Tuesday, December 1, 2009


Bertengkar kerana masalah keluarga

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 50 tahun dari Kampung Pengkalan Air, Binjai, Kemaman, meninggal dunia selepas dipukul dengan rotan oleh anak tirinya yang berusia 29 tahun, dalam pergaduhan dipercayai berikutan perselisihan keluarga malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Shariff Osman, mengalami kecederaan di lengan kiri dipercayai pengsan ketika cuba mendapatkan pertolongan jirannya dan kemudian disahkan meninggal dunia apabila sampai di Hospital Kemaman, di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku apabila suspek, juga seorang penagih dadah bertindak memukul bapa tirinya di lengan dengan rotan.

"Selepas dipukul, mangsa lari ke rumah jirannya Shaabdillah Kamaruddin, 49, memberitahu dia dipukul dan pengsan sejurus selepas itu," katanya.

Beliau berkata, suspek difahamkan bertengkar dengan mangsa kerana masalah keluarga.

Katanya, polis Kemaman menerima laporan mengenai kejadian itu melancarkan gerakan mencari suspek di kampung itu tetapi gagal.

Mohd Shukri berkata, polis kemudian berjaya mengesan suspek yang pernah ditahan sebelum ini kerana menagih dadah, selepas melakukan intipan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

Mohd Shukri berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan serangan jantung dan mayat mangsa dituntut ahli keluarga jam 1 tengah hari semalam untuk dikebumikan.

Sementara isteri mangsa, Siah Mahmud, 56 memberitahu sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar dari rumah untuk menemui rakannya bagi menjelaskan hutang di sebuah taman perumahan berhampiran rumahnya.

"Namun pada jam 8.30 malam, saudara saya Shaabdillah, yang tinggal berhampiran rumah menelefon saya dan memaklumkan arwah pengsan di hadapan rumahnya selepas dipercayai bergaduh dengan anak lelaki saya," katanya.

Katanya, selepas pengsan, suaminya dikejarkan ke Hospital Kemaman dan mendapat rawatan di wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu.

"Saya terus bergegas ke hospital untuk melihat keadaan suami dan dimaklumkan dia sudah meninggal dunia. Setakat yang saya tahu suami tidak mempunyai sebarang penyakit," katanya.

No comments:

Post a Comment