunan tersebut tiada permit.

Lebih 30 anggota polis dilihat mengawal keadaan.

"Polis terpaksa meminta mereka supaya bersurai segera dalam tempoh setengah jam memandangkan perhimpunan mereka tidak mempunyai permit.

"Walaupun penganjur memohon permit malam tadi namun kami tidak dapat meluluskan perhimpunan ini.

“Mana ada jabatan yang memohon malam tadi, pagi ini boleh luluskan. Sekurang-kurangnya kena tiga hari. Kena ikut prosedur," katanya kepada pemberita selepas itu.

KAHERAH - Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk pengundian untuk mengharamkan menara baru azan di Switzerland dengan menganggapnya sebagai penghinaan kepada orang Islam di seluruh dunia.:

Bagaimanapun, beliau menggesa umat Islam supaya tidak mencetuskan sebarang tindakan negatif berhubung isu itu.

Majoriti pengundi dalam pungutan suara itu bersetuju dengan cadangan untuk mengharamkan pembinaan menara baru azan.

"Cadangan itu bukan sahaja dianggap sebagai serangan ke atas kebebasan beragama tetapi percubaan untuk menghina perasaan orang Islam di seluruh dunia," kata Ali.:

Beliau menyarankan 400,000 penduduk Islam di Switzerland menggunakan dialog dan saluran undang-undang untuk mencabar pengharaman itu.