Tuesday, December 1, 2009


SINGAPURA: Saintis di Singapura telah menemui bahan semula jadi dalam kelapa sawit yang boleh membunuh sel kanser payu dara.

Bahan itu dikenali sebagai "gamma-tocotrienol" diekstrak dalam bentuk semulajadi dari kelapa sawit, mempamerkan keupayaan membunuh sel kanser itu.

Davos Life Science Singapore, dalam kenyataan hari ini, berkata bahan itu ditemui pada paras rendah dalam sumber makanan seperti kelapa sawit, barli dan beras.

Saintisnya bekerja sama dengan Fakulti Perubatan Li Ka Shing Universiti Hong Kong dan Pusat Penyelidikan Kanser Prostat Australia dalam menjalankan kajian mengenai kanser itu.

Kajian itu menunjukkan semasa menjalankan uji kaji in-vitro, bahan semulajadi itu didapati lebih mujarab daripada "Docetaxel", ubat yang sering digunakan dalam kemoterapi untuk merawat kanser payu dara.

Bahan itu juga didapati berupaya menyekat keupayaan sel kanser payu dara untuk merebak ke organ lain melalui metastasis.

Kajian itu mendapati sungguhpun dos gamma-tocotrienol menunjukkan kesan positif terhadap anti-kanser namun ia tidak menjejaskan fungsi sel normal dalam sel sihat.

Davos Life Science ditubuhkan pada 2004 sebagai pengeluar tocotrienol semulajadi untuk digunakan dalam makanan tambahan, barangan penjagaan kesihatan dan formulasi farmaseutikal.

Ia mempunyai pusat R&D terbesar di dunia yang khusus untuk kajian tocotrienol dan kilang terbesar di dunia bagi pengeluaran tocotrienol semula jadi. - Bernama

No comments:

Post a Comment