Tuesday, December 1, 2009


Suspek dipukul penduduk kampung, sebelum dihantar ke hospital

KOTA BHARU: Selepas bertarung nyawa kira-kira dua jam akibat dibelasah penduduk kampung kerana meragut, seorang lelaki akhirnya menemui ajal, ketika sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), dekat sini, malam kelmarin.

Suspek berusia 30 tahun, dari Tumpat, mengalami patah tangan dan cedera di badan, meninggal dunia kira-kira jam 7.45 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, suspek bersama rakannya, cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak di Kampung Belimbing, Pendek, Kedai Mulong, dekat sini, kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

Katanya, rakan mangsa, yang berusia 28 tahun, juga cedera parah akibat dipukul penduduk kampung dan menerima rawatan di hospital sama bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

"Dalam kejadian petang kelmarin, dua peragut berjaya ditangkap penduduk kampung ketika cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak yang sedang bermain di halaman rumahnya.

"Seorang daripada peragut ditangkap oleh bapa kanak-kanak itu manakala rakannya ditahan oleh penduduk kampung ketika cuba melarikan diri.

"Sebaik ditahan, kedua-dua suspek dibelasah penduduk kampung sebelum dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat cedera di badan," katanya, semalam.

Abdul Rahim berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu yang menyebabkan seorang daripada suspek terbabit meninggal dunia.

Katanya, mayat suspek sudah diserahkan kepada keluarganya dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.

"Sepanjang tahun ini, kes ini adalah yang pertama membabitkan seorang peragut maut selepas dipukul oleh orang ramai," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan ketika menangkap suspek yang terbabit dengan kejadian jenayah.

"Saya meminta orang ramai supaya terus menghubungi polis apabila berjaya menangkap penjenayah dan jangan bertindak di luar batasan sehingga menyebaban kematian. Serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

No comments:

Post a Comment